Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah sunat mandi hujan selepas doa istisqa’? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, sebahagian ulama menyatakan, terdapat tiga jenis istisqa’:

Pertama: Solat didirikan secara berjemaah atau secara bersendirian berdasarkan sifat-sifat tertentu yang disyariatkan , dan inilah yang paling sempurna (paling baik).

Kedua: Imam memohon hujan pada hari Jumaat dalam khutbahnya; sebagai mengikuti perbuatan Nabi SAW. Begitu juga kerana padanya terdapat satu waktu yang diharapkan padanya doa dimakbulkan. Inilah kategori yang disunatkan (mustahab) secara ijma‘ dan yang menjadi amalan kaum Muslimin.

Ketiga: Doa kaum Muslimin seusai mendirikan solat-solat mereka dan begitu juga ketika mereka sedang bersendirian. Tidak ada khilaf berkenaan keharusan memohon hujan dengan doa tanpa didahulukan dengan solat. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/76).

Seterusnya dalam menjawab soalan di atas, benar bahawa kita disunatkan untuk mandi hujan selepas doa istisqa’. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Anas R.A, katanya:

أَصَابَنَا وَنَحْنُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مَطَرٌ قَالَ: فَحَسَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَوْبَهُ حَتَّى أَصَابَهُ مِنْ الْمَطَرِ فَقُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ لِمَ صَنَعْتَ هَذَا قَالَ: لِأَنَّهُ حَدِيثُ عَهْدٍ بِرَبِّهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Hujan turun menimpa kami ketika kami bersama Rasulullah SAW.” Beliau berkata: “Lalu Rasulullah SAW menanggalkan pakaiannya sehingga hujan mengenainya (tubuhnya). Maka kami bertanya: ‘Wahai Rasulullah, mengapa kamu melakukan ini?’ Baginda menjawab: ‘Ini kerana hujan itu baru sahaja turun dari Tuhan (Allah SWT).’”

Riwayat Muslim (898)

Imam al-Nawawi menyatakan, makna ucapan Baginda SAW, “حَدِيثُ عَهْدٍ بِرَبِّهِ” adalah hujan ini semata-mata dibentuk oleh Rabb-nya, maksudnya adalah hujan tersebut adalah rahmat yang baru sahaja diciptakan Allah ta‘ala, maka Baginda ingin bertabarruk (mengambil berkat) dengannya. Hadith ini menjadi dalil bagi pendapat ashab kami (ulama mazhab Syafi‘i) yang menyatakan, disunatkan ketika awal turunnya hujan untuk menyingkap bahagian tubuh badan selain bahagian aurat agar hujan itu mengenainya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 6/196).

Begitu juga Syeikh Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan, disunatkan untuk membiarkan atau mendedahkan diri terkena permulaan hujan (ketika awal-awal turun). Ini dilakukan agar tubuh, pakaian, dan pelana terkena hujan sebagai tanda gembira (bersyukur) dengan nikmat Allah SWT, di samping berasa bahagia dengan turunnya hujan tersebut. Selain itu, ini juga kerana air hujan yang awal-awal turun adalah yang terbaik dan paling bersih, dalam keadaan ia masih lagi belum jatuh ke bumi dan tidak tercemar oleh perkara-perkara yang boleh merosakkan kualiti air hujan tersebut.

Selain itu, hal ini juga adalah sebagaimana dinyatakan dalam Syarh al-Iqna‘ bahawa disunatkan untuk seseorang itu berdiri pada awal hujan (permulaan hujan) dan mengeluarkan (membawa) bersamanya pelana dan pakaiannya agar ia turut terkena air hujan tersebut. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/92-93).

Tambahan lagi, air hujan itu juga turun dari tempat yang tinggi dan di dalamnya mengandungi keberkatan yang dijadikan oleh Allah SWT untuknya. Firman Allah SWT:

وَنَزَّلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً مُّبَارَكًا فَأَنبَتْنَا بِهِ جَنَّاتٍ وَحَبَّ الْحَصِيدِ

Maksudnya: “Dan juga Kami telah menurunkan dari langit air (hujan) yang banyak faedahnya, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pokok-pokok tanaman (buah-buahan) dan biji-bijian yang dituai.

(Surah Qaf: 9)

Sebahagian ulama menafsirkan ayat di atas dengan menyatakan bahawa maksudnya, Allah SWT menurunkan hujan dari awan, yang membawa banyak kebaikan dan keberkatan; kemudian dengan air hujan itu Dia tumbuhkan kebun-kebun yang subur, biji-bijian yang dapat dituai, dan pokok kurma yang menjulang tinggi dan buahnya bertimbun-timbun di atas satu sama lain. Pelbagai perkara yang baik ini Allah SWT tanamkan (jadikan) sebagai rezeki para hamba-Nya, agar mereka dapat memanfaatkannya. Selain daripada itu, Allah SWT juga tumbuhkan tanah yang tandus dengan air yang diberkati itu, sehingga ia menjadi hijau dan subur. Demikianlah Allah SWT akan mengeluarkan manusia dari kubur mereka dalam keadaan hidup. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 1563).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”

Bertarikh: 18 Oktober 2023 bersamaan 3 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply