Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah hikmah seorang pembunuh tidak boleh mewarisi harta dari tinggalan ahli keluarganya? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.

(Surah al-Isra’: 70)

Ilmu faraidh pada syara’ bermaksud pengetahuan mendalam tentang pusaka dan ilmu kira-kira yang membolehkan kita mengetahui bahagian pusaka yang berhak diterima oleh orang-orang yang berhak. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/273)

Hukum pusaka ini telah disyariatkan dalam Islam dan telah dinaskan oleh al-Quran, al-Sunnah serta ijma’ ulama’. Orang-orang yang mengingkari pensyariatan hukum pusaka adalah kafir dan keluar daripada Islam. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

Maksudnya: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).

(Surah al-Nisa’: 7)

Para ulama ketika menerangkan sebab penurunan ayat ini menyatakan bahawa ketika zaman sebelum datangnya Islam (zaman jahiliyyah), wanita dan kanak-kanak tidak berhak mendapat sedikit pun daripada harta pusaka yang ditinggalkan ahli keluarga mereka. Ini adalah kerana pada ketika itu, hanya lelaki yang boleh mempertahankan kabilah dan keluarga sahaja mewarisi harta pusaka. Hal ini dapat dilihat dalam satu kisah yang direkodkan bahawa ada seorang lelaki dari kaum Ansar meninggal dunia sebelum diturunkan ayat ini, dalam masa yang sama dia meninggalkan empat orang anak perempuan. Namun, kesemua harta yang ditinggalkan diambil oleh sepupunya. Oleh  kerana itu, Allah SWT menurunkan ayat ini yang menyatakan bahawa wanita juga berhak mendapat sebahagian daripada harta pusaka dan sekali gus memuliakan wanita. (Lihat Tafsir Muqatil Bin Sulaiman, 127/5; Tafsir al-Tabari, 597/7; Tafsir al-Maturidi, 28/3; al-Mufassal fi Tarikh al-Arab Qabla al-Islam, 237/10)

Ayat-ayat berkenaan pusaka di dalam al-Quran jelas mengesahkan bahawa pusaka adalah disyariatkan. Berdasarkan nas di atas, disebut kalimah مِّمَّا تَرَكَ iaitu daripada apa yang ditinggalkan oleh si mati, maka ia dianggap pusaka selama mana ia adalah termasuk dalam harta; sama ada wang ringgit, kenderaan, pakaian, rumah, dan lain-lain.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تَعَلَّمُوا الفَرائِضَ، فإنَّهَا مِن دِينِكُمْ، وَإِّنَّهَا نِصْفُ العِلْمِ، وَإنَّهُ أَوَّلُ مَا يُنزَعُ مِنْ أمَّتي

Maksudnya: Pelajarilah ilmu faraid kerana ia merupakan sebahagian daripada agama kamu dan ia adalah setengan daripada ilmu. Ia juga adala ilmu yang pertama dicabut daripada umatku.

Riwayat Ibn Majah (2719)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa seorang pembunuh tidak boleh mewarisi apa-apa harta yang ditinggalkan dari harta warisnya yang telah meninggal dunia. Ini kerana membunuh merupakan sebab seorang itu terhalang dari menerima harta pusaka. Hal ini sebagaimana yang telah diriwayatkan daripada ‘Amru Bin Syu’aib bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ لِلْقَاتِلِ مِنَ المِيرَاثِ شَيْءٌ

Maksudnya: Tidak ada hak waris sedikitpun bagi si pembunuh

Riwayat al-Nas’i dalam Sunan al-Kubra(6368)

Begitu juga hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda :

القاتلُ لا يَرِثُ

Maksudnya : “Orang yang membunuh tidak boleh mewarisi.”

Riwayat Tarmizi (2109) dan Ibn Majah (2735)

Hadith ini menunjukkan bahawa pembunuh tidak boleh mewarisi harta peninggalan orang yang dibunuh samada membunuh dengan sengaja atau tidak sengaja. Ia merupakan pandangan kebanyakan ulama. Manakala, sebahagian yang lain pula berpandangan orang yang membunuh kerana tidak sengaja boleh mewarisi harta si mati yang terbunuh. Ia juga merupakan pendapat Imam Malik. (Lihat Syarh Sunan Ibn  Majah, 15/368)

Syeikh al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadith ini berkata bahawa hadith ini merupakan dalil kepada bahawasanya pembunuh tidak mewarisi harta orang yang dibunuh sama ada pembunuhan tersebut dari jenis القتل الخطأ (pembunuhan tidak sengaja) atau القتل عمدا (pembunuhan secara sengaja) dan ini merupakan pegangan ramai ulama’. (Lihat Tuhfat al-Ahwazi, 6/242).

Betapa beratnya isu pembunuhan ini sehingga Islam mengancam dengan ancaman yang pedih pada hari akhirat kelak. Benarlah firman Allah SWT:

وَمَن يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُّتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِدًا فِيهَا وَغَضِبَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا

Maksudnya: “Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melaknatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.”

(Surah al-Nisa’: 93)

Tidak dapat dinafikan bahawa larangan mewariskan harta kepada pembunuh mempunyai hikmah yang logik. Cinta kepada harta dan keinginan untuk mengambilnya mungkin boleh menghilangkan rasa belas kasihan dan kasih sayang terhadap ahli keluarga yang menyebabkan dia merasakan hayat waris masih panjang yang kemudiannya memilih membunuh untuk mendapatkan kekayaan itu. Oleh itu, undang-undang islam menghalang jalan ini dan menutup pintu ini dengan menegaskan: ‘Pembunuh tidak boleh mewarisi apa-apa.’ Selain itu, larangan mewariskan adalah hukuman kepada pembunuh atas perbuatannya yang jahat, iaitu mengambil nyawa yang tidak bersalah dan memutuskan hubungan kekeluargaan. (Lihat Taudih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram,5/174)

Maka benarlah kaedah menyebut :

مَنْ اسْتَعْجَلَ الشَّيءَ قَبْلَ أَوَانِهِ عُوقَبَ بِحِرْمَانِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang gopoh untuk mendapatkan sesuatu sebelum tiba masanya, maka perkara itu haram baginya.

Justeru, kami katakan membunuh merupakan salah satu daripada perkara yang menghalang seorang itu dari menerima harta pusaka. Ini kerana dia telah menzalimi ahli warisnya dengan memutuskan tali persaudaraan. Oleh yang demikian syara’ telah memutuskan tidak ada hak warisan bagi pembunuh.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 24 Oktober 2023 bersamaan 9 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply