Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah doa Saidina Umar ketika khutbah istisqa’? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrifan istisqa’. Istisqa’ ialah memohon kepada Allah SWT agar diturunkan hujan ketika berlakunya kemarau dan kekeringan serta nampak kesan-kesan buruk daripada perkara tersebut. Istisqa’ boleh dilakukan sama ada dengan doa semata-mata atau boleh juga dengan doa selepas solat. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/76).

Menurut pengarang al-Fiqh al-Manhaji, solat Istisqa’ ialah solat yang disyariatkan apabila berlaku kemarau. Ia sunat dilakukan apabila ada sebab tersebut, dan tidak sunat lagi apabila hujan turun atau mata air mengalir kerana sebab-sebabnya telah luput. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/585).

Seterusnya, berkenaan hukumnya pula Ibn ‘Abd al-Barr ada menyatakan bahawa para ulama telah berijma‘ bahawa keluar beramai-ramai untuk solat Istisqa’ dengan berdoa dan memohon kepada Allah untuk menurunkan hujan ketika musim kemarau dan kekeringan melanda hukumnya adalah sunat, yang telah disunnahkan oleh Rasulullah SAW tanpa ada perbezaan pendapat oleh para ulama dalam hal ini. (Lihat al-Tamhid, 17/172).

Dalam menjawab soalan di atas, terdapat riwayat daripada Anas bin Malik R.A bahawa:

أَنَّ عُمَرَ بْنَ الخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، كَانَ إِذَا قَحَطُوا اسْتَسْقَى بِالعَبَّاسِ بْنِ عَبْدِ الـمُطَّلِبِ، فَقَالَ: اللَّهُمَّ إِنَّا كُنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّنَا فَتَسْقِينَا، وَإِنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِعَمِّ نَبِيِّنَا فَاسْقِنَا، قَالَ: فَيُسْقَوْنَ

Maksudnya: “Umar bin al-Khattab R.A ketika mereka ditimpa musim kemarau, beliau meminta hujan dengan perantara al-Abbas bin ‘Abd al-Muttalib, dengan berdoa: “Ya Allah, sesungguhnya kami dahulu memohon kepada-Mu dengan perantaraan Nabi kami, maka Engkau menurunkan hujan kepada kami. Kini kami memohon kepada-Mu dengan perantaraan bapa saudara Nabi kami, maka turunkanlah hujan kepada kami.” Anas berkata: “Lalu diturunkan hujan kepada mereka.

Riwayat al-Bukhari (1010)

Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan lafaz “اسْتَسْقَى بِالعَبَّاسِ” berasal daripada perkataan al-Istisqa’ (الاستسقاء) iaitu perbuatan meminta hujan. Dalam erti kata lain, meminta turunnya hujan ke atas negeri-negeri dan para hamba. Di sini maksudnya ialah Umar bin al-Khattab R.A meminta supaya al-‘Abbas berdoa kepada Allah agar diturunkan hujan. Seterusnya, lafaz “نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ” pula bermaksud kami menjadikan doanya sebagai wasilah (perantara) buat kami kepada Engkau (Allah) dalam mengharapkan diturunkan hujan.

Kemudian, beliau menyebutkan pula beberapa faedah yang dapat diperoleh atau diambil daripadanya. Di antaranya, hadith ini menunjukkan kepada istihbab (sunat) solat istisqa’ dan berdoa dalam khutbahnya. Bahkan ia merupakan sunnah muttaba‘ah (yakni sunnah yang menjadi ikutan), di mana ia dilakukan oleh para sahabat R.Anhum selepas kewafatan Baginda SAW. Maka ia sudah menjadi seolah-olah seperti ijma‘.

Begitu juga sebab dilakukan istisqa’ dengan solat dan doa itu adalah kerana wujudnya kemarau yang memudaratkan kaum Muslimin; dan hal itu kerana hujan tidak turun (dalam tempoh yang lama) dan sedikitnya padang ragut. Selain itu, para sahabat R.Anhum juga tidak pergi ke kubur Nabi SAW lalu meminta doa daripadanya serta bertawassul dengan zat Baginda dan kemuliaannya kepada Allah SWT kerana mereka mengetahui bahawasanya doa Baginda sudah terputus disebabkan oleh kewafatannya. Oleh sebab itu, Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab R.A  dan para sahabat yang bersamanya pergi meminta kepada al-‘Abbas bin ‘Abd al-Muttalib R.A agar beliau berdoa kepada Allah SWT supaya diturunkan hujan kepada mereka. Mereka mempercayai doanya itu (akan dimakbulkan) dan perkara itu adalah diharuskan dalam syarak. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/88-89).

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami sebutkan semula di sini bahawa doa Saidina Umar bin al-Khattab R.A ketika khutbah istisqa’ ialah:

 اللَّهُمَّ إِنَّا كُنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّنَا فَتَسْقِينَا، وَإِنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِعَمِّ نَبِيِّنَا فَاسْقِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami dahulu memohon kepada-Mu dengan perantaraan Nabi kami, maka Engkau menurunkan hujan kepada kami. Kini kami memohon kepada-Mu dengan perantaraan bapa saudara Nabi kami, maka turunkanlah hujan kepada kami.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Bertarikh: 18 Oktober 2023 bersamaan 3 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply