Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah kita tidur dalam waktu bekerja sekiranya tiada lagi pekerjaan untuk dilakukan dalam waktu tersebut, tidak kira ketika syif siang atau syif malam? Atau pergi minum-minum dan lain-lain perbuatan yang di luar skop kerja kita. Jika tidak boleh, bagaimanakah untuk mensucikan duit gaji yang kita dapat pada bulan tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith daripada Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (275) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4929), (4930) dan (4931).

Al-Munawi berkata: ‘إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ’ (apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang), yakni dia menyempurnakannya. (Lihat Faidh al-Qadir, 2/286) Al-San’ani berkata: Yakni, dia melakukan sesuatu dalam bentuk dan keadaannya yang paling sempurna. (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 2/148)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dalam bekerja kita sewajarnya amanah dengan tanggungjawab yang telah diberikan. Namun, dalam isu ini, ia perlu dilihat dari sudut tatatertib dalam sesebuah tempat dan jenis pekerjaan. Sekiranya tugasnya untuk menjadi guard, maka tidak wajar untuknya tidur walhal tugasnya untuk menjaga keselamatan. Oleh itu, dalam soal sudah selesai tugas yang diberikan, kami berpendapat sebaiknya elakkanlah untuk tidur ketika bekerja kerana ia boleh mengakibatkan orang awam memandang rendah terhadap syarikat tersebut. Misalnya apabila tetamu melihat kerani/pekerja sedang nyenyak tidur, maka sudah tentu ia menjadi aib kepada syarikat. Namun, sekiranya ia diberi kebenaran oleh majikan untuk tidur sebentar, maka ia dibolehkan.

Justeru itu, kami nyatakan di sini bahawa dalam bekerja, jalankanlah amanah yang diberikan dengan sebaiknya. Hal ini kerana dengan bersikap amanah, jujur, bertanggungjawab dan menjaga adab sesama rakan sekerja dan seumpamanya, ia akan menjadikan suasana di tempat kerja lebih harmoni tanpa ada pertelingkahan di antara rakan sekerja. Kami akhiri dengan sabda Rasulullah SAW:

مَا كَسَبَ الرَّجُلُ كَسْبًا أَطْيَبَ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ، وَمَا أَنْفَقَ الرَّجُلُ عَلَى نَفْسِهِ وَأَهْلِهِ وَوَلَدِهِ وَخَادِمِهِ فَهُوَ صَدَقَةٌ

Maksudnya: “Tiada seorang pun yang memperoleh pendapatan yang lebih baik daripada jerih payah tangannya sendiri. Dan tidaklah seseorang itu memberi nafkah kepada dirinya, isterinya, anak-anaknya dan hamba-hambanya melainkan ia dikira sebagai sedekah.

Riwayat Ibn Majah (2138) dan Ahmad (17190). Dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih al-Jami’ (5660)

Kami akhiri dengan memesan kepada diri yang dha’if ini serta rakan-rakan semua supaya dapat melaksanakan tugas dengan seterbaiknya. Kalau ini menjadi pegangan dan moto kehidupan, maka sudah tentu keberhasilan dan produktiviti akan meningkat, di samping kurniaan keberkatan daripada Allah kepada orang seumpama ini.

Marilah sama-sama kita berdoa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 18 Oktober 2023 bersamaan 3 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply