Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah jatuh hukum Qazaf kpd seseorg yang berkata, “Kamu penzina,” hanya berdasarkan sabit hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah sivil. Dia tidak membuat tuduhan baharu cuma mengulang apa yang telah diputus oleh mahkamah sivil. Mohon pencerahan
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, orang Islam diharamkan menuduh orang Islam yang lain melakukan perbuatan keji (zina), tidak kira sama ada apa yang dikatakan itu benar sekiranya tuduhan tersebut palsu, ia adalah fitnah dan merupakan satu kezaliman. Berbohong adalah antara perbuatan haram yang paling buruk.
Walaupun tuduhan tersebut benar sekalipun, ia tetap dianggap salah. Ini kerana perbuatan ini akan mendedahkan rahsia dan mencemarkan maruah saudaranya. Apatah lagi Allah telah memerintahkan supaya kesalahan seperti ini disembunyikan oleh pelakunya apabila dia tergelincir dan melakukan noda atau dosa. Malah perbuatan ini hanya akan menghebahkan desas-desus yang tidak baik kepada masyarakat. Atas alasan ini, syara’ meletakkan tuduh zina sebagai dosa besar. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/65-66).
Terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوبِقَاتِ. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ الـمُحْصَنَاتِ الـمُؤْمِنَاتِ الغَافِلاَتِ
Maksudnya: “Hendaklah kamu menjauhi tujuh perkara yang membinasakan (tujuh dosa-dosa besar). Mereka bertanya: ‘Wahai Rasulullah, apakah perkara-perkara tersebut?’ Baginda bersabda: ‘Syirik kepada Allah, sihir, membunuh nyawa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan alasan yang dibenarkan, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri dari medan perang, dan menuduh (berzina) terhadap wanita-wanita yang memelihara maruah diri serta beriman lagi baik (lalai daripada pengaruh sekeliling).’”
Riwayat al-Bukhari (2766) dan Muslim (89)
Al-Mulla Ali al-Qari ada mensyarahkan berkenaan lafaz “وَقَذْفُ الـمُحْصَنَاتِ الـمُؤْمِنَاتِ الغَافِلاَتِ”. Beliau menyatakan bahawa perkataan muhsanat bermaksud wanita-wanita yang menjaga kesucian dan kehormatan mereka. Justeru, “قَذْفُ الـمُحْصَنَاتِ” merujuk kepada melemparkan tuduhan zina kepada mereka. Perkataan muhsanat “لْمُحْصَنَاتِ” iaitu dibaca dengan baris atas atau bawah pada huruf Sad merujuk kepada wanita-wanita yang dijaga dan diawasi oleh Allah SWT atau wanita yang memelihara kehormatan mereka daripada zina. Manakala lafaz “الْمُؤْمِنَاتُ” pula adalah mengeluarkan/mengecualikan daripada menuduh zina terhadap orang kafir. Ini kerana menuduh zina kepada orang kafir tidak termasuk dalam dosa-dosa besar. Jika orang kafir itu terdiri dalam kalangan ahli zimmah, maka menuduhnya zina termasuk dalam dosa-dosa kecil dan tidak dikenakan hukuman hudud kepada penuduhnya. Manakala menuduh zina terhadap seorang hamba perempuan pula dikenakan hukum takzir dan bukannya hudud, serta ia tertakluk kepada ijtihad imam (pemerintah). Begitu juga jika orang yang dituduh dengan zina itu adalah seorang lelaki, maka menuduhnya dengan zina itu termasuk dalam dosa-dosa besar dan boleh dikenakan hukum hudud qazaf. Adapun mengkhususkan dengan menyebut wanita (iaitu muhsanat) adalah bagi meraikan konteks ayat dan menunjukkan kepada adat kebiasaannya — yakni yang biasa dituduh dengan zina ialah wanita. Seterusnya perkataan ghafilat الْغَافِلَاتُ” pula merujuk kepada wanita-wanita yang lalai daripada memberi perhatian untuk melakukan perbuatan keji. Ia adalah sebagai kinayah yang menunjukkan kepada tanda kesucian mereka. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 1/124).
Bahkan orang yang menuduh tersebut boleh dikenakan hukuman hudud qazaf iaitu disebat sebanyak 80 kali sebatan, jika memenuhi syarat-syarat hukuman. Selain itu, hak pesalah yang menuduh itu untuk menjadi saksi juga akan digugurkan, kecuali sekiranya dia bertaubat. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ ﴿٤﴾ إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا مِن بَعْدِ ذَٰلِكَ وَأَصْلَحُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik (4). Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu (dari kesalahannya yang tersebut) serta memperbaiki amalannya, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah al-Nur: 4-5)
Menurut Imam al-Nawawi, para fuqaha telah bersepakat bahawa qazaf berlaku sama ada yang dituduh itu perempuan ataupun lelaki. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 22/94).
Selain itu, antara syarat sabitan zina ini adalah melalui beberapa kaedah:
- Didatangkan dengan empat orang saksi lelaki yang adil
- Al-Iqrar (Pengakuan Penzina
- Kehadiran kehamilan bagi yang belum berkahwin dengan tidak ada syubhah dan bukti yang menyatakan dia dipaksa sebagaimana pendapat yang rajih
Berkenaan dengan empat saksi, Allah SWT berfirman:
وَاللَّاتِي يَأْتِينَ الْفَاحِشَةَ مِنْ نِسَائِكُمْ فَاسْتَشْهِدُوا عَلَيْهِنَّ أَرْبَعَةً مِنْكُمْ
Maksudnya: Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka.
(Surah al-Nisa’: 15)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Sa’ad bin Ubadah R.A bekata:
يَا رَسُولَ اللَّهِ ، إِنْ وَجَدْتُ مَعَ امْرَأَتِي رَجُلًا أَؤُمْهِلُهُ حَتَّى آتِيَ بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ ؟ قَالَ : نَعَمْ
Maksudnya: “Wahai Rasulullah, jika aku menemui isteriku bersama seorang lelaki, adakah aku perlu menunggu sehingga aku membawa empat saksi?” Rasulullah SAW menjawab, “Ya.”
Riwayat Muslim (1498)
Namun begitu, pengesahan zina melalui saksi adalah perkara yang sangat sukar kerana agak susah untuk mendapatkan empat saksi yang dapat bersaksi tentang perbuatan zina secara langsung yang melibatkan terjadinya kemasukan zakar ke dalam faraj itu.
Manakala berkenaan dengan pengakuan daripada penzina itu sendiri, hal ini pernah terjadi pada zaman Rasulullah SAW sebagaimana kisah diantara Maiz bin Malik yang datang bertemu baginda SAW meminta untuk dihukum. Diriwayatkan daripada Buraidah al-Aslamiy R.A, katanya:
جَاءَ مَاعِزُ بْنُ مَالِكٍ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ طَهِّرْنِي . فَقَالَ ” وَيْحَكَ ارْجِعْ فَاسْتَغْفِرِ اللَّهَ وَتُبْ إِلَيْهِ ” قَالَ فَرَجَعَ غَيْرَ بَعِيدٍ ثُمَّ جَاءَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ طَهِّرْنِي . فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ” وَيْحَكَ ارْجِعْ فَاسْتَغْفِرِ اللَّهَ وَتُبْ إِلَيْهِ ” . قَالَ فَرَجَعَ غَيْرَ بَعِيدٍ ثُمَّ جَاءَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ طَهِّرْنِي . فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم مِثْلَ ذَلِكَ حَتَّى إِذَا كَانَتِ الرَّابِعَةُ قَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ” فِيمَ أُطَهِّرُكَ ” . فَقَالَ مِنَ الزِّنَى .
Ma’iz telah mendatangi dan menemui Rasulullah SAW lalu berkata: “Ya Rasulullah, sucikanlah aku”. Rasulullah SAW menjawab: “Celakalah engkau, pulanglah, dan bertaubatlah kepada Allah SWT”. Ma’iz pun bergerak pulang tetapi tidak lama daripada itu, dia datang semula dan berkata: “Ya Rasulullah, sucikanlah aku”, maka Rasulullah SAW menjawab: “Celakalah engkau, pulanglah, pohonlah keampunan Allah SWT, dan bertaubatlah kepada-Nya”. Ma’iz pun bergerak tetapi kemudian dia datang semula: “Ya Rasulullah, sucikanlah aku”. Rasulullah SAW pun menjawab seperti sebelumnya sehinggalah kali yang keempat. Lalu Rasulullah SAW bertanya: “Untuk hal apa aku perlu sucikan diri mu?” Ma’iz menjawab: Daripada dosa zina.
فَسَأَلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ” أَبِهِ جُنُونٌ ” . فَأُخْبِرَ أَنَّهُ لَيْسَ بِمَجْنُونٍ . فَقَالَ ” أَشَرِبَ خَمْرًا ” . فَقَامَ رَجُلٌ فَاسْتَنْكَهَهُ فَلَمْ يَجِدْ مِنْهُ رِيحَ خَمْرٍ . قَالَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ” أَزَنَيْتَ ” . فَقَالَ نَعَمْ . فَأَمَرَ بِهِ فَرُجِمَ فَكَانَ النَّاسُ فِيهِ فِرْقَتَيْنِ قَائِلٌ يَقُولُ لَقَدْ هَلَكَ لَقَدْ أَحَاطَتْ بِهِ خَطِيئَتُهُ وَقَائِلٌ يَقُولُ مَا تَوْبَةٌ أَفْضَلَ مِنْ تَوْبَةِ مَاعِزٍ أَنَّهُ جَاءَ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَوَضَعَ يَدَهُ فِي يَدِهِ ثُمَّ قَالَ اقْتُلْنِي بِالْحِجَارَةِ – قَالَ – فَلَبِثُوا بِذَلِكَ يَوْمَيْنِ أَوْ ثَلاَثَةً
Lalu Rasulullah SAW bertanya kepada orang yang berada disekelilingnya: “Adakah dia seorang yang gila?” Sahabat itu menjawab bahawa Ma’iz seorang yang waras. Rasulullah SAW bertanya lagi: “Adakah dia minum arak?”, lalu seorang lelaki bangun dan menghidu bau mulut Ma’iz dan mendapati tiadanya bau arak. Lalu Rasulullah SAW bertanya kepada Ma’iz: “Adakah engkau telah berzina?” Ma’iz pun menjawab: “Ya”. Lalu Rasulullah SAW menyuruh agar dia direjam. Ketika itu para sahabat menjadi dua kelompok. Seorang sahabat berkata: “Habislah dia, dosa-dosanya telah menyelubungi dirinya”. Sahabat yang lain pula berkata:”Tidak ada taubat yang lebih afdhal daripada taubat Ma’iz. Dia datang kepada Nabi SAW, lalu meletakkan tangannya di atas tangan baginda. Kemudian berkata: Bunuhlah aku dengan rejaman batu. Kemudian hal itu ditangguhkan sehinga dua atau tiga hari.
ثُمَّ جَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَهُمْ جُلُوسٌ فَسَلَّمَ ثُمَّ جَلَسَ فَقَالَ ” اسْتَغْفِرُوا لِمَاعِزِ بْنِ مَالِكٍ ” . قَالَ فَقَالُوا غَفَرَ اللَّهُ لِمَاعِزِ بْنِ مَالِكٍ . – قَالَ – فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ” لَقَدْ تَابَ تَوْبَةً لَوْ قُسِمَتْ بَيْنَ أُمَّةٍ لَوَسِعَتْهُمْ ”
Kemudian Rasulullah SAW datang kepada para sahabat yang sedang duduk lalu memberikan salam kepada mereka seraya berkata: “Mohonlah keampunan untuk Ma’iz bin Malik”. Lalu para sahabat pun menyebut: “Semoga Allah SWT mengampuni Ma’iz bin Malik. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya dia telah bertaubat, yang mana jika taubat itu dibahagi-bahagikan kepada seluruh umat, ia cukup untuk mereka semua”.
Riwayat Muslim (1695)
Kesimpulan
Adakah jatuh hukum Qazaf kpd seseorg yang berkata, “Kamu penzina,” hanya berdasarkan sabit hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah sivil. Dia tidak membuat tuduhan baharu cuma mengulang apa yang telah diputus oleh mahkamah sivil. Mohon pencerahan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa tuduhan zina memang tidak dibolehkan melainkan ada bukti, iaitu penyaksian empat orang yang adil yang benar-benar melihat kejadian tersebut, atau pengakuan daripada penzina itu sendiri.
Justeru, berkenaan dengan seseorang yang berkata, “Kamu penzina,” hanya berdasarkan hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah sivil tidaklah menjadi masalah kerana dia hanya mengulang sahaja apa yang telah disabitkan oleh mahkamah kerana dia hanya mengulangi atau menukilkan apa yang telah diputuskan oleh mahkamah. Namun adalah sebaiknya untuk dia berlepas diri daripada mengatakan sedemikian. Hal ini kerana kaedah yang masyhur menyebutkan:
إنْ كُنْتَ نَاقِلاً فالصِّحة، أوْ مُدّعِياً فالدَّلِيل
Maksudnya: “Jika sekiranya menukilkan sesuatu, maka sahkan terlebih dahulu. Atau jika membuat sesuatu dakwaan, maka hendaklah mengemukakan bukti.” (Lihat Dhawabit al-Ma’rifah, hlm. 368)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”
Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445