Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada terbaca bahawa Saidina Umar al-Khattab antara akhir hayatnya dia berdoa agar dia dimatikan dalam keadaan syahid.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan daripada buku Khalifah Umar RA Fiqh Siyasah Khulafa’ al-Rasyidin Jilid 2 oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang:

Sa’id bin al-Musayyab, seorang ulama’ tabiin menceritakan:

أَنَّ عُمَرَ لَمَّا أَفَاضَ مِنْ مِنْ أَنَاخَ بِالْأَبْطُحِ فَكَوَّمَ كَوْمَةً مِنْ بَطْحَاءَ وَطَرَحَ عَلَيْهَا طَرَفَ تَوْبِهِ، ثُمَّ اسْتَلْقَى عَلَيْهَا وَرَفَعَ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ وَقَالَ:

Bahawa sesungguhnya, ‘Umar RA berdoa ketika keluar dari Mina sewaktu menunaikan haji terakhir. Apabila berhenti di tanah lapang, ‘Umar melonggokkan tanah untuk meletakkan kepalanya ketika menelentang ke arah langit, lalu beliau berkata:

اللَّهُمَّ كَبُرَتْ سِنِي، وَضَعُفَتْ قَوَّتِي، وَانتَشَرَتْ رَعِيَّتِي، فَاقْبِضْنِي إِلَيْكَ غَيْرَ مُضَيْعِ وَلَا مُفْرِطٍ.

“Ya Allah, wahai Tuhanku! Umurku telah mencecah usia tua, badanku terasa lemah, rakyatku terlalu ramai, ambillah nyawaku tanpa sia-sia dan melampau.” (Lihat Ibn Sa’ad, al-Tabaqat al-Kubra, 3/255)

Zaid bin Aslam, juga salah seorang daripada kalangan ulama’ tabiin menceritakan bahawa ayahnya mendengar ‘Umar RA berdoa:

اللَّهُمَّ ارْزُقْنِي شَهَادَةً فِي سَبِيلِكَ، وَاجْعَلْ مَوْتِي فِي بَلَدِ رَسُولِكَ

“Ya Allah! Kurniakan kepadaku mati syahid kerana menegakkan agama-Mu, dan matikan diriku di tanah tempat Nabi-Mu disemadikan.”

Riwayat al-Bukhari 1890

Dalam riwayat yang lain:

اللَّهُمَّ قَتْلًا فِي سَبِيلِكَ، وَوَفَاةً فِي بَلَدِ نَبِيِّكَ.

“Wahai Tuhan kami! Aku berjuang di jalan agama-Mu, dan matikan diriku di tanah tempat Nabi-Mu disemadikan.”

Ada kalangan mereka yang mendengarnya menyampuk:

وَأَنَّ يَكُونُ هَذَا؟

“Bagaimana perkara sedemikian boleh berlaku?

Orang itu bertanya kerana melihat Madinah jauh dari musuh Islam dan medan peperangan, malahan memiliki sebuah kerajaan yang kuat.

Lantas ‘Umar RA menjawab:

يَأْتِي بِهِ اللَّهُ إِذَا شَاءَ

“Perkara itu boleh berlaku, Insya-Allah!” (Lihat Ibn Sa’ad, al-Tabaqat al-Kubra, 3/ 252)

Anas bin Malik RA menceritakan bahawa Abu Musa al-Asy’ari RA mengkhabarkan kepadanya:

رأَيْتُ كَأَنِّي أَخَذْتُ جَوَّادَ كَثِيرَةً فَاضْمَحَلَّتْ حَتَّى بَقِيَتْ جَادَةٌ وَاحِدَةٌ.

“Sesungguhnya, aku bermimpi melihat sekawan kuda yang banyak bersamanya. Tiba- tiba, semua kuda itu menghilang sehingga hanya tinggal seekor sahaja.

فَسَلَكُتُهَا حَتَّى انْتَهَيْتُ إِلَى جَبَلٍ فَإِذَا رَسُولُ اللَّهِ ﷺ فَوْقَهُ وَإِلَى جَنْبِهِ أَبُو بَكْرٍ.

Aku mencari-cari kuda tersebut sehinggalah aku berada di satu bukit, lalu bertemu Rasulullah SAW bersama Abu Bakar RA berhampirannya.

وَإِذَا هُوَ يُومِئُ إِلَى عُمَرَ أَنْ تَعَالَ. فَقُلْتُ: إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ. مَاتَ وَاللَّهِ أَمِيرُ الْمُؤْمِنِينَ.

‘Umar berada agak jauh daripada mereka berdua. Lalu Rasulullah SAW melambai kepadanya supaya datang. Aku berkata: Sesungguhnya, kami ialah milik Allah dan akan kembali kepada-Nya. Maka, Amir al-Mu’minin meninggal dunia.”

Anas RA berkata kepada Abu Musa RA:

أَلَا تَكْتُبُ بِهَذَا إِلَى عُمَرَ؟

“Mengapa kamu tidak menulis surat untuk memberitahunya?”

Abu Musa RA menjawab:

مَا كُنْتُ لِأَنْعِيَ لَهُ نَفْسَهُ.

“Aku tidak mahu memberitahu kepadanya akan tanda dirinya hampir menemui kematian.” (Lihat Ibn Sa’ad, al-Tabaqat al-Kubra, 3/253)

Sesungguhnya, Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA berkhutbah dan mengingatkan berkenaan Rasulullah SAW dan Abu Bakar RA pada hari hampir ajalnya:

إِنِّي رَأَيْتُ كَأَنَّ دِيكًا نَقَرَنِي ثَلَاثَ نَقَرَاتٍ، وَإِنِّي لَا أُرَاهُ إِلَّا حُضُورَ أَجَلِي، وَإِنَّ أَقوَامًا يَأْمُرُونَنِي أَنَّ أَسْتَخْلِفَ.

“Aku bermimpi bahawa seekor ayam jantan memagutku tiga kali, dan sesungguhnya aku melihat ia sebagai tanda hampirnya ajalku. Ada kalangan yang memintaku mencadangkan penggantiku menjadi khalifah selepasku.

وَإِنَّ اللَّهَ لَمْ يَكُنْ لِيُضَيَّعَ دِينَهُ، وَلَا خِلَافَتَهُ، وَلَا الَّذِي بَعَثَ بِهِ نبيه ، فَإِنْ عَجِلَ بِي أَمْرٌ ، فَالخِلَافَةُ شُورَى بَيْنَ هَؤُلاءِ السِتَّةِ، الَّذِينَ تُوُفِّيَ رَسُولُ اللهِ ﷺ وَهُوَ عَنْهُمْ رَاضِ.

Maksudnya: “Sesungguhnya, Allah tidak akan mengecewakan agama-Nya dan khilafah-Nya, dan tidak mengecewakan tujuan Nabi-Nya dibangkitkan. Jika berlaku segera apa yang aku nyatakan (meninggal dunia), maka jawatan khalifah hendaklah ditentukan melalui syura dalam kalangan enam orang sahabat yang masih ada, dengan Rasulullah SAW wafat dalam keadaan reda terhadap mereka.”

Riwayat Muslim (567)

Justeru, sekali lagi kami katakan doa Saidina Umar dengan alasan keadaannya, usianya dan tanggungjawabnya yang telah ditunaikannya dengan sebaik mungkin, maka dia bimbang akan berlaku kecuaian pada dirinya. Lantas, dia doa seperti itu.

Semoga Allah SWT merahmati Saidina Umar ibn al-Khattab yang banyak jasanya kepada Islam. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *