#3538: Nenek Pertikai Anak Terlalu Mentaati Suaminya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Mohon pandangan Dato, ibu saya ada mak dan ayah yang masih hidup dan nenek saya asyik membencinya walhal sudah bermacam cara untuk melembutkan hatinya tetapi tetap dibenci sejak ibu saya menikah. Ibu dimarahi nenek kerana terlalu mentaati suaminya dan berpanjangan hingga sekarang. Dia siap melaknat kami sekeluarga jika jejak tanahnya? Bagaimana ya Dato, adakah berdosa jika kami tetap pergi ke rumahnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sebelum meneruskan perbincangan tentang persoalan yang diajukan, kami ingin menekankan terlebih dahulu bahawa mentaati ibu bapa itu merupakan tuntutan agama selama mana ianya tidak bertentangan dengan syara‘. Oleh yang demikian, kita mendapati Allah SWT meletakkan ibu bapa ditempat kedua selepas ketaatan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.

Firman Allah SWT:

وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا

Maksudnya: “Dan kamu sembahlah Allah, dan jangan sesekali kamu mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa.”

(Surah al-Nisa’: 36)

Imam Ibn Kathir mengatakan bahawa, Allah SWT mewasiatkan kepada semua hamba-Nya agar berbuat ihsan kepada kedua ibu bapa. Sesungguhnya Allah SWT menjadikan mereka itu sebab lahirnya kita daripada yang dahulunya tiada kepada ada. Dan betapa banyak Allah SWT menyebutkan bersama antara beribadah kepada-Nya dengan berbuat ihsan kepada kedua ibu bapa. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/261)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan apabila seorang anak perempuan itu telah bergelar isteri, maka menjadi tanggungjawabnya untuk mentaati suaminya selagi mana si suami menyuruh perkara yang baik dan tidak melanggar hukum syarak. Rasulullah SAW bersabda:

أَلاَ أُخْبِرُكَ بِخَيْرِ مَا يَكْنِزُ الْمَرْءُ الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ إِذَا نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ وَإِذَا أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ وَإِذَا غَابَ عَنْهَا حَفِظَتْهُ

Maksudnya: Mahukah kamu, aku tunjukkan sebaik-baik perkara yang disimpan oleh lelaki? Perkara itu ialah seorang isteri yang solehah, iaitu apabila dipandang, menggembirakannya, apabila diperintahkan, mentaatinya, dan apabila suaminya tiada, dia memelihara dirinya dan harta suaminya.

Riwayat Abu Daud (1664) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak, di mana beliau mensahihkannya

Justeru, kami menasihatkan agar saudari sekeluarga selalu menyapa dan berbuat kepada nenek saudari meskipun layanannya kurang menyenangkan. Kita harus mengerti kadangkala hati seorang ibu ini, walaupun ucapannya sedikit pedas, namun hakikatnya hatinya lembut. Oleh itu, antara ikhtiar yang boleh dilakukan dalam memenangi hati nenek saudari ialah seperti membawanya keluar makan bersama, mengajak ke masjid bersama-sama, berborak perkara yang disukainya, membawa buah tangan apabila kunjung ke kampung, membantu serba sedikit urusan rumah dan sebagainya. Moga berkat kita bersabar, berdoa dan terus berbuat baik kepadanya akan melembutkan hatinya agar menerima dengan hati yang terbuka.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahua`lam.

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *