Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Assalamualaikum ustaz saya nak tanya, semua sedia maklum bahawa air liur basi itu najis tetapi di dalam infografik Jabatan Mufti Perak di facebook pada tarikh 9 april 2023 mengatakan air liur basi tidak najis, saya sebagai orang awam agak keliru di sini, jadi saya ingin bertanya pendapat ustaz mengenai fatwa perak ini. Adakah saya boleh berpegang pada fatwa ini disebabkan saya orang perak yang sudah lama duduk di perak. Terima kasih ustaz.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.”

Surah Al-Maidah (6)

Asal bagi air liur yang keluar dari mulut seorang manusia adalah suci. Dalam yang telah diceritakan oleh Saidatina Aisyah r.anha. Kata beliau:

كُنْتُ أَشْرَبُ وَأَنَا حَائِضٌ ثُمَّ أُنَاوِلُهُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَضَعُ فَاهُ عَلَى مَوْضِعِ فِيَّ فَيَشْرَبُ

Maksudnya: “Aku minum pada ketika itu aku datang haid. Kemudian aku bawakan bekas minuman tadi kepada Nabi saw lalu Baginda meletakkan mulutnya di tempat yang aku minum tadi lantas Baginda minum.”

Riwayat Muslim (453)

Pun begitu, terdapat perinciannya sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Khatib al-Shirbini: “Jika berasal dari perut, seperti keluar dengan bau yang bacin dengan warna kuning maka hukumnya najis. Tidak dikira najis jika berasal daripada selain perut. Atau jika syak samada air liur yang keluar berasal dari perut atau bukan, maka ia dikira suci.” (Lihat Mughnī al-Muḥtāj, 1/79)

Melalui kajian sains, kita tahu bahawa perut tidak menghasilkan air liur tetapi asid. Campuran air liur dan asid yang naik ke kerongkong itulah yang menyebabkan pedih tekak, pedih ulu hati, mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan, dan rasa masam. Ia mungkin berkait rapat dengan Gastro Esophageal Reflux Disease (GERD). Itulah yang dimaksudkan para ulama’ kita dengan air liur “daripada perut” yang bernajis. Manakala air liur yang keluar daripada mulut, yakni tanpa sebarang petanda yang saya sebutkan, ia suci. Pun begitu, sunat membasuh pakaian yang terkena air liur semasa tidur. Jika terlupa, ia dimaafkan.

Kesimpulan

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan hukum bagi air liur ada dua. Sekiranya air liur tersebut dari mulut maka hukumnya suci. Manakala, jika ia keluar dari perut maka hukumnya adalah najis. Justeru, sebaiknya jika terdapat air liur basi, maka basuhlah bagi mengelakkan was-was. Adapun, sekiranya terlupa, maka dimaafkan.

Kami tegaskan di sini bahawa air liur basi semata-mata tidaklah najis dan membatalkan wuduk.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama, serta kegigihan, kesungguhan dan kesabaran dalam menekuni ilmu, seterusnya menyebarkannya kepada segenap lapisan masyarakat.  Amin.

 Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply