Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah keluarnya darah selain dari dua saluran qubul dan dubur termasuk dalam perkara yang membatalkan wuduk? Misalnya, keluar darah dari bekas luka di tangan dan seumpamanya. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, para fuqaha telah bersepakat mengenai pengharaman darah (yang mengalir) dan juga kenajisannya.  (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/557; al-Hidayah Syarh Bidayah al-Mubtadi, 1/34-35; Mawahib al-Jalil, 3/234; Mughni al-Muhtaj, 1/112; al-Mughni, 11/65; al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 2/220-221).

Di antara dalil yang menunjukkan kepada kenajisan darah (yang mengalir) ialah kita diperintahkan untuk mencucinya. Ini sebagaimana riwayat daripada daripada Asma’, katanya:

جَاءَتِ امْرَأَةٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: أَرَأَيْتَ إِحْدَانَا تَحِيضُ فِي الثَّوْبِ، كَيْفَ تَصْنَعُ؟ قَالَ: تَحُتُّهُ، ثُمَّ تَقْرُصُهُ بِالمَاءِ، وَتَنْضَحُهُ، وَتُصَلِّي فِيهِ

Maksudnya:Seorang perempuan datang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: ‘Bagaimanakah pendapat tuan jika salah seorang daripada kami, kainnya terkena darah haid, apakah yang harus dia lakukan?’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Hendaklah dia menyental (kain yang terkena darah itu), kemudian menggores dengan kukunya dengan air, dan merenjisnya dengan air, setelah itu bolehlah dia menunaikan solat dengannya.’

Riwayat al-Bukhari (227)

Keduanya, berkenaan perkara-perkara yang membatalkan wuduk pula ada disebutkan di dalam al-Fiqh al-Manhaji (1/62-63) bahawa perkara yang membatalkan wuduk ada lima, iaitu:

  1. Keluar sesuatu daripada salah satu saluran qubul dan dubur kencing, tahi, darah, kentut dan lain-lain.
  2. Tidur yang tidak tetap. Maksud ‘tetap’ di sini ialah duduk dalam keadaan punggung bertaup rapat dengan lantai manakala maksud tidak tetap pula ialah terdapat rongga di antara punggung dan lantai.
  3. Hilang akal disebabkan sama ada mabuk, pitam, sakit atau gila.
  4. Seseorang lelaki menyentuh isterinya atau perempuan lain tanpa berlapik dan perbuatan itu membatalkan wuduk kedua-duanya. Maksud perempuan lain ialah perempuan yang halal berkahwin.
  5. Menyentuh kemaluan manusia, sama ada diri sendiri atau orang lain, sama ada qubul atau dubur dengan tapak tangan dan perut-perut jari tanpa berlapik.

Selain itu, dijelaskan juga bahawa segala sesuatu yang keluar dari saluran selain daripada saluran qubul dan dubur, jika ia bukan najis, maka tidak dianggap sebagai pembatal wuduk menurut kesepakatan para ulama. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 17/113).

Ketiganya, dalam menjawab soalan di atas, para fuqaha berbeza pendapat bahawa adakah keluarnya sesuatu yang bernajis dari tubuh badan selain melalui jalan qubul dan dubur turut membatalkan wuduk seseorang? Ulama Malikiyah dan Syafi‘iyyah berpendapat bahawa keluarnya najis (termasuk darah) dari tubuh seseorang tidak membatalkan wuduknya. Sebaliknya apa yang wajib ke atasnya adalah membersihkan atau menyucikan tempat yang terkena najis yang keluar dari tubuh tersebut, sedangkan wuduknya tetap dikira sah melainkan ia terbatal dengan sebab yang lain.

Manakala ulama Hanafiyyah dan Hanabilah pula menaskan bahawa najis yang keluar dari badan selain melalui jalan qubul dan dubur — seperti muntah, darah dan seumpamanya — membatalkan wuduk seseorang. Hal ini adalah secara umumnya, di samping terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan mereka berkenaan isu ini — yakni perinciannya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 43/386).

Di antara dalil yang dijadikan dasar bahawa keluarnya darah, tidak termasuk perkara membatalkan wuduk adalah hadith yang disebutkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab sahihnya. Imam al-Bukhari menyatakan, disebutkan daripada Jabir R.A bahawa:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ فِي غَزْوَةِ ذَاتِ الرِّقَاعِ فَرُمِيَ رَجُلٌ بِسَهْمٍ، فَنَزَفَهُ الدَّمُ، فَرَكَعَ، وَسَجَدَ وَمَضَى فِي صَلاَتِهِ

Maksudnya: “Ketika Nabi SAW dalam peperangan Zat al-Riqa‘, pernah berlaku seorang lelaki (sahabat Nabi SAW) dipanah musuh ketika beliau sedang solat dan anak panah yang mengenainya itu menyebabkan darah mengalir dengan banyak dari tubuhnya. Akan tetapi beliau tetap rukuk, sujud dan meneruskan solatnya.”

Kemudian, Imam al-Bukhari menukilkan pula daripada al-Hasan yang menjelaskan bahawa orang-orang Islam tetap melaksanakan solat dengan luka-luka yang ada pada tubuh mereka. Begitu juga Tawus, Muhammad bin Ali, ‘Ata’ dan ulama Hijaz berpendapat, tidak perlu berwuduk kerana keluar darah. Selain itu, Ibn Umar pernah memicit jerawatnya  lalu keluar darah, tetapi beliau tidak mengulangi wuduk kerananya. Tambahan lagi, Ibn Abi Aufa juga pernah meludahkan darah, namun beliau terus menyempurnakan solatnya. Begitu juga Ibn Umar dan al-Hasan berkata mengenai orang yang berbekam: “Tidak perlu dia melakukan apa-apa selain membasuh tempat-tempat yang dibekam itu.” (Lihat Sahih al-Bukhari, 1/76).

Selain daripada itu, Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin pernah ditanya berkenaan adakah apa-apa yang keluar dari selain dua saluran; qubul dan dubur membatalkan wuduk? Beliau menjawab, apa-apa yang keluar dari selain qubul dan dubur tidak membatalkan wuduk, tidak kira yang keluar itu banyak atau sedikit, melainkan air kencing dan tahi. Hal ini kerana perkara tersebut asalnya tidak membatalkan wuduk. Justeru, sesiapa yang mendakwa sesuatu yang menyalahi hukum asalnya, mestilah membawakan dalil. Apatah lagi, telah sabit hukum wuduk seseorang itu berdasarkan kepada dalil syar‘i, dan apa yang telah sabit dengan dalil syar‘i tidak boleh diangkat (dibatalkan) melainkan juga dengan dalil syar‘i. Selain itu, kita juga tidak mengeluarkan apa-apa (hukum) yang telah ditunjukkan daripada al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW kerana kita beribadah berdasarkan kepada syariat Allah SWT dan bukannya hawa nafsu.

Adapun berkaitan hadith yang menunjukkan bahawa Nabi SAW muntah lalu berwuduk, hadith ini telah dinilai dhaif oleh majoriti para ulama. Kemudian, beliau berpendapat, hadith ini menunjukkan kepada semata-mata perbuatan dan semata-mata perbuatan tidak menunjukkan kepada hukumnya adalah wajib kerana ia bebas daripada perintah. Malah, terdapat hadith lain yang menyanggahinya — sekalipun ia dinilai dhaif — bahawa Nabi SAW berbekam dan mendirikan solat serta tidak memperbaharui wuduknya. Oleh itu, ia menunjukkan bahawa perbuatan wuduk Baginda selepas muntah bukanlah diwajibkan. Seterusnya, beliau menyimpulkan, inilah pendapat yang kuat bahawa apa-apa yang keluar dari badan — selain qubul dan dubur — tidak membatalkan wuduk sekalipun banyak, tidak kira muntah, air liur, darah, air luka dan seumpamanya, kecuali air kencing dan tahi. Misalnya, dibuka pada mana-mana bahagian badan untuk mengeluarkan air kencing dan tahi, maka ia membatalkan wuduk dengan sebab keluarnya itu. (Lihat Majmu‘ Fatawa Ibn ‘Uthaimin, 11/198).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa keluarnya darah dari tubuh badan selain melalui saluran qubul dan dubur tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan wuduk, sekalipun ia keluar dalam jumlah yang banyak. Ini kerana sekalipun ia dihukumkan sebagai najis, ia tidak memberi kesan terhadap kesahan wuduk seseorang mahupun membatalkan kesahannya. Namun, jika dia ingin mendirikan solat, maka wajib ke atasnya untuk membersihkan kawasan yang terkena najis atau darah itu kerana suci daripada hadas dan najis termasuk di antara syarat sah solat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply