Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri.  Bolehkah nyatakan hujah bahawa rasulullah diisrakkan oleh Allah dengan tubuh badan dan bukan roh sahaja?

Jawapan:

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

 (Surah al-Isra’: 1)

Ibn Kathir menyebutkan, melalui ayat ini, Allah SWT telah memuji dan membesarkan diri-Nya, dan menegaskan bahawa tiada sesiapa yang mampu menandingi kekuasaan-Nya yang telah memperjalankan hamba-Nya dengan suatu perjalanan yang begitu hebat dan agung. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/3).

Berkenaan isu israk mikraj, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#26: Tempoh Berlakunya Isra’ Mi’raj[1]

#133 Kewajiban Solat Sebelum Isra’ Mikraj[2]

Berbalik kepada persoalan di atas, kami nyatakan pendapat yang sebenarnya adalah Rasulullah diisrakkan dengan roh dan jasad secara jaga (sedar) dan bukan tidur. Hal ini kerana beberapa dalil:

  1. Allah menggunakan kalimah tasbih (سُبْحَانَ) yang menunjukkan perkara tersebut besar. Jika ia sekadar mimpi , maka sudah tentu ia tidak dianggap perkara yang besar.

Lafaz subhana (سُبْحَانَ)

Sayyid Qutb menyebutkan, surah ini dimulakan dengan ucapan tasbih yang merupakan satu harakat jiwa yang paling sesuai dengan suasana Isra’ yang amat halus, juga merupakan satu hubungan yang paling sesuai di antara hamba dengan Allah di ufuk yang gemilang itu. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/500).

Ibn Kathir berkata, “Allah SWT menunjukkan keagungan dan kebesaran Zat-Nya kerana kemampuan-Nya yang tidak mampu dilakukan oleh sesiapa pun selain Dia. Oleh kerana itu, tidak ada yang layak disembah selain Dia dan tidak ada tuhan selain Dia. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/276).

  1. Orang quraisy mendustakannya dan jika ia mimpi, mereka boleh menerimanya.
  2. Ramai orang islam yang lemah iman kembali murtad, kalau ia sekadar mimpi mereka tidak akan kisah.
  3. Hamba merupakan himpunan antara roh dan jasad. Allah SWT menggunakan kalimah Lafaz ‘abdihi (عَبْدِهِ). Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Menurut ijma’ (kesepakatan) mufassir, yang dimaksudkan hamba pada lafaz ‘بِعَبْدِهِ’ adalah Nabi Muhammad SAW. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 8/24). Begitu juga, Sayyid Qutb berkata: Ayat ini menyebut sifat ‘Ubudiyyah, ‘أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ’ (“membawa hamba-Nya berjalan”) untuk memantap dan menekankan sifat ‘Ubudiyyah itu di maqam Isra’ dan Mi’raj kepada darjat-darjat yang amat tinggi, yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana manusia.
  4. Rasulullah SAW diperjalankan di atas haiwan yang dinamakan sebagai buraq. Sekiranya isra’ itu berlaku dengan roh baginda, nescayalah roh tidak dipikul di atas buraq. Ini kerana, haiwan tidak menanggung selain daripada jisim.

Semoga penerangan ringkas ini dapat memberikan kita info baharu dan kefahaman yang baik tentang hukum-hakam syara‘.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

[1] https://maktabahalbakri.com/tafsir-lafaz-%d9%84%d9%8e%d9%8a%d9%92%d9%84%d9%8b%d8%a7-dalam-surah-al-isra-kadar-panjang-malam/

[2] https://maktabahalbakri.com/133-kewajiban-solat-sebelum-isra-mikraj/

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply