Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah kita sandarkan sebab hujan dengan sebab bintang itu dan ini yang muncul? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Terlebih dahulu, kita hendaklah mengetahui bahawa hujan merupakan sebahagian daripada rahmat Allah SWT yang diturunkan kepada para hamba-Nya. Terdapat beberapa petunjuk dari Rasulullah SAW yang diajarkan kepada umat Baginda apabila turunnya hujan. Antaranya seperti yang diriwayatkan oleh Ummul Mukminin Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW apabila hujan turun, Baginda membaca:

اللَّهُمَّ اجْعَلْهُ صَيِّبًا نَافِعًا

Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah ia sebagai hujan yang bermanfaat.

Riwayat al-Nasa’i (1523)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kita tidak dibolehkan sama sekali untuk menyandarkan turunnya hujan disebabkan oleh bintang-bintang tertentu. Sebaliknya kita hendaklah menyandarkan penurunan hujan itu dengan sebab kelebihan, kurniaan dan rahmat Allah SWT. Ini adalah sebagaimana disebutkan oleh al-Buhuti dalam Kassyaf al-Qina‘ (3/459-460) bahawa disunatkan untuk seseorang itu mengucapkan:

مُطِرْنَا بِفَضْلِ اللهِ وَرَحْمَتِهِ

Maksudnya: “Hujan diturunkan kepada kami disebabkan kurniaan Allah dan rahmat-Nya.”

Begitu juga diharamkan untuk seseorang itu mengucapkan:

مُطِرْنَا بِنَوْءِ كَذَا

Maksudnya: “Diturunkan hujan kepada kami disebabkan bintang itu.

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Zaid bin Khalid al-Juhani, bahawa beliau berkata:

صَلَّى لَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلاَةَ الصُّبْحِ بِالحُدَيْبِيَةِ عَلَى إِثْرِ سَمَاءٍ كَانَتْ مِنَ اللَّيْلَةِ. فَلَمَّا انْصَرَفَ أَقْبَلَ عَلَى النَّاسِ، فَقَالَ: هَلْ تَدْرُونَ مَاذَا قَالَ رَبُّكُمْ؟ قَالُوا: اللهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ. قَالَ: أَصْبَحَ مِنْ عِبَادِي مُؤْمِنٌ بِي وَكَافِرٌ، فَأَمَّا مَنْ قَالَ: مُطِرْنَا بِفَضْلِ اللهِ وَرَحْمَتِهِ، فَذَلِكَ مُؤْمِنٌ بِي وَكَافِرٌ بِالكَوْكَبِ، وَأَمَّا مَنْ قَالَ: مُطِرْنَا بِنَوْءِ كَذَا وَكَذَا، فَذَلِكَ كَافِرٌ بِي وَمُؤْمِنٌ بِالكَوْكَبِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengimami kami solat Subuh di Hudaibiyah sesudah turun hujan pada malam harinya. Selesai solat, Baginda menghadapkan (wajahnya) kepada orang ramai, lalu bersabda: ‘Adakah kamu tahu apa yang difirmankan oleh Tuhan kamu?’ Mereka menjawab: ‘Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.’ Baginda bersabda: ‘Pagi ini, ada daripada kalangan hamba-hamba-Ku yang beriman kepadaku dan kufur kepada-Ku. Adapun yang mengatakan: Hujan diturunkan kepada kami disebabkan kurniaan Allah dan rahmat-Nya, maka itulah orang yang beriman kepadaku, dan kufur kepada bintang-bintang. Dan adapun yang mengatakan: Diturunkan hujan kepada kami disebabkan bintang itu dan ini, maka itulah orang yang kufur (mendustakan) kepadaku dan beriman kepada bintang-bintang.’

Riwayat al-Bukhari (846) dan Muslim (71)

Selain itu, al-Buhuti juga menyebutkan bahawa kufur yang dimaksudkan dalam hadith ini adalah kufur nikmat. Sekalipun begitu, jika seseorang itu secara iktikad menyandarkan hujan kepada bintang semata-mata dan bukannya kepada Allah, maka dia telah jatuh kufur secara ijma‘. Ini adalah sebagaimana dinyatakan dalam al-Furu‘ dan selainnya; hal itu kerana dia telah beriktikad bahawa adanya pencipta lain selain Allah SWT. (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 3/460).

Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, perkara itu adalah kerana bangsa Arab dahulunya mempercayai dan mendakwa bahawa apabila sebuah bintang jatuh dan bintang serupa pula muncul, maka hujan akan turun. Oleh itu, mereka mengaitkan penurunan hujan itu dengan kedua-dua bintang tersebut. Mengaitkan atau menyandarkan hujan kepada bintang semata-mata dan bukannya kepada Allah, maka dia telah jatuh kufur secara ijma‘, dan haram untuk mengaitkannya dengan bintang. Namun, jika seseorang itu memaksudkan dengan menyandarkan perbuatan itu kepada Allah SWT, maka diharuskan menyebut: “مُطِرْنَا فِي نَوءِ كَذَا” (Diturunkan hujan kepada kami pada bintang itu) sebagaimana dibolehkan untuk dikatakan: “مُطِرْنَا فِي شَهْرِ كَذَا”(Diturunkan hujan kepada kami pada bulan itu).

Ibn al-Qayyim menyebutkan, kemudian Allah SWT mengutus angin, yang membawa air dari laut dan membentuk hujan darinya. Oleh itu, kita dapati bahawa wilayah-wilayah yang berdekatan dengan laut mendapat hujan yang banyak. Namun, jika wilayah tersebut jauh dari laut, hujannya adalah sedikit. Justeru, perkara ini (yakni mengenai proses kejadian hujan) adalah sesuatu yang diketahui dalam kalangan salaf dan khalaf bahawasanya Allah SWT mencipta hujan daripada udara dan wap yang naik. Sesungguhnya, tidak diciptakan sesuatu melainkan daripada sesuatu bahan. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/93).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ ، وَمِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا

Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak puas, dan daripada doa yang tidak diterima.”

 

Bertarikh: 18 Oktober 2023 bersamaan 3 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply