Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah istighfar paling penting berbanding dengan doa?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan ini, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا ﴿١٠﴾يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا ﴿١١﴾ وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا

Maksudnya: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. “(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; “Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).”

(Surah Nuh: 10-12)

Kami mulakan dengan takrif istighfar: Perkataan istighfar seperti kata al-Syeikh al-Jurjani dalam kitabnya al-Ta’rifat (hlm. 36) iaitu merdekanya dengan segala amalan kebajikan dan melakukan dengan sebaik mungkin. Begitu juga menganggap besarnya segala kesalahan dan berpaling daripada melakukannya.

Mengikut ahli kalam, istighfar dengan maksud memohon keampunan selepas melihat betapa buruknya maksiat dan berpaling daripadanya. Seorang ulama pernah menyebut Istighfar merupakan permohonan untuk melakukan pengislahan yang telah rosak sama ada dengan perkataan atau perbuatan.

Istighfar merupakan permohonan untuk melakukan pengislahan yang telah rosak sama ada dengan perkataan atau perbuatan.

Antara maksud lain istighfar ialah memohon keampunan atau memohon penghapusan dosa, menghilangkan kesannya dan berlindung daripada kejahatannya. Ibn al-Qayyim telah berkata: “Hakikat al-Maghfirah (keampunan) ialah melindungi dari kejahatan dosa. Oleh itu setiap yang menutupi kepala dari kesakitan dinamakan sebagai al-Mighfar.[1]

Betapa pentingnya istighfar sehingga Rasulullah SAW beristighfar seratus kali sehari. Daripada al-Aghar al-Muzani, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّهُ لَيُغَانُ عَلَى قَلْبِى وَإِنِّى لأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ فِى الْيَوْمِ مِائَةَ مَرَّةٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya dilitupi pada hatiku (dengan kelalaian daripada berzikir) dan aku memohon ampun kepada Allah SWT, sehari seratus kali.”

Riwayat Muslim (7033) dan Abu Daud (1517)

Istighfar mengikut pendapat yang kuat mendapat banyak kelebihan seperti kebaikan dan kurniaan dari Tuhan. Sabda Rasulullah SAW:

طُوبَى لِمَنْ وَجَدَ فِي صَحِيفَتِهِ اسْتِغْفَارًا كَثِيرًا

Maksudnya: “Beruntunglah bagi orang yang mendapati dalam catatan amalannya istighfar yang banyak.”

Riwayat Ibn Majah (3093)

Kata Syeikh al-Islam: “Istighfar seorang manusia lebih utama daripada semua doa-doa.” Ini berdasarkan kenyataannya dalam Jami’ al-Masa’il (6/277)

Allah SWT memuliakan Nabi dengan tidak mengazabkan orang kafir musyrik di Makkah dan juga dengan sebab mereka ada yang beristighfar. Firman Allah SWT:

‏ وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنتَ فِيهِمْ ۚ وَمَا كَانَ اللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ

Maksudnya: “Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun).”

(Surah al-Anfal: 33)

Saidina Ali R.A berkata: “Aku merasa hairan siapa yang binasa sedangkan kebaikan dan kebajikan serta penyelamatan bersama dengannya.” Lalu ditanya: “Apa dia?” Jawabnya: “Istighfar.” (Lihat Uyun al-Akhbar, 12/901)

Betapa hebatnya istighfar, di sana terdapat yang dikenali sebagai penghulu bagi istighfar. Hal ini berdasarkan hadith:

اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّيْ لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنِيْ وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوْءُ بِذَنْبِيْ فَاغْفِرْ لِيْ فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, Engkau adalah Tuhanku, tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakanku dan aku adalah hamba-Mu. Aku akan setia pada perjanjianku pada-Mu (iaitu aku akan mentauhidkan-Mu) dan aku yakin akan janji-Mu (berupa syurga untukku) dengan sedaya upayaku. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang aku lakukan. Aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku, maka ampunilah aku. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.”

Riwayat al-Bukhari (6306), Abu Daud (5070), al-Tirmizi (3393), Ibn Majah (3872), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (10417) dan Ahmad (23013)

Doa ini berdasarkan hadith riwayat Syaddad bin Aus R.A, bahawa Nabi SAW bersabda: “Penghulu bagi istighfar adalah dengan kamu mengucapkan:

اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ

Nabi SAW seterusnya bersabda:

وَمَنْ قَالَهَا مِنْ النَّهَارِ مُوقِنًا بِهَا فَمَاتَ مِنْ يَوْمِهِ قَبْلَ أَنْ يُمْسِيَ فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ ، وَمَنْ قَالَهَا مِنْ اللَّيْلِ وَهُوَ مُوقِنٌ بِهَا فَمَاتَ قَبْلَ أَنْ يُصْبِحَ فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengucapkannya pada siang hari dalam keadaan yakin dengan isi kandungannya, dia mati sebelum petang, maka dia termasuk daripada kalangan ahli Syurga.  Sesiapa yang mengucapkannya pada awal malam dalam keadaan yakin dengan isi kandungannya, dia mati sebelum datangnya pagi, dia termasuk daripada kalangan ahli syurga.”

Riwayat al-Bukhari (6306)

Dalam menjelaskan hadith ini, Ibn Battal dalam Syarh Sahih al-Bukhari berkata: Al-`Ahd bermaksud perjanjian yang Allah ambil daripada hamba-hambanya ketika penciptaan mereka yang mula-mula, semasa Dia mengeluarkan mereka daripada sulbi bapa mereka (Adam) seumpama zarah dan menyaksikan mereka bersaksi atas diri mereka sendiri: “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami).” Maka mereka mengakui ketuhanan Allah ketika mereka berada dalam keadaan asal kejadian, mereka tunduk dan patuh pada sifat Wahdaniyyah-Nya.

Manakala al-wa`d bermaksud janji Allah Taala kepada mereka bahawa barangsiapa dalam kalangan mereka yang mati dalam keadaan tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun, kemudian menunaikan apa yang telah difardukan Allah ke atasnya maka masuklah Syurga. Hendaklah setiap orang beriman itu berdoa kepada Allah Taala agar mematikannya dalam (memegang kukuh) perjanjian tadi, serta dimatikan dalam iman, supaya dapat mengecapi apa yang telah dijanjikan Allah Taala bagi sesiapa yang mengotakan yang demikian itu, kerana mengikut cara Nabi SAW apabila berdoa untuk perkara itu. Ini juga serupa dengan apa yang diminta oleh para nabi AS dalam doa-doa mereka.” (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 10/76)

Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan perkataan Ibn Jamrah yang menyebut bahawa di dalam hadith ini, Nabi SAW telah menghimpunkan seni makna-makna serta lafaz-lafaz yang indah dan dengan itu melayakkan ia digelar sebagai penghulu segala istighfar. Di samping itu juga, terdapat padanya ikrar kepada Allah yang Esa akan keEsaan-Nya dan juga Ubudiyyah kepada-Nya (yang hanya berhak disembah).

Tambahan pula, di dalamnya terdapat pengiktirafan (daripada hamba) bahawa Allah adalah Pencipta dan berikrar dengan janji yang diambil oleh Allah ke atasnya. Selain itu, berserah dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah kepadanya serta memohon perlindungan (daripada Allah) dari segala kejahatan yang dilakukan oleh seseorang hamba itu terhadap dirinya.

Di dalamnya juga terdapat sandaran kesenangan kepada Penciptanya dan juga sandaran dosa kepada diri pelakunya serta keinginannya untuk memohon ampun dan pengiktirafan akan dosa yang telah dilakukannya bahawa tiada yang mampu untuk mengampunkan dosa-dosa tersebut melainkan Allah SWT. (Lihat Fath al-Bari, 11/100. Lihat juga Irsyad al-Hadith Siri ke-168 dan Irsyad al-Hadith Siri ke-458 untuk bacaan lanjut)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

[1] Untuk bacaan lanjut: https://maktabahalbakri.com/2710-istighfar-dan-maksudnya/

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply