Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Berapakah bilangan khutbah istisqa’? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, terdapat riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa:

خَرَجَ اَلنَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم مُتَوَاضِعًا مُتَبَذِّلًا مُتَخَشِّعًا مُتَرَسِّلًا مُتَضَرِّعًا فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَمَا يُصَلِّي فِي اَلْعِيدِ  لم يَخطبْ خطبتَكم هذه

Maksudnya: “Nabi SAW keluar dalam keadaan tawaduk (merendah diri), memakai pakaian yang kasar, khusyuk, berjalan perlahan-lahan dan tunduk patuh (menyerah diri kepada-Nya). Kemudian Baginda mendirikan solat dua rakaat sebagaimana Baginda solat hari raya tetapi Baginda tidak menyampaikan khutbah sebagaimana khutbah kamu ini.

Riwayat Ahmad (3321); Abu Daud (1165); al-Tirmizi (558); al-Nasa’i (2521); Ibn Majah (1266)[1]

Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan hadith di atas menyatakan lafaz “مُتَوَاضِعًا” bermaksud pada zahirnya bersikap merendah diri dan tunduk patuh di hadapan Allah SWT. Oleh itu, sifat tawaduk ini lawan kepada sikap takbur atau berbangga diri. Manakala lafaz “مُتَبَذِّلًا” pula merujuk kepada perbuatan meninggalkan perhiasan kerana bersikap tawaduk. Jadi, seseorang itu memakai pakaian kerja (yang biasanya lusuh dan tidak megah). Seterusnya, lafaz “مُتَخَشِّعًا” bermaksud menzahirkan kekhusyukkan dalam diri dan juga luarannya melalui suara yang rendah atau perlahan, menundukkan pandangan dan tunduk patuh (kepada Allah SWt) dalam hati dan tubuh badan. Kemudian, lafaz “مُتَرَسِّلًا” merujuk kepada perbuatan berjalan dengan tenang dan tidak tergesa-gesa. Seterusnya, lafaz “مُتَضَرِّعًا” bermaksud tunduk patuh (merendah diri) dan menghinakan diri. Dalam erti kata lain, berlebih-lebihan dalam meminta dan mengharapkan (agar permohonan dikabulkan), dengan menzahirkan sikap rendah diri dan kehinaan diikuti dengan zikir dan doa.

Kemudian, berkenaan lafaz “لم يَخطبْ خطبتَكم هذه”, difahami daripadanya bahawa Baginda SAW berkhutbah. Akan tetapi khutbah ini berbeza daripada khutbah yang ditunjukkan oleh perawi dari segi isinya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/78-79). Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh pengarang al-Fiqh al-Manhaji bahawa apabila selesai bersolat, imam berkhutbah sebagaimana khutbah hari raya. Akan tetapi, apabila dia memulakannya dengan beristighfar sebanyak sembilan kali pada khutbah yang pertama dan sebanyak tujuh kali pada khutbah yang kedua sebagai ganti pada solat hari raya.

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا ‎﴿١٠﴾‏ يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا ‎

Maksudnya: “Sehingga Aku berkata (kepada mereka): ‘Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, Sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu.’

(Surah Nuh: 10-11)

Setelah berlalu sepertiga khutbah yang kedua, khatib hendaklah berpaling menghadap kiblat dan membelakangi para jemaah. Seterusnya, dia mengubah kedudukan selendangnya yang bahagian atas ke bawah dan yang bahagian bawah ke atas, diikuti bahagian kanan diubah ke kiri dan bahagian kiri diubah ke kanan. Semua ini dilakukan untuk menzahirkan rasa rendah diri yang teramat sangat kepada Allah SWT. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/244-245).

Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, Syeikh Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam menyebutkan, para ulama berselisih pendapat mengenai khutbah solat istisqa’ kepada dua pendapat. Pendapat yang masyhur menurut mazhab Imam Ahmad ialah solat istisqa’ padanya hanya satu khutbah. Hal ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan selainnya daripada riwayat Ibn Abbas R.Anhuma, katanya ketika menceritakan mengenai sifat khutbah Nabi SAW:

وَلَمْ يَخْطُبْ كَخُطْبَتِكُمْ هَذِهِ

Maksudnya: “Dan Baginda tidak berkhutbah seperti mana khutbah kamu ini.

Dinyatakan dalam Syarh al-Mufradat bahawa pendapat ini adalah pendapat yang sahih daripada mazhab (Hanbali) dan pendapat yang dipegang oleh jumhur ashab (mazhab Hanbali). Selain itu, ini juga merupakan pendapat ‘Abd al-Rahman bin Mahdi dan termasuk dalam mufradat (mazhab Hanbali).

Manakala Imam Malik dan Syafi‘i berpendapat bahawa disyariatkan padanya sebanyak dua khutbah. Ini juga merupakan salah satu riwayat daripada Imam Ahmad dan pendapat yang dipilih oleh sebahagian ashab seperti al-Khiraqi dan Ibn Hamid. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/80).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa perkara ini termasuk dalam khilaf ulama; ada dalam kalangan mereka yang berpendapat hanya satu khutbah dan ada juga dalam kalangan mereka yang berpendapat, dua khutbah. Kami berpendapat bahawa khutbah solat istisqa’ adalah sebanyak dua khutbah sebagaimana majoriti ulama termasuklah pendapat mazhab Syafi‘i yang diamalkan dalam konteks negara kita.

Sekalipun begitu, kami juga berpendapat bahawa dalam hal ini adalah luas. Justeru, ia kembali semula kepada pengamalan mazhab di negara atau tempat masing-masing. Ini juga adalah sebagaimana disimpulkan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam, akan tetapi beliau berpendapat, ittiba‘ (mengikuti perbuatan Nabi SAW yang thabit dengan nas) adalah lebih utama. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/80).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

[1] Syeikh Abdullah al-Bassam menilai hadith ini sebagai sahih. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/78).

Bertarikh: 17 Oktober 2023 bersamaan 2 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply