Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Hukum perempuan, anjing hitam dan keldai melintasi solat, adakah ia membatalkan solat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diriwayatkan daripada Abu Zar, bahawa Nabi SAW bersabda:

يَقْطَعُ الصَّلَاةَ الرَّجُلِ الْمَرْأَةُ وَالْحِمَارُ وَالْكَلْبُ

Maksudnya: “Yang memutuskan solat (seseorang) adalah perempuan, keldai dan anjing.”

Riwayat Muslim (511)

Sebahagian riwayat datang dengan lafaz anjing hitam. Kemudian, Nabi SAW ditanya berkenaan apakah yang membezakan anjing hitam dengan anjing-anjing lain? Baginda SAW menjawab :

الْكَلْبُ الْأَسْوَدُ شَيْطَانٌ

Maksudnya: “Anjing hitam adalah syaitan”.

Riwayat Muslim (510)

Syeikh Fuad al-Baqi dalam nota kakinya ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan bahawa anjing hitam disebut sebagai syaitan kerana ia adalah anjing yang paling buas, paling jahat (mengganggu), paling sikit manfaatnya dan paling banyak berehat (pemalas). (Lihat Sahih Muslim, 1/365)

Hukum solat seseorang jika ada sesuatu melintas di hadapannya

Jumhur ulama berpendapat tidak batal solat seseorang itu disebabkan oleh sesuatu yang melintas di hadapannya. Dan makna terputusnya solat sebagaimana di dalam hadith ialah kurangnya pahala solat kerana (fokus) hatinya telah terganggu dengan perkara-perkara tersebut. [Lihat al-Dibaj ‘ala Sahih Muslim, 2/193)

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Mazhab Imam yang tiga telah menyatakan: Sesuatu yang melalui di hadapan orang yang sedang solat tidak membatalkan solat, walaupun yang berlalu itu seorang wanita, seekor keldai, atau anjing hitam. Hal ini disandarkan kepada riwayat Abu Dawud (719) daripada hadith Abu Sa’id yang mengatakan bahawa Nabi SAW bersabda: “Tidak ada sesuatu yang dapat memutuskan solat kamu, dan hendaklah kamu mencegahnya semampu mungkin.” Hadith ini dianggap bermaksud mengurangkan pahala solat, bukan membatalkannya. Hal ini kerana Zainab binti Abi Salamah berjalan di hadapan Nabi SAW dan ia tidak memutuskan solat baginda.” (Riwayat Ahmad (25984) dan Ibn Majah (948) dengan sanad yang hasan). Apabila Imam Ahmad dan Abu Dawud meriwayatkan daripada Fadl bin Abbas, dia berkata: “Rasulullah SAW datang kepada kami ketika kami berada di padang pasir dan solat di padang pasir tanpa ada sutra di hadapannya dalam keadaan dda keldai dan anjing betina yang bermain-main di depannya. Rasulullah SAW tidak mempedulikan perkara itu. Begitu juga ketika syaitan pernah mengganggu kiblat baginda kepada baginda SAW semasa solat. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/71)

Imam al-Nawawi juga ada menyatakan bahawa: “Sesungguhnya yang dimaksudkan dengan memutuskan di sini, ialah memutuskannya daripada kekhusyukkan (solat) dan zikir kerana dia telah disibukkan dengannya serta telah berpaling kepadanya. Bukan kerana perkara tersebut telah merosakkan (membatalkan) solatnya.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/251)

Maka, kita fahami perkara-perkara tersebut tidaklah sampai membatalkan solatnya, tetapi telah menyebabkan kekhusyukkan dan perhatiannya ketika solat terganggu. Akhirnya, ia telah membawa kepada kurangnya ganjaran pahala solatnya.

Oleh sebab itu, ketika solat kita hendaklah berusaha semampu mungkin dalam menjaga kekhusyukkan solat kita dan menjauhi segala perkara yang boleh menyebabkan hati kita hilang fokus ketika solat. Ini adalah sebagaimana riwayat Abu Sa’id al-Khudri, bahawa  Nabi SAW bersabda:

لا يَقطَعُ الصَّلاةَ شيءٌ، وادرَؤوا ما استطَعْتُم؛ فإنَّما هو شيطانٌ

Maksudnya : “Tidak ada sesuatu yang dapat memutuskan solat kamu, dan hendaklah kamu mencegahnya semampu mungkin kerana sesungguhnya ia adalah syaitan”

Riwayat Abu Dawud (719)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa jumhur ulama berpendapat tidak batal solat seseorang itu disebabkan oleh sesuatu yang melintas di hadapannya termasuklah perempuan, keldai ataupun anjing. Dan makna terputusnya solat sebagaimana di dalam hadith tersebut ialah kurangnya pahala solat kerana hatinya telah terganggu dengan perkara-perkara tersebut.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Bertarikh: 23 Oktober 2023 bersamaan 8 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply