Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah nabi pernah melakukan doa qunut nazilah ketika terdapatnya bencana ?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Doa merupakan antara ibadah yang dituntut dalam islam sebagai pergantungan hamba kepada penciptanya.  firman Allah SWT :

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya : “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

(Surah al-Ghafir: 60)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT bukan sahaja memerintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan. Kata Khalid al-Rib’ie: Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan.” Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/292)

Al-Sa’di menyatakan : Ini adalah anugerah Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya, dan kurniaan-Nya yang agung  di mana ALLah SWT menyeru hambaNYA kepada apa yang dapat memberi manfaat bagi agama dan dunia mereka, serta memerintahkan mereka untuk berdoa kepadaNYA baik doa  tersebut adalah doa untuk beribadah mahupun doa permohonan dan Dia menjanjikan untuk mengabulkan doa mereka. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, Hlm.740)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan : Ini adalah dari anugerah-Nya yang Maha Suci dan Maha Tinggi. Dengan kemurahan-Nya Dia memanggil hamba-hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya dan Dia menjawab doa-doa mereka. Seperti yang dikatakan oleh Sufyan al-Thauri:  orang yang paling dicintai-Nya oleh hamba-hamba-Nya adalah orang yang paling banyak memohon kepada-Nya, dan orang yang paling dibenci-Nya adalah orang yang tidak memohon kepada-Nya. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 7/153)

Perbuatan berdoa adalah suatu ibadah yang sangat dituntut di dalam Islam. Terdapat banyak nas yang sahih daripada al-Quran dan juga al-Sunnah yang menerangkan tentang kepentingan berdoa kepada Allah SWT. Antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Nu’man bin Basyir R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ الدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ

Maksudnya: “Berdoa itu adalah suatu ibadah.”

Riwayat Abu Dawud (1479), Tarmizi (2969) dan Ibn Majah (3828)

Menjawab bagi persoalan di atas, kami katakan terdapat banyak riwayat di mana  nabi pernah  melakukan doa qunut nazilah antaranya doa nabi SAW sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah  beliau berkata: Bahawa Rasulullah SAW apabila dia membaca سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ pada rakaat yang terakhir solat Isya’ Baginda melakukan qunut dengan berdoa:

اللهُمَّ أَنْجِ عَيَّاشَ بْنَ أَبِي رَبِيعَةَ، اللهُمَّ أَنْجِ الوَلِيدَ بْنَ الوَلِيدِ، اللهُمَّ أَنْجِ سَلَمَةَ بْنَ هِشَامٍ، اللهُمَّ أَنْجِ المُسْتَضْعَفِينَ مِنَ المُؤْمِنِينَ، اللهُمَّ اشْدُدْ وَطْأَتَكَ عَلَى مُضَرَ، اللهُمَّ اجْعَلْهَا عَلَيْهِمْ سِنِينَ كَسِنِي يُوسُفَ

Maksudnya: Ya Allah! Selamatkanlah ‘Ayyasy Bin Abu Rabi’ah. Ya Allah! Selamatkanlah al-Walid Bin al-Walid. Ya Allah! Selamatkanlah Salamah Bin Hisyam. Ya Allah! Selamatkanlah golongan-golongan yang lemah daripada kalangan orang-orang yang beriman. Ya Allah! Kuatkanlah azab-Mu terhadap suku Mudhar. Ya Allah! Jadikanlah tahun-tahun mereka seperti tahun-tahunnya Yusuf (apabila mereka ditimpa musibah kelaparan).”

Riwayat Bukhari (6393)

Berdasarkan hadith di atas, Imam al-Nawawi mengatakan bahawa pendapat yang sahih di sisi mazhab al-Syafie adalah: Sekiranya ditimpa ke atas orang-orang Islam musibah seperti ketakutan, kebuluran, wabak, (serangan) belalang dan lain-lain, maka dibacakan qunut pada semua solat, namun jika tiada musibah, maka tidak perlu membaca qunut. ( Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/475)

Imam al-Nawawi turut berkata: “Disyariatkan qunut dalam kesemua solat fardhu disebabkan nazilah (kejadian tertentu yang berlaku) dan bukanlah (ia dibaca) secara mutlak (yakni tanpa sebarang sebab).” (Lihat Minhaj al-Thalibin, 1/222)

Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam mensyarahkan kata-kata Imam Al-Nawawi di atas beliau berkata: “Sama ada nazilah (kejadian yang berlaku) itu bersifat umum atau pun perkara khusus yang melibatkan masyarakat umum yang mana kemudharatannya akan melibatkan umat Islam seperti wabak dan juga taun, demikian juga hujan lebat yang memudharatkan.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 2/68)

Dalam situasi seperti yang berlaku sekarang ini khas di bumi Gaza Palestin akibat serangan golongan yahudi terhadap kaum muslimin di sana, maka hendaklah kita berdoa dan melakukan qunut nazilah sebagaimana yang dianjurkan dalam Islam agar Allah SWT selamatkan saudara-saudara kita di sana. Sesungguhnya matinya penduduk Gaza adalah merupakan “izzah dan kemuliaan. Kita tengok pada hari ini berapa ramai manusia yang menjual kemuliaan atau ‘izzah untuk hidup dalam keadaaan kehinaan. Mereka hanya mengetahui nilai jiwa tetapi mereka tidak mengetahui nilai karamah insaniah atau kemulian insani.

Justeru,  memanjatkan doa kepada saudara seislam kita yang sedang menghadapi ujian yang getir ini adalah tanda seseorang muslim itu mempunyai keimanan. Kami menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia khasnya yang beragama islam untuk melakukan munajat dan doa kepada penduduk Palestin.

Semoga Allah SWT memberikan kemenangan kepada para mujahidin dalam menghadapi musuh-musuh islam demi mengangkat kalimah Allah SWT dan menolong golongan yang tertindas dari kalangan orang-orang yang beriman. Akhir kalam, kami akhiri dengan doa:

 اللهُمَّ أَنْجِ المُسْتَضْعَفِينَ مِنَ المُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Ya Allah! Selamatkanlah golongan-golongan yang lemah daripada kalangan orang-orang yang beriman.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply