Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa maksud haji yang mabrur? Dan apa balasan bagi haji yang mabrur?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ

Maksudnya: “Haji yang mabrur, tidak ada ganjarannya selain syurga.”

Riwayat al-Bukhari (1650) dan Muslim (2403)

Ibn Manzur menyebut, mabrur membawa maksud diganjari. Ia juga membawa maksud tidak bercampur dengan sesuatu daripada dosa. (Lihat Lisan al-Arab, 4/51) Ibn Khalawaih, salah seorang pakar bahasa Arab berasal dari Yaman berpendapat bahawa haji mabrur adalah haji yang maqbul (diterima oleh Allah SWT).

Syeikh Abdullah al-Bassam – dalam menjelaskan al-Mabrur (الْمَبْرُورُ) – berkata: Al-Birru (البِرُّ), huruf ba’ dibaca kasrah yang bermaksud isim (kata nama) yang mencakupi seluruh kebaikan. Al-Mabrur (الْمَبْرُورُ) diambil daripada lafaz al-birru (البِرُّ). Dikatakan: ‘بَرَّهُ’, maksudnya ahsana ilaih (berbuat baik kepadanya).”

Dikatakan juga, بَرَّ اللهُ عَمَلَهُ(“Allah berbuat baik terhadap perbuatannya (seseorang”), bermakna Allah menerima perbuatannya. Seolah-olah Allah berbuat baik terhadap perbuatannya dengan cara menerima perbuatan tersebut. Kayu ukur perbuatannya diterima di sisi Allah adalah melakukan seluruh rukun dan kewajibannya sambil diiringi niat yang ikhlas dan tidak melakukan hal-hal yang dilarang-Nya.” (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/5)

Imam al-Nawawi berkata: “Menurut pendapat yang paling sahih dan masyhur, yang dimaksudkan dengan mabrur adalah yang tidak dicemari dengan dosa. Ciri-cirinya dan hasil kemabruran tampak jelas pada dirinya, seperti akhlak dan perilaku setelah melaksanakan haji jauh lebih baik daripada perilakunya sebelum haji.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/119-120)

Antara tanda-tanda haji mabrur juga adalah sekembalinya daripada ibadah haji, seseorang itu sentiasa dalam keadaan zuhud dan merendah diri dalam hal dunia serta sentiasa bersemangat dalam mengejar akhirat.

Kami berharap agar kita juga termasuk dalam golongan tersebut. Di dalam hadis daripada Jabir Bin Abdullah, bahawa Nabi SAW pernah ditanya tentang apakah kesan daripada haji mabrur, lalu Baginda menyatakan:

إِطْعَامُ الطَّعَامِ وَإِفْشَاءُ السَّلاَمِ

Maksudnya: “(Haji mabrur itu ialah) memberi makan dan menyebarkan salam.”

Riwayat Ahmad (14706) di dalam Musnad, al-Baihaqi (3825) di dalam al-Sunan. Isnad hadith ini adalah dha’if menurut Syeikh Syu’aib al-Arna’ut dalam takhrij al-Musnad.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply