Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah menuduh perempuan atau lelaki yang fasik berzina termasuk dalam qazaf? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, orang Islam diharamkan menuduh orang Islam yang lain melakukan perbuatan keji (zina), tidak kira sama ada apa yang dikatakan itu benar sekiranya tuduhan tersebut palsu, ia adalah fitnah dan merupakan satu kezaliman. Berbohong adalah antara perbuatan haram yang paling buruk.

Walaupun tuduhan tersebut benar sekalipun, ia tetap dianggap salah. Ini kerana perbuatan ini akan mendedahkan rahsia dan mencemarkan maruah saudaranya. Apatah lagi Allah telah memerintahkan supaya kesalahan seperti ini disembunyikan oleh pelakunya apabila dia tergelincir dan melakukan noda atau dosa. Malah perbuatan ini hanya akan menghebahkan desas-desus yang tidak baik kepada masyarakat. Atas alasan ini, syara’ meletakkan tuduh zina sebagai dosa besar. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/65-66). Terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوبِقَاتِ. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ الـمُحْصَنَاتِ الـمُؤْمِنَاتِ الغَافِلاَتِ

Maksudnya: “Hendaklah kamu menjauhi tujuh perkara yang membinasakan (tujuh dosa-dosa besar). Mereka bertanya: ‘Wahai Rasulullah, apakah perkara-perkara tersebut?’ Baginda bersabda: ‘Syirik kepada Allah, sihir, membunuh nyawa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan alasan yang dibenarkan, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri dari medan perang, dan menuduh (berzina) terhadap wanita-wanita yang memelihara maruah diri serta beriman lagi baik (lalai daripada pengaruh sekeliling).’

Riwayat al-Bukhari (2766) dan Muslim (89)

Al-Mulla Ali al-Qari ada mensyarahkan berkenaan lafaz “وَقَذْفُ الـمُحْصَنَاتِ الـمُؤْمِنَاتِ الغَافِلاَتِ”. Beliau menyatakan bahawa perkataan muhsanat bermaksud wanita-wanita yang menjaga kesucian dan kehormatan mereka. Justeru, “قَذْفُ الـمُحْصَنَاتِ” merujuk kepada melemparkan tuduhan zina kepada mereka. Perkataan muhsanat “لْمُحْصَنَاتِ” iaitu dibaca dengan baris atas atau bawah pada huruf Sad merujuk kepada wanita-wanita yang dijaga dan diawasi oleh Allah SWT atau wanita yang memelihara kehormatan mereka daripada zina. Manakala lafaz “الْمُؤْمِنَاتُ” pula adalah mengeluarkan/mengecualikan daripada menuduh zina terhadap orang kafir. Ini kerana menuduh zina kepada orang kafir tidak termasuk dalam dosa-dosa besar. Jika orang kafir itu terdiri dalam kalangan ahli zimmah, maka menuduhnya zina termasuk dalam dosa-dosa kecil dan tidak dikenakan hukuman hudud kepada penuduhnya. Manakala menuduh zina terhadap seorang hamba perempuan pula dikenakan hukum takzir dan bukannya hudud, serta ia tertakluk kepada ijtihad imam (pemerintah). Begitu juga jika orang yang dituduh dengan zina itu adalah seorang lelaki, maka menuduhnya dengan zina itu termasuk dalam dosa-dosa besar dan boleh dikenakan hukum hudud qazaf. Adapun mengkhususkan dengan menyebut wanita (iaitu muhsanat) adalah bagi meraikan konteks ayat dan menunjukkan kepada adat kebiasaannya — yakni yang biasa dituduh dengan zina ialah wanita. Seterusnya perkataan ghafilat الْغَافِلَاتُ” pula merujuk kepada wanita-wanita yang lalai daripada memberi perhatian untuk  melakukan perbuatan keji. Ia adalah sebagai kinayah yang menunjukkan kepada tanda kesucian mereka. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 1/124).

Bahkan pesalah boleh dikenakan hukuman hudud qazaf iaitu disebat sebanyak 80 kali sebatan, jika memenuhi syarat-syarat hukuman. Selain itu, hak pesalah untuk menjadi saksi juga akan digugurkan, kecuali sekiranya dia bertaubat. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ ‎﴿٤﴾‏ إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا مِن بَعْدِ ذَٰلِكَ وَأَصْلَحُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik (4). Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu (dari kesalahannya yang tersebut) serta memperbaiki amalannya, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Surah al-Nur: 4-5)

Menurut Imam al-Nawawi, para fuqaha telah bersepakat bahawa qazaf berlaku sama ada yang dituduh itu perempuan ataupun lelaki. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 22/94).

Seterusnya, sesuatu hukuman terhadap pesalah tuduh zina akan hanya dijalankan setelah memenuhi 10 syarat berikut. Lima syarat pada penuduh dan lima syarat pada mangsa yang dituduh.

Secara ringkasnya, syarat-syarat pada penuduh ialah:

  • Baligh
  • Berakal
  • Penuduh mestilah tidak mempunyai ikatan dengan pihak yang dituduh seperti bapa, datuk dan ke atas.
  • Ini kerana orang yang dipaksa membuat tuduhan tidak akan dihukum.
  • Penuduh mengetahui perbuatan tersebut diharamkan.

Manakala lima syarat pada pihak yang dituduh pula ialah:

  • Islam
  • Baligh
  • Berakal
  • Kehormatan dan maruahnya terpelihara iaitu tidak pernah disabitkan dengan kesalahan zina sebelum itu.
  • Tidak memberi keizinan kepada penuduh untuk menuduhnya. Walaupun sebenarnya keizinan ini tidak boleh membenarkan tuduhan zina dibuat. Namun dengan adanya keizinan ini, ia mewujudkan keraguan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/66-67).

Dalam menjawab soalan di atas, ia berkait rapat dengan tafsiran ulama terhadap lafaz al-Muhsanat “الْمُحْصَنَاتِ” di dalam ayat yang berkaitan dengan qazaf. Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ الْغَافِلَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ لُعِنُوا فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi yang beriman, akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di akhirat dan, mereka pula akan beroleh azab seksa yang besar.”

(Surah al-Nur: 23)

Difahami daripada ayat di atas, bahawa termasuklah di dalam lafaz tersebut, semua wanita Muslimah yang terpelihara kehormatannya (yakni suci) daripada perbuatan zina dan tidak diketahui mereka melakukan zina. Hal ini adalah sebagaimana ditafsirkan oleh al-Tabari bahawa lafaz “الْمُحْصَنَاتِ الْغَافِلَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ” merujuk kepada wanita yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya, yang memelihara kesucian mereka daripada perbuatan keji (zina). (Lihat Tafsir al-Tabari, 19/138).

Oleh yang demikian, setiap wanita Muslimah (dan lelaki Muslim) yang tidak sabit ke atas mereka perbuatan zina, maka tidak boleh menuduh mereka melakukannya, sekalipun mereka termasuk dalam kalangan fasik disebabkan dosa selain zina. Dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (2/227) bahawa orang yang muhsan (الْمُحْصَنُ), yang mana orang yang menuduhnya boleh dikenakan hukuman hudud ialah orang yang memenuhi syarat-syarat berikut menurut kesepakatan fuqaha’, jika tuduhan terhadapnya adalah zina:

  1. Jadi, tidak dikenakan hukuman hudud bagi orang yang menuduh zina terhadap hamba lelaki atau hamba perempuan.
  2. Beragama Islam. Jadi, tidak dikenakan hukuman hudud bagi orang yang menuduh zina terhadap orang murtad atau orang yang asalnya kafir kerana dia tidak termasuk dalam orang yang muhsan.
  3. Berakal.
  4. Baligh.
  5. Suci (memelihara kehormatannya) daripada perbuatan zina. Yang dimaksudkan dengan suci (الْعِفَّةُ) ialah individu yang dituduh tidak pernah melakukan persetubuhan yang haram atau persetubuhan dalam rangka akad nikah yang tidak sah menurut ijma‘ ulama. Jika dia pernah terlibat dalam mana-mana perbuatan sedemikian, maka gugur perihal kesucian (الْعِفَّةُ) daripadanya.

Kesucian (الْعِفَّةُ) dalam konteks praktikalnya, adalah syarat menurut tiga imam. Manakala Imam Ahmad pula berpada dengan kesucian (الْعِفَّةُ) secara zahirnya daripada zina. Dalam erti kata lain, jika seseorang itu tidak pernah disabitkan melakukan zina, berdasarkan bayyinah (bukti — empat orang saksi) atau pengakuan, dan tidak pernah menerima hukuman hudud untuk zina, maka dia dianggap suci (عَفِيفٌ).

Kesimpulannya

Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa menuduh zina tanpa membawakan empat orang saksi terhadap orang lelaki atau perempuan yang fasik dalam kalangan orang Islam termasuk dalam qazaf, dan boleh dikenakan hukuman hudud apabila memenuhi syarat-syarat yang telah digariskan, jika orang yang dituduh itu tidak pernah sabit melakukan perbuatan zina ataupun persetubuhan seumpamanya. Kefasikan mereka dalam melakukan dosa-dosa yang lain seperti mendedahkan aurat dan sebagainya tidak menafikan mereka termasuk dalam muhsan — memelihara kesucian diri mereka daripada perbuatan zina dan persetubuhan yang haram. Kami juga tidak menafikan di sana terdapat dalam kalangan ulama yang tidak memasukkan orang yang fasik dalam kalangan muhsan, sekalipun begitu meninggalkan daripada membuat tuduhan zina dan seumpamanya kepada mereka adalah lebih baik dan berhati-hati (ihtiyat).

Kami juga mengambil kesempatan di sini menasihatkan dan mengingatkan agar kita menjaga lidah kita dan tidak sewenang-wenangnya membuat tuduhan zina kepada seseorang Muslim. Hal ini kerana dalam Islam tuduhan zina memerlukan kepada empat orang saksi dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan orang yang menuduh itu dikenakan hukum hudud qazaf. Bukan itu sahaja, pelakunya juga dianggap melakukan dosa besar dan kesaksian mereka tidak lagi diterima. Di antara tujuan hukuman qazaf ini adalah bagi menyekat mereka yang suka menjadikan zina dan celaan berbentuk tuduhan seksual dalam menjatuhkan dan memalukan sesama orang Islam. Ia juga bertepatan dengan kaedah Sadd al-Zarai‘ iaitu menutup pintu kemudaratan yang lebih besar, di mana jika ia tidak dikawal dan dibendung, maka orang yang berniat jahat boleh sewenang-wenangnya menuduh zina atau menjadikan celaan berbentuk seksual kepada orang lain bagi menjatuhkan maruahnya, lalu seterusnya timbullah huru hara dan keharmonian dalam sebuah masyarakat tidak akan dapat dicapai.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

 

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply