#3682: Cara Keizinan Orang Solat Untuk Tetamu Masuk

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Jika seseorang itu ingin masuk ke rumah seseorang dan tuan rumah sedang solat, adakah terdapat petunjuk daripada Nabi SAW dalam hal ini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَدْخُلُوا بُيُوتًا غَيْرَ بُيُوتِكُمْ حَتَّىٰ تَسْتَأْنِسُوا وَتُسَلِّمُوا عَلَىٰ أَهْلِهَا ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu).”

(Surah al-Nur: 27)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Wahai orang-orang yang beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya, janganlah kamu semua masuk ke dalam rumah orang lain, kecuali setelah kamu diizinkan masuk dan mengucapkan salam kepada penghuninya. Hal itu adalah supaya kamu tidak melihat aurat dan privasi orang lain dan mengejutkan para penghuninya yang sedang dalam keadaan tenang, yang akan menyebabkan mereka merasa terganggu, terusik, kesal dan tidak suka.

Oleh kerana itu, hendaklah meminta izin dan mengucapkan salam terlebih dahulu di luar pintu rumah agar dapat diketahui siapa orang yang ingin masuk. Ucapan salam adalah yang lazim dipraktikkan pada masa lampau di mana ketika itu rumah-rumah ketika itu tidak memiliki pintu bertutup serapat pintu rumah-rumah yang ada pada masa kini, kerana rumah-rumah pada masa itu tidak memiliki penutup yang memadai.

Perkataan ‘الاسْتِئْنَاس’ ertinya adalah ‘الاسْتِعْلَام’ (mencari tahu) dan ‘الاسْتِكْشَاف’ (berusaha mengungkap), daripada perkataan ‘آنس الشَّيْء’ yang bermaksud melihat sesuatu dalam keadaan jelas dan terbuka. Sesiapa yang ingin masuk ke rumah orang lain, dia hendaklah mencari tahu dari penghuni rumah, apa yang mereka inginkan, apakah mengizinkan atau tidak. Oleh kerana itu, perkataan ini maksudnya adalah sama dengan ‘الاسْتِئْذَان’ (meminta izin). Inilah juga seperti yang ditafsirkan oleh Ibn ‘Abbas R.Anhuma. Katanya lagi, ‘الاسْتِئْنَاس’ tidak akan diperolehi melainkan setelah adanya izin dan selepas meminta izin. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 18/201)

Menjawab persoalan di atas, telah diriwayatkan daripada ‘Ali R.A, katanya:

كَانَ لِي مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُدْخَلَانِ مُدْخَلٌ بِاللَّيْلِ وَمُدْخَلٌ بِالنَّهَارِ فَكُنْتُ إِذَا أَتَيْتُهُ وَهُوَ يُصَلِّي يَتَنَحْنَحُ لِي

Maksudnya: “Aku memiliki dua waktu untuk menemui Rasulullah SAW, iaitu pada malam hari dan pada siang hari, dan apabila aku menemui baginda ketika baginda sedang melaksanakan solat, maka baginda akan berdehem kepadaku.”

Riwayat al-Nasa’i (1212), Ibn Majah (3708) dan Ahmad (608)

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: “Hadith ini menunjukkan bahawa adanya hubungan yang kuat antara Ali bin Abi Talib R.A dengan Nabi SAW. Ali adalah sepupu Nabi, suami kepada anak perempuan baginda SAW, dan salah seorang sahabat yang paling dekat dengan baginda. Oleh kerana itu, Ali memiliki dua waktu yang khusus ketika untuk dia  datang ke rumah Nabi SAW. Hadith ini juga menunjukkan berdehem dalam solat tidak akan membatalkan solat, meskipun ada dua huruf yang diucapkan, kerana ia bukan daripada jenis percakapan.

Selain itu, hadith ini juga menunjukkan bahawa tidak dibenarkan seseorang itu masuk ke rumah seseorang tanpa izin, walaupun dia adalah salah seorang yang sangat rapat dengannya sebagaimana firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah-rumah selain rumahmu sendiri sebelum kamu mendatangi penghuni-penghuninya dengan salam dan meminta izin.” (Surah al-Nur: 27). keizinan masuk ke rumah boelh diberikan secara lisan atau melalui isyarat, bergantung kepada kebiasaan mereka dan kesepakatan yang telah mereka buat. Yang penting adalah keinginan pemilik rumah untuk membenarkan memasuki rumah. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/49)

Hadith ini juga menunjukkan juga bahawa dibolehkan berdehem jika ada keperluan. Syeikh Abdul ‘Aziz bin Baz berkata: “Tidak mengapa berdehem kerana keperluan seperti untuk menghilangkan sesuatu yang ada pada kerongkong atau untuk memberitahu yang kita sedang solat. Ini kerana terdapat hadith yang diriwayatkan daripada ‘Ali R.A sebagaimana hadith di atas. Ini menunjukkan berdehem kerana ada keperluan tidak mengapa. Tetapi jangan banyak berdehem kerana jika banyak berdehem, ia termasuk perbuatan yang boleh membatalkan solat.” (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 9/284-285)

Justeru, dalam hal ini, berdasarkan petunjuk Nabi SAW, baginda hanya berdehem ketika dalam solat sebagai isyarat memberikan keizinan kepada Ali R.A untuk memasuki rumah baginda. Namun begitu, ia bergantung kepada keperluan uruf setempat, terutama pada keadaan sekarang ini yang manusia mudah berhubung melalui telefon, yang mana mungkin tuan rumah boleh berpesan dahulu sebelum solat kepada tetamu supaya tunggu dahulu di luar sehingga habis solat ataupun bergantung kepada budi bicara tuan rumah.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Surah Ibrahim (40)

 

Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *