Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hikmah diharamkan memakai wangian ketika dalam ihram?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ

Maksudnya: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.

(Surah al-Hajj: 27)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan sebuah hadith daripada Aisyah R.Anha, katanya:

كُنْتُ أُطَيِّبُ رَسُولَ الله -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- لإِحْرَامِهِ قَبْلَ أَنْ يُحْرِمَ، ولَحِلِّهِ قَبْلَ أَنْ يَطُوفَ بالبَيْتِ

Maksudnya: “Aku memakaikan Rasulullah SAW minyak wangi sebelum ihramnya, sebelum Baginda berihram, dan untuk tahallulnya sebelum Baginda melakukan tawaf (mengelilingi Ka’bah).”

Riwayat al-Bukhari (1539) dan Muslim (1189)

Berdasarkan hadith di atas, secara asasnya, sunat memakai minyak wangi sebelum melakukan ihram supaya kesannya tetap ada apabila telah berihram.

Selain itu, dibolehkan memakai wangian apabila orang yang berihram itu telah bertahallul yang pertama. Dan disunatkan memakai wangian setelah tahallul yang pertama dan sebelum melakukan tawaf.

Di samping itu, berdasarkan perbuatan Nabi SAW memakai wangian ketika ihram dan selepas tahallul, maka ia mengisyaratkan bahawa haram memakai wangian ketika sedang berihram. Atas hal inilah para ulama’ bersepakat, dan ia merupakan perkara yang dilarang dalam ihram.

Kami katakan antara hikmah diharamkan memakai minyak wangi bagi orang yang berihram adalah untuk menjauhkan daripada kemewahan, kelazatan kehidupan dunia, dan agar dia menumpukan seluruh tujuannya hanya untuk akhirat.

Inilah sepertimana yang dijelaskan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/73-74)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply