Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan, sahkah solat kalau luka itu berdarah ketika dalam solat? Plaster ditukar dua hari sekali. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami nyatakan terlebih dahulu bahawa para fuqaha telah bersepakat mengenai pengharaman darah (yang mengalir) dan juga kenajisannya.  (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/557; al-Hidayah Syarh Bidayah al-Mubtadi, 1/34-35; Mawahib al-Jalil, 3/234; Mughni al-Muhtaj, 1/112; al-Mughni, 11/65; al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 2/220-221).

Di antara dalil yang menunjukkan kepada kenajisan darah (yang mengalir) ialah kita diperintahkan untuk mencucinya. Ini sebagaimana riwayat daripada daripada Asma’, katanya:

جَاءَتِ امْرَأَةٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: أَرَأَيْتَ إِحْدَانَا تَحِيضُ فِي الثَّوْبِ، كَيْفَ تَصْنَعُ؟ قَالَ: تَحُتُّهُ، ثُمَّ تَقْرُصُهُ بِالمَاءِ، وَتَنْضَحُهُ، وَتُصَلِّي فِيهِ

Maksudnya:Seorang perempuan datang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: ‘Bagaimanakah pendapat tuan jika salah seorang daripada kami, kainnya terkena darah haid, apakah yang harus dia lakukan?’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Hendaklah dia menyental (kain yang terkena darah itu), kemudian menggores dengan kukunya dengan air, dan merenjisnya dengan air, setelah itu bolehlah dia menunaikan solat dengannya.’

Riwayat al-Bukhari (227)

Seterusnya, sebagaimana yang kita ketahui bahawa di antara syarat sah solat ialah suci anggota badan daripada hadas dan juga najis. Begitu juga suci pakaian dan tempat bersolat daripada najis. Tempat bersolat bermaksud ruang yang digunakan oleh orang yang bersolat termasuk tempat berpijak hingga ke tempat sujud yang bersentuhan dengan badannya ketika bersolat. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/121-123).

Manakala darah pula sebagaimana yang kita telah jelaskan sebelum ini adalah najis. Ini bermakna darah jika terkena pada badan, pakaian atau tempat solat maka solat itu tidak sah kerana dikira sebagai menanggung najis. Sekalipun begitu, dalam hal darah tersebut, para ulama membezakan di antara jumlah atau kuantiti darah yang terkena pada badan/pakaian dalam menentukan kesahan solatnya.

Justeru, darah yang sedikit yang terkena pada pakaian, tidak kira ia darah manusia mahupun darah haiwan, maka ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan dan sah solat dengannya. Menurut Imam Nawawi, apabila seseorang itu membunuh nyamuk dan kutu dan darahnya terkena pada pakaian atau melekat pada celah-celah jari, hukumnya adalah najis jika ia dalam jumlah yang banyak. Adapun jika sedikit, maka terdapat perselisihan ulama mengenainya, dan pendapat yang paling sahih, ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan. (Lihat  al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/135).

Tambahan lagi, hal ini juga adalah sebagaimana dinyatakan oleh Syeikh Nawawi al-Jawi al-Bantani dalam kitabnya, bahagian najis yang dimaafkan pada pakaian tetapi tidak dimaafkan pada air iaitu darah yang sedikit. Hal ini kerana mudah untuk mengelakkan air dari terkena darah, berbeza halnya dengan pakaian (yang sukar untuk dielakkan daripada terkena darah). Termasuklah juga dalam bahagian ini kesan istinja’ dengan batu, ia juga dimaafkan pada pakaian dan badan sekalipun jika sebahagiannya mengalir dengan peluh lalu terkena pada pakaian di tempat berhampiran kemaluan ia turut dimaafkan. Namun, tidak dimaafkan dalam hal beristinja’ dengan air. (Lihat Nihayah al-Zain, hlm. 44).

Selain daripada itu, pengarang al-Fiqh al-Manhaji juga ada menyebutkan sebahagian najis-najis yang dimaafkan. Di antaranya, darah luka atau nanah walaupun banyak dengan syarat ia terjadi pada dirinya sendiri, bukan daripada perbuatannya dan tidak disengajakannya, serta tidak terkena ke tempat lain. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/43).

Begitu juga al-Bakri al-Dimyati juga ada menyatakan, darah bisul, luka, jerawat, tempat-tempat fasdu (flebotomi) dan bekam selepas ditutup atau ditampal dengan kapas misalnya, maka ia dimaafkan pada kadar/kuantiti darah yang banyak sebagaimana ia dimaafkan pada kuantiti yang sedikit, sekalipun ia tersebar disebabkan berbekam selagimana bukan daripada hasil perbuatannya sendiri dan tidak melampaui tempatnya (yakni tidak terkena tempat lain). Sekiranya tidak, maka ia dimaafkan pada kadar/kuantiti yang sedikit. (Lihat I‘anah al-Talibin, 1/120).

Oleh itu, dapat difahami daripada kenyataan di atas, jika darah seseorang keluar disebabkan luka sekalipun banyak bukan kerana perbuatannya sendiri, lalu tempat luka itu dibalut dengan kain atau seumpamanya, maka ia termasuk dalam najis yang dimaafkan dengan syarat ia tidak berpindah ke tempat lain, meskipun jelas pada balutan tersebut kesan merah disebabkan banyaknya darah yang keluar.

Kesimpulannya

Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa luka yang berdarah tetapi ia tertahan dengan balutan atau plaster adalah tidak memudaratkan solat seseorang, sekalipun darah itu keluar dengan banyaknya sehingga jelas warna merah pada balutan itu selagi mana ia tidak merebak ke tempat lain. Dalam erti kata lain, solatnya masih dikira sah.

Namun, jika lukanya yang berdarah itu bukan dalam keadaan berbalut atau berplaster, maka ia hendaklah dilihat. Jika jumlah/kuantiti darah yang keluar sedikit, maka ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan dan sah solat dengannya. Akan tetapi jika jumlah/kuantiti darah yang keluar adalah banyak, maka tidak sah solat dengannya kerana dikira menanggung najis. Manakala penentuan atau kayu ukur untuk menentukan najis itu banyak atau sedikit kembali semula kepada ‘uruf dan kebiasaan setempat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 16 Oktober 2023 bersamaan 1 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply