Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah menjadikan mahar bagi perempuan yang ingin dikahwininya dengan memerdekakannya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Mahar atau mas kahwin ialah “harta yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya dengan sebab akad nikah.” Mahar juga disebut sebagai al-sadaq dan hukumnya adalah wajib sebaik sahaja sempurna akad nikah sama ada mas kahwin itu disebut dengan kadar tertentu ataupun tidak semasa akad tersebut. Jika terdapat permuafakatan menafikannya atau tidak menyebutnya, persetujuan tersebut batal dan mas kahwin tetap wajib diserahkan.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/75)
Allah SWT berfirman:
وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً ۚ فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا
Maksudnya: “Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.”
(Surah al-Nisa’: 4)
Ibn Kathir berkata: Menurut Ibn Abbas, perkataan النحلة membawa maksud mahar. Ibn Zaid pula menjelaskan, ianya bermaksud sesuatu yang wajib diberikan kepada isteri disebabkan aqad nikah. Seorang lelaki wajib menyerahkan mahar kepada wanita sebagai hadiah dan pemberian ke atasnya dengan penuh kerelaaan hati. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/235)
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Sahl bin Sa’ad RA katanya:
أَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ امْرَأَةٌ، فَقَالَتْ: إِنَّهَا قَدْ وَهَبَتْ نَفْسَهَا لِلَّهِ وَلِرَسُولِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: «مَا لِي فِي النِّسَاءِ مِنْ حَاجَةٍ»، فَقَالَ رَجُلٌ: زَوِّجْنِيهَا، قَالَ: «أَعْطِهَا ثَوْبًا»، قَالَ: لاَ أَجِدُ، قَالَ: «أَعْطِهَا وَلَوْ خَاتَمًا مِنْ حَدِيدٍ
Maksudnya: “Seorang perempuan menyerahkan dirinya untuk dikahwini oleh Nabi SAW kerana Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: Aku tidak berhajat kepada perempuan. Lalu seorang lelaki berkata: Kahwinkanlah aku dengan perempuan itu. Sabda Baginda: “Engkau berikan perempuan itu sehelai pakaian.” Dia menjawab: “Aku tidak memilikinya. Lalu Baginda bersabda lagi: “Engkau berikanlah dia walaupun sebentuk cincin besi.”
Riwayat al-Bukhari (4741) dan Muslim (1425)
Imam Nawawi dalam menjelaskan hadis ini menyebut: “Hadis ini menunjukkan bahawa mahar itu boleh sedikit (bernilai rendah) dan boleh juga banyak (bernilai tinggi) apabila kedua pasangan saling redha, kerana cincin dari besi menunjukkan nilai mahar yang murah. Inilah pendapat dalam mazhab Syafi’i dan juga pendapat jumhur ulama dari kalangan salaf dan khalaf.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 9/190)
Mahar bagi Perempuan Dengan Memerdekakannya
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, katanya:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَعْتَقَ صَفِيَّةَ، وَجَعَلَ عِتْقَهَا صَدَاقَهَا
Maksudnya: Bahawa Rasulullah SAW memerdekakan Sofiyyah dan menjadikan pembebasannya itu sebagai maharnya.
Riwayat al-Bukhari (5086) dan Muslim (1365)
Syeikh Abdullah bin Abd al-Rahman al-Bassam berkata: “Para ulama berbeza pendapat tentang kesahihan membuat pembebasan hamba sebagai mahar. Imam Ahmad dan Ishaq berpendapat bahawa ia adalah dibenarkan, merujuk kepada kisah perkahwinan Rasulullah SAW bersama Safiyyah dan juga sebagai qiyas yang sahih. Hal ini kerana tuannya merupakan pemilik yang mempunyai hak ke atas hamba dan manfaatnya, serta manfaat yang diperoleh daripada pemilikannya. Jika dia membebaskannya dan menyimpan sebahagian manfaat yang berada di bawah kawalannya, maka apakah yang menghalangnya?
Sementara itu, tiga imam yang lain, iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Syafi’i berpendapat bahawa menjadikan kemerdekaan seorang perempuan itu sebagai mahar adalah tidak dibenarkan. Mereka menafsirkan hadith ini dengan cara yang berbeza atau menganggapnya sebagai khusus untuk Nabi SAW.
Penafsiran yang mengambil jalan tengah atau menjadikan hadith ini khusus memerlukan penjelasan dan bukti yang kukuh. Hal ini kerana pada asalnya adalah dengan memahami hadith mengikut penafsiran yang umum, dan asal dalam hukum adalah umum, walaupun sesuatu itu khusus dalam riwayat.” (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 5/396)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa perkara ini merupakan khilaf dalam kalangan ulama’, yang mana mazhab Imam Ahmad menyatakan bahawa menjadikan kemerdekaan seorang perempuan sebagai mahar adalah dibenarkan berdasarkan zahir hadith, manakala mazhab al-Syafi’i, Hanafi dan Maliki menyatakan bahawa ia tidak dibenarkan kerana menafsirkan hadith itu dengan cara yang lain dan menganggap hadith ini adalah khusus untuk Nabi SAW. Namun ia dijawab bahawa perkara yang dikhususkan untuk Nabi SAW memerlukan kepada dalil dan penjelasan serta bukti yang kukuh, selain asal bagi sesuatu hukum hadith itu adalah bersifat umum untuk semua.
Namun begitu, ini merupakan perbincangan ulama’ pada zaman dahulu yang pada zaman itu masih lagi wujud sistem perhambaan. Adapun pada hari ini, sistem perhambaan ini telah pun tiada. Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Surah al-Furqan (74)
Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445