Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apabila berlakunya pertelingkahan antara 2 orang kanak-kanak, atau antara seorang kanak-kanak dan seorang gila, kemudian terjadinya kecederaan pada salah seorang, adakah hukuman qisas tetap wajib dikenakan ke atas pelaku?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, Islam adalah agama yang adil dalam semua perkara termasuklah dalam bab hukuman. Seseorang itu akan dinilai terlebih dahulu sama ada dia syarat-syarat yang membolehkannya dikenakan hukuman atau tidak memenuhi syarat tersebut. Antara syarat ini adalah:

  • Berakal

Maka orang gila, orang yang pengsan atau tidur tidak boleh dikenakan hukuman kerana akal mereka hilang, sama ada buat sementara waktu atau selamanya.

  • Baligh

Kanak-kanak tidak termasuk dalam kategori mereka yang telah baligh, maka mereka tidak dikenakan hukuman kerana masih belum dikira mukallaf.

Ini bertepatan dengan hadith riwayat ‘Ali bin Abi Talib R.A, sabda Rasulullah SAW:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ، وَعَنِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ

Maksudnya: “Diangkat pena daripada tiga golongan, iaitu orang yang tidur sehingga dia terjaga, kanak-kanak sehingga dia bermimpi, dan orang yang gila sehingga dia berakal.”

Riwayat Abu Dawud (4403), Ahmad (1183), Tirmizi (1423), Nasa‘ie (3432), dan Ibn Majah (2041)

Syeikh Abdullah al-Tayyar menyatakan: “Yang dimaksudkan dalam hadith tersebut adalah tidak ditulis baginya dosa. Ini kerana pada ketika itu, dia tidak dianggap sebagai mukallaf.” (Lihat Wabal al-Ghumamah Syarh Umdah al-Fiqh li Ibn al-Qudamah, 9/9)

  • Jenayah dibuat dengan pilihan sendiri

Dengan syarat ini, terkeluarlah mereka yang dipaksa melakukan jenayah, tidak sengaja melakukannya, atau terpaksa melakukannya kerana ada keperluan mudharat seperti ingin menyelamatkan nyawanya sendiri atau seumpamanya.

Allah SWT telah berfirman di dalam kitabnya:

فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak menginginkannya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Baqarah: 173)

Diriwayatkan juga daripada Abu Zar al-Ghifari R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan ke atas umatku (perbuatan-perbuatan yang dilakukan) secara tersilap, terlupa, dan juga suatu yang dipaksa ke atas mereka.”

Riwayat Ibn Majah (2043)

Qisas Di Antara Kanak-kanak dan Orang Gila

Berbalik kepada persoalan yang diajukan oleh saudara, kanak-kanak atau orang gila tidak memenuhi syarat yang telah kami sebutkan di atas. Oleh yang demikian, mereka tidak memikul hukuman ini di atas bahu mereka sendiri. Akan tetapi, keluarga atau penjaga mereka akan diwajibkan untuk membayar diyah sebagai ganti rugi kepada orang yang dizalimi, dengan syarat keluarga atau penjaga tersebut berkemampuan untuk menunaikan diyah tersebut.

Ini berbetulan dengan sebuah riwayat daripada ‘Imran bin Husain R.A, katanya:

أَنَّ غُلاَمًا، لأُنَاسٍ فُقَرَاءَ قَطَعَ أُذُنَ غُلاَمٍ لأُنَاسٍ أَغْنِيَاءَ فَأَتَوُا النَّبِيَّ ﷺ فَلَمْ يَجْعَلْ لَهُمْ شَيْئًا

Maksudnya: “Seorang kanak-kanak lelaki dari golongan faqir telah memotong telinga seorang kanak-kanak dari golongan kaya, lalu keluarga si faqir itu datang bertemu Rasulullah SAW, tetapi Baginda tidak menghukum ke atas mereka apa-apa.”

Riwayat al-Nasa’ie (4751), Abu Dawud (2291) dan Ahmad (19931)

Syeikh ‘Abd al-Muhsin al-‘Abbad berkata ketika mensyarahkan hadith ini, perkataan ghulam (غُلاَمٌ) boleh membawa maksud seorang hamba kanak-kanak dan kanak-kanak yang merdeka. Kanak-kanak itu telah melakukan satu jenayah, akan tetapi keluarganya tidak diwajibkan untuk membayar diyah. Ini kerana telah sedia maklum golongan yang faqir itu tidak berkemampuan untuk melunaskan diyah tersebut, dan Allah SWT telah berfirman:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ

Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”

(Surah al-Baqarah: 286)

Akan tetapi, ia kekal ditanggung oleh keluarga tersebut sekiranya mereka dikurniakan kemampuan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَإِن كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَىٰ مَيْسَرَةٍ ۚ

Maksudnya: “Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya.”

(Surah al-Baqarah: 280)

Dan jelas apabila Rasulullah SAW tidak menyuruh keluarga si faqir itu untuk membayar diyah, ini merupakan bukti bahawa kanak-kanak faqir itu adalah orang yang merdeka dan bukannya hamba sahaya. (Lihat Syarh Sunan Abi Dawud, 513/13)

Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam menukilkan kalam Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, katanya: “Tidak ada hukuman qisas (bagi jenayah yang berlaku) antara 2 orang kanak-kanak dan 2 orang gila, dan juga bagi setiap orang yang hilang akalnya kerana sebab yang diberikan keuzuran oleh syara‘, dan juga tidak wajib membayar diyah.”  (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/95)

Berdasarkan perbincangan ini, jelas bahawa kanak-kanak atau orang gila tidak diwajibkan ke atas mereka itu qisas atas jenayah yang dilakukan, akan tetapi bayaran diyah diwajibkan ke atas keluarga atau penjaga mereka yang berkemampuan dengan harta yang dimiliki oleh anak tersebut. Sekiranya orang jagaan mereka itu tidak mempunyai sebarang harta, dan keluarga itu juga tidak memiliki harta yang mencukupi untuk membayar diyah itu, mereka dimaafkan dari membayar diyah sehinggalah Allah SWT merezekikan mereka dengan kesenangan.

Semoga, pencerahan ini dapat menambahkan ilmu baharu dalam diri kita, di samping mengajar kita untuk berhati-hati pada perkara yang boleh mencederakan seseorang. Keluarga dan penjaga berperanan besar dalam mengasuh serta mendidik mereka yang di bawah jagaan sehinggalah mereka memenuhi syarat mukallaf.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 24 Oktober 2023 bersamaan 9 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply