Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya pesakit ADHD yang perlu makan ubat di siang hari. bagaimana jika saya ingin berpuasa? Bolehkah saya makan ubat semasa siang hari, adakah terbatal puasa saya? Saya nak berpuasa seperti orang biasa. Saya telah mencuba makan ubat ketika sahur, namun akan menjejaskan prestasi di tempat kerja.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Definisi ADHD

Pertamanya, Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD) atau Sindrom Kurang Daya Tumpuan seperti yang dijelaskan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi laman rasmi mereka MyHealth, merupakan satu kecelaruan tingkah laku yang biasa terjadi di kalangan kanak-kanak. Gejala ini mengakibatkan kanak-kanak yang mengalaminya sukar mengawal tingkah laku mereka dalam memberi tumpuan yang sepenuhnya.[1]

Mereka yang menghidap penyakit ADHD ini mempunyai beberapa kaedah untuk mengurangkan simptom-simptom penyakit tersebut, antaranya adalah psikososial dan ambilan ubat-ubatan. Melalui kaedah pengambilan ubat-ubatan, mereka yang mengalami ADHD akan diberikan ubat bukan stimulant bagi mengurangkan simptom-simptom yang ditunjukkan. Ini bermaksud sekiranya kanak-kanak mengambil ubat yang diberikan oleh doktor psikiatri, kanak-kanak ini mungkin akan menjadi kurang hiperaktif. Contoh ubat-ubatan yang biasa digunakan adalah Ritalin. Namun begitu, kaedah ubat-ubatan tidak digalakkan. Pengambilan ubat-ubatan  merupakan pilihan terakhir dalam merawat masalah ADHD kerana kesan jangka panjang penggunaannya masih belum dapat dikenalpasti.[2]

Puasa bagi Pesakit yang Perlu Makan Ubat pada Siang Hari

Menjawab persoalan di atas, kami terangkan terlebih dahulu perkara yang telah digariskan oleh para fuqaha’ sebagai perkara yang membatalkan puasa. Antaranya adalah memakan sesuatu atau memasukkan sesuatu melalui rongga yang terbuka di siang hari bulan Ramadhan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (Maghrib).”

(Surah  al-Baqarah: 187)

Imam Abu Bakar al-Jaza’iri mengatakan, Allah SWT telah mengehadkan waktu yang ditetapkan untuk muslimin berpuasa padanya, iaitu pada siang hari bermula dari terbitnya fajar hingga terbenam matahari. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/167)

Ini bertepatan dengan takrifan yang diletakkan oleh para fuqaha’ bagi maksud puasa itu sendiri. Termasuklah dalam memasukkan sesuatu melalui rongga yang terbuka itu, makan di siang hari Ramadhan. Ini bertepatan dengan takrifan makan seperti yang dibawakan oleh Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, makan adalah memamah serta menelan makanan, mengunyah, menelan, melulur, menghisap, dan lain-lain.

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji juga menyebutkan, salah satu daripada perkara yang membatalkan puasa ialah sampainya suatu ain ke jauf (rongga) daripada saluran yang terbuka. Ain itu adalah suatu yang boleh dilihat dengan mata kasar. Jauf pula ialah bahagian otak atau bahagian selepas tekak sehingga perut dan usus-usus. Saluran terbuka pula bermaksud mulut, telinga, alat sulit hadapan, dan belakang, bagi lelaki dan perempuan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/342)

Berbalik kepada persoalan yang saudara ajukan, jika benar saudara perlu bergantung kepada ubat-ubatan di siang hari supaya kehidupan normal seharian saudara tidak terkesan, maka ia telah dikira sebagai mudharat yang lebih aula untuk diutamakan agar tidak memberikan kesan kepada orang sekeliling. Maka kewajiban puasa ke atas saudara pada ketika ini telah pun terangkat kerana sakit yang dihidapi. Islam tidaklah memaksa mereka yang tidak berkemampuan untuk berpuasa seperti mereka yang mampu, akan tetapi ditetapkan ke atas mereka yang tidak berpuasa untuk menggantikannya dengan membayar fidyah kepada faqir miskin.

Firman Allah SWT:

أَيَّامًا مَّعْدُودَاتٍ ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ

Maksudnya: “(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.”

(Surah al-Baqarah: 184)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan oleh saudara, kami katakan bahawa memakan ubat itu termasuklah dalam perkara yang membatalkan puasa. Jika saudara benar-benar ingin berpuasa seperti orang lain, saudara perlu menahan diri dari memakan ubat-ubatan pada siang hari dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Akan tetapi, kami syorkan untuk saudara merujuk kepada pakar terlebih dahulu sebelum meninggalkan pengambilan ubat bagi tujuan berpuasa. Perkara ini amatlah penting bagi mengelakkan sebarang mudharat yang lebih besar berlaku.

Ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”

(Surah al-Nahl: 43)

Ketika menafsirkan ayat di atas, Imam Abu Hayyan menukilkan kalam al-Zajjaj, katanya: “(Ahli Zikri) adalah umum pada setiap orang yang disandarkan dengannya ilmu.” (Lihat al-Bahr al-Muhit, 6/533)

Jika pakar perubatan mengatakan bahawa saudara sememangnya perlu mengambil ubat-ubatan di siang hari, maka tidak perlu berpuasa lagi dan cukup dengan membayar fidyah. Ketahuilah bahawa Allah SWT tidak memaksa hamba-Nya untuk melakukan perkara yang berada di luar kemampuannya, bahkan memberikan keringanan untuk hamba-Nya yang kurang berkemampuan untuk melakukan amal ibadah sekadar kemampuan mereka. Firman Allah SWT:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”

(Surah al-Taghabun: 16)

Semoga niat dan usaha saudara untuk melakukan amal ibadah dengan sempurna itu diganjarkan dengan pahala oleh Allah SWT. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

Wallahu a‘lam

[1] Lihat http://www.myhealth.gov.my/sokongan-keluarga-terhadap-anak-adhd/#:~:text=Attention%20Deficit%20Hyperactive%20Disorder%20(ADHD,hiperaktif%20dan%20menurut%20kata%20hati. Diakses pada 16 Oktober 2023.

[2] Lihat http://www.myhealth.gov.my/hiperaktif-adakah-salah-asuhan/. Diakses pada 16 Oktober 2023.

Bertarikh: 17 Oktober 2023 bersamaan 2 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply