Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya tinggal di Kelantan dan ditugaskan untuk bekerja dekat Brunei lebih kurang selama sebulan. Tetapi sebelum ke Brunei, saya perlu singgah di Kuala Lumpur selama 2 minggu untuk urusan kerja. Soalan saya, bolehkah saya solat jamak qasar semasa saya berapa di Kuala Lumpur? Terima kasih.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Solat jamak dan qasar adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya:
وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ
Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).”
(Surah al-Nisa’:101)
Imam al-Nawawi berkata: “Ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut.” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terlebih dahulu syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk melakukan solat jamak dan qasar. Antara syarat-syarat tersebut:
- Mestilah berada dalam keadaan bermusafir, iaitu perjalanan ke destinasi yang sekurang-kurangnya dua marhalah, iaitu sekitar 81 km. Kadar 2 marhalah ini yang ditetapkan berdasarkan taqribi (lebih kurang/anggaran) bukan tahdidi (tepat).
- Perjalanan musafir tersebut telah melepasi sempadan mukim seperti kawasan kampung, taman perumahan atau daerah mengikut uruf setempat.
- Dia tidak mengikuti imam yang menunaikan solat sempurna empat rakaat jika dia ingin mengqasarkan solat.
- Dia tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju, selain hari mula dia sampai dan hari dia akan keluar dari destinasi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/186)
Kesimpulan
Oleh itu, dalam isu anda, kami nyatakan anda hanya boleh melakukan solat jamak qasar sewaktu dalam perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur sahaja, serta sewaktu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Brunei. Hal ini kerana apabila seseorang telah berazam untuk tinggal di tempat yang dia akan pergi selama empat hari atau lebih, maka ia bermaksud dia telah bermukim di tempat itu. Maka, sebaik sahaja dia sampai di tempat tersebut, statusnya dikira sebagai orang bermukim dan bukan lagi bermusafir. Oleh itu, dia wajib mendirikan solat secara sempurna seperti biasa.
Inilah juga seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Nawawi, katanya:
وَلَوْ نَوَى إقَامَةَ أَرْبَعَةِ أَيَّامٍ بِمَوْضِعٍ انْقَطَعَ سَفَرُهُ بِوُصُولِهِ. وَلَا يُحْسَبُ مِنْهَا يَوْمَا دُخُولِهِ وَخُرُوجِهِ عَلَى الصَّحِيحِ.
Maksudnya: “Sekiranya seseorang berniat untuk bermukim selama empat hari di tempat yang ditujunya, maka terputuslah musafirnya sebaik sahaja dia tiba (di tempat tersebut), dan tidak dikira dari tempoh itu, hari dia masuk (ke tempat itu) dan keluar (dari tempat itu) menurut pendapat yang sahih.” Lihat Minhaj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin fi al-Fiqh, hlm. 44)
Justeru, anda dibolehkan solat jamak qasar ketika dalam perjalanan sahaja dan setelah sampai ke tempat yang dituju, anda tidak boleh melakukan solat jamak qasar kerana telah berniat menetap di Kuala Lumpur lebih dari tiga hari (2 minggu). Begitu juga, hanya dibenarkan solat jamak qasar ketika dalam perjalanan ke Brunei sahaja kerana anda telah berazam tinggal di sana selama 1 bulan.
Semoga perbahasan ini, sedikit sebanyak dapat membantu kita dalam melaksanakan perintah Allah dalam kehidupan harian kita.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
Surah Ibrahim (40)
Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445