#3497: Hukum Meminta Maaf Kepada Orang Yang Pernah Diumpat Tanpa Memberitahu Nama

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukumnya saya meminta maaf kepada orang yang pernah diumpat tanpa memberitahu nama saya kepadanya? Hal ini kerana saya malu dan bimbang sekiranya hubungan kami akan terputus jika saya mengakui bahawa saya pernah mengumpatnya.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertama sekali, bertaubat daripada semua dosa adalah wajib. Allah SWT berfirman:

وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

(Surah al-Nur: 31)

Ibn Kathir berkata: “Iaitu lakukanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu daripada sifat-sifat yang indah dan akhlak-akhlak yang mulia. Tinggalkanlah kebiasaan kaum Jahiliyyah yang memiliki akhlak dan sifat yang tercela, kerana kejayaan hanya dapat dicapai dengan mengerjakan apa yang telah diperintahkan Allah dan Rasul-Nya serta meninggalkan apa yang telah dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 10/225)

Islam merupakan sebuah agama yang amat menjaga kehormatan dan kemuliaan seseorang insan sama ada insan itu muslim atau bukan muslim. Justeru itu, agama ini mengharamkan perkara-perkara yang boleh mencalarkan atau merosakkan maruah seseorang seperti mengumpat sehingga Allah SWT membuat satu perumpamaan yang dahsyat kepada golongan seperti ini.

Firman Allah SWT

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”

(Surah al-Hujurat: 12)

Di dalam ayat ini jelas berkaitan pengharaman mengumpat sehingga diumpamakan seperti memakan daging saudaranya. Imam al-Maraghi di dalam tafsirnya menyatakan ghibah (mengumpat) diumpamakan seperti memakan daging kerana mengumpat itu bererti menyiat-nyiat kehormatan seperti memakan dan menyiat-nyiat daging. Perumpamaan seperti ini sesuai dengan cara orang Arab berkomunikasi. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 26/139-140)

Mengumpat adalah perkara yang dilarang dalam Islam. Ia didefinisikan sebagai “menyebut perihal saudaramu yang tidak disukainya.” Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ؟ قَالُوا: اللهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ، قَالَ: ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ

Maksudnya: “Adakah kamu tahu apakah itu mengumpat?.” Para sahabat berkata: Hanya Allah dan Rasul-Nya yang mengetahuinya. Nabi SAW bersabda: “Kamu menyebut perihal saudaramu yang tidak disukainya.”

Riwayat Muslim (2589)

Dalam menjawab persoalan di atas, Imam al-Nawawi menyebut dalam kitab Riyadh al-Salihin: “Para ulama berkata, bertaubat dari setiap dosa hukumnya adalah wajib. Jika maksiat (dosa) itu antara hamba dengan Allah SWT – yang tidak ada sangkut pautnya dengan hak manusia – maka syaratnya ada tiga:

  • Menjauhi dan meninggalkan maksiat
  • Menyesal kerana telah melakukan maksiat tersebut.
  • Berazam dan bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan maksiat itu selama-lamanya.
  • Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubatnya tidak sah.

Namun, sekiranya maksiat itu berkaitan dengan hak manusia yang lain, maka syaratnya ada empat. Iaitu ketiga-tiga syarat di atas (dan ditambah satu syarat lagi, iaitu):

Hendaklah dia meminta dibebaskan daripada hak orang yang dizaliminya. Jika berbentuk harta benda atau sejenisnya maka dia harus mengembalikannya (kepada orang yang diambil hartanya). Jika dalam bentuk tuduhan palsu atau seumpamanya, maka hendaklah dipulihkan namanya atau meminta maaf kepadanya. Jika ia berbentuk ghibah (mengumpat), maka harus minta dihalalkan. (Lihat Riyadh al-Salihin, hlm. 41-42)]

Kami memuji sikap saudara kerana menginsafi perbuatan mengumpat dan ingin bertaubat daripadanya. Semoga Allah SWT mengampuni saudara. Kami menasihati saudara supaya memperbaiki hubungan saudara dengan orang tersebut secara keseluruhan dengan berinteraksi dengan baik dan berusaha untuk tidak menyakiti perasaannya lagi.

Dalam hal ini, jika saudara tidak mampu meminta maaf kepada orang yang pernah diumpat itu kerana rasa malu atau takut akan berlakunya masalah yang lebih besar yang boleh merosakkan hubungan dan memutuskan persaudaraan Islam, maka adalah lebih untuk saudara memperbanyak berdoa untuknya dan menyebutkan kebaikannya dalam kumpulan yang mana saudara telah mengumpat dan mencelanya. Hal ini kerana Allah SWT telah berfirman:

إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ۚ ذَٰلِكَ ذِكْرَىٰ لِلذَّاكِرِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.”

(Surah Hud: 114)

Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di dalam tafsirnya menyebut: “Lima waktu solat ini dan solat-solat sunat yang dilakukan bersama dengan solat fardhu adalah sebahagian daripada amal kebajikan (الحسنات) yang terbesar, iaitu kebaikan-kebaikan ini adalah amalan yang mendekatkan diri kepada Allah dan amalan yang memberikan pahala, dan amalan ini juga dapat menghapuskan dosa-dosa kecil. Hal ini telah dijelaskan dalam hadith-hadith sahih yang diriwayatkan oleh Nabi Muhammad SAW.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 391)

Begitu juga saudara boleh juga bersedekah bagi pihaknya dengan harapan semoga ia menjadi asbab untuk Allah SWT mengampunkan dosa saudara.  Mustafa al-Ruhaibani menyebutkan, semua bentuk qurbah (ketaatan kepada Allah) yang dikerjakan oleh seseorang Muslim, lalu dia menjadikan pahalanya (yakni menghadiahkannya) untuk orang yang masih hidup atau sudah meninggal dunia, maka ia adalah dibolehkan dan hal itu memberi manfaat kepadanya melalui pahala yang diperolehinya. (Lihat Matalib Uli al-Nuha, 3/639).

Selain itu, al-Buhuti dalam kitabnya juga ada menjelaskan, semua bentuk qurbah (ketaatan kepada Allah) yang dikerjakan oleh seseorang Muslim, lalu dia menjadikan pahalanya atau pahala sebahagiannya seperti separuh dan seumpamanya seperti satu pertiga atau satu perempat untuk orang Muslim yang lain yang masih hidup ataupun yang sudah meninggal dunia, maka hal tersebut adalah dibolehkan. Hal itu juga akan memberi manfaat kepadanya melalui pahala yang diperolehinya. (Lihat Kassyaf al-Qina, 4/235).

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *