Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah seseorang itu solat dalam memakai selipar atau sepatu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Di dalam sebuah hadith daripada Syaddad bin Aus R.A, Nabi SAW bersabda:

خَالِفُوا الْيَهُودَ فَإِنَّهُمْ لاَ يُصَلُّونَ فِي نِعَالِهِمْ ، وَلاَ خِفَافِهِمْ

Maksudnya: “Berbezalah dengan orang Yahudi kerana sesungguhnya mereka tidak mendirikan solat dengan memakai kasut atau khuf mereka.”

 Riwayat Abu Daud (652)

Al-Munawi menyatakan bahawa (disebabkan) orang Yahudi tidak mendirikan solat dengan memakai kasut atau selipar, maka hendaklah kamu solat dengan memakai kasut atau selipar sekiranya ia bersih tidak bernajis (bagi menyelisihi orang-orang Yahudi itu).  Sebahagian ulama salaf mengambil maknanya yang zahir dan berkata: “Sesiapa yang terkena najis pada seliparnya dan apabila bertempuh dengan tanah atau bumi, maka jadilah ia suci dan harus untuk solat dengan menggunakannya.” Inilah pendapat qadim bagi Imam Syafi‘i, manakala pendapat jadid beliau pula menyalahinya. (Lihat Faidh al-Qadir, 3/431)

Terdapat riwayat daripada Abu Maslamah Sa‘id bin Yazid al-Azdi bahawa beliau telah bertanya kepada Anas bin Malik:

أَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي فِي نَعْلَيْهِ؟ قَالَ: نَعَمْ

Maksudnya: “Adakah Nabi SAW solat dengan memakai kedua seliparnya?” Anas menjawab: “Ya.”

Riwayat al-Bukhari (386)

Badruddin al-‘Aini menukilkan daripada Ibn Battal bahawa menurut para ulama hadith ini bermaksud sekiranya tidak terdapat najis pada kedua selipar (atau kasut), maka tidak mengapa untuk solat dengan memakai kedua selipar itu. Sekiranya terdapat pada kedua selipar itu najis, maka hendaklah dia menyapunya — yakni membersihkan najis itu terlebih dahulu — kemudian solatlah dengan memakai kedua selipar itu. Namun, mereka berselisih pada cara untuk membersihkan najis yang terdapat pada selipar tersebut. Sebahagian ulama berpendapat jika selipar itu terkena kotoran najis yang basah, maka cukuplah untuk membersihkannya dengan cara menyapunya dengan tanah, lalu solatlah dengan menggunakannya. Menurut Imam Malik dan Abu Hanifah pula, kotoran najis yang basah hendaklah dibersihkan dengan air, manakala bagi kotoran najis yang kering, cukup dengan hanya menggosok atau menyapunya (tanpa perlu kepada air). Adapun Imam al-Syafi‘i, beliau berpendapat bahawa najis yang terdapat pada khuf, selipar dan seumpamanya, tidak boleh dibersihkan melainkan hanya dengan air.

Selain itu, al-‘Aini juga ada menukilkan daripada Ibn Daqiq al-‘Id bahawa solat dengan memakai selipar termasuk dalam perkara rukhsah dan bukannya perkara sunat kerana perbuatan tersebut tidak termasuk dalam makna yang dituntut dalam solat. Kemudian, al-‘Aini mengkritik kenyataan tersebut dengan menyatakan bahawa perbuatan tersebut (yakni solat dengan memakai selipar, kasut atau seumpamanya) dianggap sebagai sunat dan digalakkan dari sudut niat untuk menyelisihi pebuatan orang Yahudi dan bukannya termasuk dalam perkara sunnah (dalam solat) kerana solat dengan memakai selipar bukanlah dengan maksudnya secara zat. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 4/119)

Syeikh Syams al-Haq al-‘Azim Abadi dalam ‘Aun al-Ma’bud menyebut: Hadis ini sekurang-kurangnya menunjukkan hukumnya sunat. Begitu juga hadis Abi Said al-Khudri dan beberapa hadis yang lain yang menunjukkan sunat solat dengan bersepatu. Istidlal dengan tidak harus pula adalah berdasarkan hadis Amru bin Syu’aib daripada bapanya, daripada datuknya dan hadis daripada Abi Hurairah….Justeru, Abd al-Rahman bin Abi Laila pernah berkata: Rasulullah SAW telah solat dengan dua sepatunya. Maka orang ramai pun bersolat dengan sepatu masing-masing. Kemudian Baginda menanggalkannya, dan orang ramai pun menanggalkannya. Maka sesiapa yang mahu untuk solat dengan dua sepatunya, maka solatlah dan siapa yang mahu menanggalkannya, maka tanggalkanlah.” (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 2/354)

Oleh itu, kita dibenarkan untuk mendirikan solat dengan memakai selipar, kasut dan seumpamanya dengan syarat selipar atau kasut itu bersih dan suci daripada najis. Sekiranya terdapat najis pada selipar atau kasut, maka kita hendaklah membersihkannya terlebih dahulu, kemudian barulah solat dengan memakainya.

Diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْمَسْجِدِ فَلْيَنْظُرْ فَإِنْ رَأَى فِي نَعْلَيْهِ قَذَرًا أَوْ أَذًى فَلْيَمْسَحْهُ وَلْيُصَلِّ فِيهِمَا

Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu datang ke masjid, maka lihatlah jika ada kotoran atau najis pada kasutnya. Jika ada, maka hendaklah disapunya (dibersihkannya) dan dibolehkan untuk mendirikan solat dengan memakai kasut itu.”

Riwayat Abu Dawud (650) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (3889)

Syeikh Abdullah bin Abd al-Rahman al-Bassam berkata dalam Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram (2/33): “Hadith ini menunjukkan bolehnya solat dengan dua selipar sekiranya ia suci, dan solat dengan selipar adalah sunnah. Namun, memasukkan selipar di dalam masjid adalah dilarang sekiranya terdapat padanya, kotoran atau najis. Sekiranya ingin memasukkan juga selipar ke dalam masjid dan ingin solat dengannya, wajib dilihat pada kedua selipar itu, sekiranya dia melihat kotoran, maka hendaklah dihilangkannya, kemudian dia boleh masuk ke dalam masjid dan solat dengannya sekiranya dia mahu… Hadith ini juga menekankan berkenaan penghormatan kepada masjid, dan membersihkannya daripada kotoran kerana masjid adalah ibadah dan wajib berada dalam keadaan suci dan bersih sebagaimana firman Allah SWT:

وَطَهِّرْ بَيْتِىَ لِلطَّآئِفِينَ وَٱلْقَآئِمِينَ وَٱلرُّكَّعِ ٱلسُّجُودِ

Maksudnya:Dan bersihkanlah rumahKu (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf, dan orang-orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan sembahyang).”

(Surah al-Hajj: 26)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpandangan bahawa solat yang didirikan dengan memakai kasut, selipar atau seumpamanya adalah sah dan menepati syara’. Walau bagaimanapun, hendaklah memastikan terlebih dahulu kasut atau selipar yang dipakai itu bersih dan suci daripada najis. Begitu juga dengan tempat atau kawasan lapang yang ingin dijadikan tempat solat, mestilah bersih daripada segala najis kerana termasuk antara syarat sah solat ialah bersih daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solat.

Namun, situasi dan keadaan yang berbeza sekiranya ingin mendirikan solat di dalam masjid dengan melihat kepada suasana dan uruf di Malaysia. Justeru, tidak memakai kasut atau selipar semasa berada di dalam masjid dan untuk solat adalah perkara yang biasa bahkan di rumah sendiri pun ditanggalkan kasut ketika mahu memasukinya. Inilah yang lebih aula dan utama daripada memakai kasut yang dibawa masuk ke dalam masjid untuk solat dengannya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Surah Ibrahim (40)

Bertarikh: 18 Oktober 2023 bersamaan 3 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply