Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah ikan flowerhone dimakan? Sebabnya saya ada terbaca satu tulisan/berita di facebook  yang menyatakan bahawa ada orang yang menggoreng ikan ini lalu dimakan. Pautan post tersebut saya sertakan di sini:

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=719063600261567&id=100064737994456&mibextid=CDWPTG

Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan takrifan ikan flowerhone terlebih dahulu. Ringkasnya, ikan Lou Han (atau dalam bahasa Inggeris dipanggil sebagai Flowerhorn) diterbitkan dari bahasa Cina iaitu Lou Han. Luo han pertama kali muncul di Malaysia sekitar tahun 1996-1997. Ikan ini adalah keturunan dari Amphilophus trimaculatus.

Setelah beberapa generasi, bentuk ikan ini berubah daripada induk asalnya. Setelah itu penternak ikan mula-mula mengabungkan ikan tersebut dengan ikan Blood Parrot yang merupakan hibrid dari C. citrinellum X C. synspilum. Dari hasil kahwin silang inilah lahirlah Luo han yang dikenali masa kini.

Pada awalnya, hasil kahwin silang tersebut tidak diterima secara luas, tapi setelah dilakukan “penyempurnaan” maka terhasilah bentuk dan corak warna yang disukai. Kemudian ikan tersebut diberi nama “Flowerhorn” atau “Luohan”. Proses pemilihan dan kahwin silang terus berlangsung sehingga dihasilkan berbagai jenis Luo Han dengan beraneka warna dan corak.[1]

Tambahan lagi, di sana terdapat tiga fakta ikan Flowerhorn yang luar biasa. Di antaranya adalah:

  • Ikan Flowerhorn kadang-kadang dianggap sebagai tanda keberuntungan, kesihatan, dan kejayaan oleh para pengumpulnya.
  • Begitu juga Ikan Flowerhorn akan berubah warna sepanjang hayat mereka. Mereka akan secara beransur-ansur mendapatkan warna penuh apabila mencapai kematangan, dan kemudian warna mereka akan perlahan-lahan pudar apabila mereka mula menua. Makanan berasaskan tumbuhan tertentu (seperti yang mengandungi xanthophyll) juga boleh mempengaruhi warna mereka. Perubahan warna yang drastik, terutamanya penampilan tiba-tiba tanda-tanda pucat atau bintik hitam, boleh menunjukkan tekanan, keadaan persekitaran yang buruk, atau malah penyakit.
  • Sesetengah jenis mempunyai garis bintik putih hingga gelap yang melintasi sisi badan. Tanda-tanda ini dipanggil “pearling” atau “garis bunga”.[2]

Dalam menjawab soalan di atas, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa menurut para ashab (ulama mazhab Syafi‘i), haiwan yang hidup di dalam air dan apabila ia keluar dari air hidupnya sama seperti haiwan yang disembelih seperti ikan  dan jenis-jenisnya, maka ia adalah halal untuk dimakan, dan tidak perlu kepada sembelihan (bagi menghalalkannya) tanpa sebarang khilaf. Bahkan, ia secara mutlak halal untuk dimakan, tidak kira ia mati dengan sebab yang nyata seperti tertimpa benda, hentakan batu, kurangnya air, dipukul pemburu atau sebab-sebab yang lain, atau mati dengan sendirinya sama ada ia timbul (terapung) di atas permukaan air ataupun tidak, semuanya adalah halal untuk dimakan tanpa sebarang khilaf di sisi kami (ulama mazhab Syafi‘i). (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/31).

Hal ini kerana ia termasuk sebagaimana firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

Maksudnya:Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.

(Surah al-Ma’idah: 96)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.

Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada kenyataan di atas, kami berpendapat bahawa ikan Lou Han atau lebih dikenali sebagai Flowerhone ini adalah halal dan boleh dimakan selagi mana tidak memudaratkan pemakannya sebagaimana ikan-ikan yang lain, bahkan tiada khilaf mengenainya. Tidak kira ia ikan liar atau ikan yang dipelihara mahupun ikan hibrid yang terhasil melalui kacukan silang, dan begitu juga bagaimana cara pun ia mati, ia tetap halal dimakan kerana ia termasuk dalam jenis hidupan air dan tidak memerlukan kepada sembelihan bagi menghalalkannya. Semua hidupan air adalah halal dimakan bangkainya sebagaimana nas yang sahih yang kami telah sebutkan di atas.

Seterusnya, kebiasaannya ikan Flowerhone ini dipelihara di dalam akuarium. Justeru, jika dikhuatiri dengan sebab pemakanannya di dalam akuarium ada memberi kesan atau perubahan kepada dagingnya, maka ia termasuk di bawah perbincangan haiwan jallalah.[3] Ringkasnya, kami berpendapat bahawa hukum memakan daging haiwan jallalah adalah makruh dan bukannya haram kerana ia adalah perkara yang mendatang (bukan kekal pada zat), yang mana paling banyak pun, hanya akan mengakibatkan perubahan pada dagingnya. Oleh yang demikian, perkara itu tidak menjadikan hukumnya haram. Penjelasan lanjut mengenainya bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #506 Memakan Ikan Keli yang Dipancing dari Kolam Najis.[4]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Ikan_Lou_Han. Diakses pada 11 Oktober 2023.

[2] Lihat https://a-z-animals.com/animals/flowerhorn-fish/. Diakses pada 11 Oktober 2023.

[3] Ibn Manzur, Abu Daud dan pengarang Mu‘jam Lughah al-Fuqaha’ mendefinisikan haiwan jallalah sebagai haiwan yang mana makanannya adalah najis dan seumpamanya, yang terdiri daripada tahi dan benda-benda kotor. Manakala di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah, haiwan jallalah didefinisikan sebagai haiwan yang makanannya berasal daripada najis sekalipun bukan daripada tahi seperti kambing yang membesar dengan susu daripada anjing atau keldai jinak. Sebahagian ulama yang lain pula menyebut bahawa haiwan jallalah ialah haiwan yang makan tahi dan najis, tidak kira haiwan tersebut adalah unta, lembu, kambing, ayam, angsa atau lain-lain. (Lihat Mu‘jam Lughah al-Fuqaha’, 1/165; Lisan al-‘Arab, 11/119; Sunan Abi Daud, 3/336; al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 15/260; Raudah al-Talibin, 3/278; Nail al-Autar, 8/139-140; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/558).

[4] Lihat https://maktabahalbakri.com/506-memakan-ikan-keli-yang-dipancing-dari-kolam-najis/. Diakses pada 29 Ogos 2023.

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *