Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Dari manakah datangnya firasat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kalimah firasat diambil daripada perkataan al-tafarrus (التَّفَرُّس) dengan sesuatu. Iaitu lintasan yang menghentam pada hati dan melompat ke atasnya seperti terkaman singa kepada mangsa. Inilah asal isytiqaqnya. Ia mempunyai pelbagai jenis berdasarkan seseorang, keadaan, kekuatan hati, kebersihannya, kekuatan iman, dan kelemahannya. (Lihat al-Mu’jam al-Wasit, hlm. 705; Mu’jam Maqayis al-Lughah, 4/186; Lisan al-’Arab, 6/159)
Dalam Taj al-’Arus menyebut:
والفِرَاسَةُ، بالكَسْرِ: اسمٌ مِن التَّفَرُّسِ، وَهُوَ التَّوَسُّم.
Maksudnya: “Dan firasat itu dibaca dengan baris bawah adalah nama daripada tafarrus iaitu menerkam atau membaham. Dan ia adalah sebagai sangkaan yang kuat lagi benar.” (Lihat Taj al-‘Arus min Jawahir al-Qamus, 16/328)
Pada istilahnya pula, kami kemukakan di sini beberapa pandangan ulama’ khususnya ahli tasawwuf berkenaan firasat, antaranya:
- Ustaz Syeikh Abu Ali Al-Daqaq[1] berkata, “Firasat adalah suara batin yang masuk ke dalam hati dan meniadakan kontradiksi. Setiap suara hati memiliki nilai hukum yang menguasai hati. Kata firasat merupakan pecahan dari kata frasa yang mengandung makna menerkam atau memburu. Farisah al-sabu’u memiliki makna terkaman binatang buas. Tetapi, makna pembandingnya tidak boleh diertikan dalam konteks hati sahaja. Keberadaannya adalah bergantung kepada kualiti iman. Setiap orang yang imannya lebih kuat, pasti firasatnya lebih tajam.” (Lihat al-Risalah al-Qusyairiyyah, hlm. 231)
Menjawab persoaln di atas, kami nukilkan persoalan yang dijawab oleh Abu al-Husain al-Nuri. Beliau pernah ditanya, “Dari mana lahirnya firasat orang-orang yang berfirasat?” Maka, dia menjawab, dari firman Allah SWT:
وَنَفَخْتُ فِيهِ مِن رُّوحِي فَقَعُوا لَهُ سَاجِدِينَ
Maksudnya: “…serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan) ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya.”[2]
(Surah al-Hijr: 29)
Siapa yang mempunyai bahagian daripada demikian itu, cahaya yang sempurna, maka musyahadahnya pasti kukuh, dan hukumnya dengan firasat pasti benar. Tidakkah kamu lihat bagaimana Allah mewajibkan tiupan roh padanya untuk sujud baginya.
Ahmad bin Masruq berkata, “Aku masuk menemui seorang syeikh di kalangan ashab kami, aku memanggilnya dan aku dapati dia dalam keadaan yang kurang bersih. Lantas, aku berkata pada diriku, ‘Bagaimana syeikh ini dapat menolong dan memberi manfaat?’ Maka dia menjawab, ‘Hai Abu Abbas, tinggalkanlah daripada kamu sebarang lintasan yang hina ini. Sesungguhnya bagi Allah adanya altaf yang tersembunyi.’”
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”
[1] Beliau ialah Abu ‘Ali al-Hasan bin ‘Ali bin Muhammad al-Daqqaq, yang merupakan salah seorang tokoh sufi terkemuka. Menurut al-Hujwiri, Abu ‘Ali Hasan al-Daqqaq adalah merupakan tokoh di dalam ilmu pengetahuan dan tiada yang setanding dengannya pada zamannya. Dia merupakan seorang yang fasih dalam perbicaraan tentang jalan mendekatkan diri kepada Tuhan. Beliau berguru antaranya dengan Nasr Abadzi. Antara ucapannya ialah: “Siapa yang banyak mengingati kematian, maka akan mendapat tiga kemuliaan iaitu bersegera untuk bertaubat, hatinya qana’ah (merasa cukup) dan sentiasa bersemangat dalam beribadah.” (Lihat al-Tazkirah, hlm. 15). Antara muridnya ialah Abu al-Qasim al-Qusyairi yang terkenal dengan al-Risalah al-Qusyairiyyah. Beliau meninggal dunia pada tahun 405 H dan ada pendapat menyebut pada tahun 412 H.
[2] Al-Tabari berkata: Ketika Aku telah membentuknya, menyempurnakan bentuknya, ‘وَنَفَخْتُ فِيهِ مِن رُّوحِي’ (“Dan telah meniupkan ke dalamnya roh (ciptaan)Ku,” maka jadilah ia manusia yang hidup. ‘فَقَعُوا لَهُ سَاجِدِينَ ’ (“Maka tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud,”) dengan sujud hormat, bukan sujud ibadah.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 15/786)
Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445 H