Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya anak saya OKU speech delay dan telah  berumur 14 tahun. Beliau sudah pandai sembahyang tetapi masalahnya kadangkala sebutan bacaan dalam solat itu dia pelat dan kedengaraan lain. Saya cuba latih bacaan tetapi lidah dia sukar untuk menyebut sebahagian ayat suci al-Quran. Anak saya ada masalah pembacaan tetapi dia cuba untuk mendengar dan menghafal. Jadi Saya sebagai ibu tertanya adakah sembahyangnya sah kerana bacaan dia kadangkala sebutan nya lain. Terima Kasih Dato’.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Speech Delay

Speech Delay bermaksud kelewatan dalam keupayaan seorang kanak-kanak itu untuk bercakap atau menghasilkan bunyi. Kebiasaannya, ia boleh dilihat apabila umur kanak-kanak tersebut sudah berusia 12 tahun tetapi masih belum pandai menyuarakan kemahuan/keperluan mereka. Kelewatan bercakap ini disebabkan beberapa faktor seperti sumbing bibir, lelangit rekah, kecacatan bibir dan seumpamanya. (Lihat Portal Hello Doktor)[1]

Bacaan Rukun Qauli dalam Solat

Pada asasnya, antara rukun yang utama di dalam solat ialah rukun qauli. Ianya dinamakan sebagai rukun qauli disebabkan rukun-rukun ini wajib untuk dibaca oleh orang menunaikan solat yang sekurang-kurangnya bacaan tersebut didengari oleh telinganya sendiri. Rukun qauli ada lima iaitu:

  • Takbiratul ihram pada awal solat
  • Bacaan Surah al-Fatihah pada setiap rakaat
  • Bacaan tasyahhud akhir
  • Selawat ke atas Nabi Muhammad pada tasyahhud akhir
  • Salam (Lihat Safinah al-Najah, hlm. 44)

Kesemua rukun-rukun qauli ini perlu dibaca, disebutkan dan dilafazkan sehingga mengeluarkan suara sekadar bacaan yang boleh didengari oleh dirinya. Syeikh Sulaiman al-Bujairimi menyebut di dalam hasyiahnya bahawa lafaz takbir perlu diperdengarkan oleh dirinya sendiri begitu juga dengan rukun qauli yang lain. (Lihat Hasyiah al-Bujairimi ‘ala Syarh Minhaj Al-Tullab, 1/189)

Imam al-Nawawi menyebut bahawa bacaan yang paling minimum untuk rukun qauli adalah dibaca dengan senyap iaitu bacaan tersebut boleh didengari oleh dirinya sendiri jika dia seorang yang boleh mendengar. (Lihat Raudhah al-Talibin wa Umdah al-Muftin, 1/242)

Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaily turut menjelaskan berkenaan hal ini: “Hendaklah dia mendengar (apa yang dibaca) dirinya sendiri, sekiranya mempunyai pendengaran yang baik, dan tidak ada padanya gangguan bunyi dan sebagainya. Sekiranya mempunyai masalah pada lisannya (pertuturan) atau bisu, maka hendaklah digerakkan apa yang termampu baginya. Digerakkan kedua bibirnya dan anak tekaknya dengan kadar yang termampu.” (Lihat al-Mu’tamad, 1/241)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan sekiranya seseorang itu tidak mampu untuk menutur atau membacakan sesuatu dengan baik disebabkan keuzuran yang dihadapinya, maka Islam tidak memaksa untuk tetap melakukan apa yang diperintahkan. Firman Allah SWT:

 فَاتَّقُوا اللَّـهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”

 (Surah al-Taghabun: 16)

Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di menjelaskan: “Ayat ini menunjukkan bahawa semua kewajipan syarak yang tidak mampu ditanggung oleh hamba, maka akan gugur jika dia tidak mampu. Dia mampu untuk melaksanakan sebahagian daripada kewajipan itu, tetapi tidak mampu pada sebahagian yang lain maka dia melaksanakan pada apa yang dia mampu, sepertimana sabda Nabi SAW: “Jika kamu diperintahkan dengan suatu perintah maka laksanakannya berdasarkan kemampuan kamu.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, 1/237)

Hal ini juga jelas sepertimana yang disebutkan oleh Baginda Nabi SAW melalui riwayat Abu Hurairah RA;

إِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Sekiranya aku mengarahkan kamu sesuatu perintah, maka lakukan setakat mana yang kamu mampu.”

Riwayat al-Bukhari (7288)

Justeru, kami nyatakan anda telah melakukan tanggungjawab anda sebagai ibu dalam memberi didikan agama kepada anak anda. Janganlah berputus asa dalam membantunya agar kelak dia dapat membaca dengan lebih sempurna. Oleh itu, dalam isu ini meskipun sebutannya kurang lancar, namun solatnya sah disebabkan keuzuran yang dihadapinya.

Semoga perbahasan ini, sedikit sebanyak dapat membantu kita dalam melaksanakan perintah Allah dalam kehidupan harian kita.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Surah Ibrahim (40)

[1] https://hellodoktor.com/keibubapaan/kesihatan-anak/gangguan-perkembangan-anak/adakah-si-manja-kelewatan-bercakap/

Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *