Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah terdapat di sana riwayat kisah pertemuan Nabi Musa AS dengan iblis?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Nabi Musa AS adalah salah seorang nabi ulul azmi yang mempunyai kelebihan dan kesabaran yang tinggi. Firman Allah SWT:
وَلَقَدْ آتَيْنَا مُوسَى الْكِتَابَ فَلَا تَكُن فِي مِرْيَةٍ مِّن لِّقَائِهِ ۖ وَجَعَلْنَاهُ هُدًى لِّبَنِي إِسْرَائِيلَ ﴿٢٣﴾ وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا ۖ وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ
Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah memberi kepada Nabi Musa Kitab Taurat (sebagaimana Kami berikan Al-Quran kepadamu wahai Muhammad), maka janganlah engkau ragu-ragu menyambut dan menerimanya; dan Kami jadikan Kitab Taurat itu hidayah penunjuk bagi kaum Bani Israil.Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.”
(Surah al-Sajdah: 23-24)
Menjawab persoalan di atas, kami katakan, kisah ini disebutkan oleh al-Suyuti dalam al-Durr al-Manthur (1/115) dengan menisbahkannya kepada Ibn Abi al-Dunya dalam Maka’id al- Syaitan (hlm. 65), daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, katanya: Iblis bertemu dengan Musa AS lalu dia berkata, ‘Hai Musa, engkau orang yang dipilih oleh Allah untuk memikul risalah-Nya dan Allah telah berbicara denganmu secara langsung. Aku ini termasuk salah satu makhluk Allah, aku telah berbuat dosa dan aku ingin bertaubat. Mohonkanlah syafaat untukku kepada Rabb-ku agar Dia berkenan menerima taubatku. Kemudian Musa AS memohon kepada Rabb-nya, maka dijawab, “Wahai Musa, Aku telah memenuhi keperluanmu.”
Lalu Musa AS menemui Iblis dan berkata kepadanya, “Sesungguhnya kamu diperintahkan untuk bersujud kepada kubur Adamngunya taubatmu akan diterima. Iblis bersikap sombong dan marah, seraya berkata, “Aku tidak mahu bersujud kepadanya ketika dia masih hidup, lalu apakah aku akan bersujud kepadanya ketika dia sudah mati?”
Iblis melanjutkan perkataannya, “Wahai Musa! Kamu mempunyai hak kerana kamu telah memohonkan syafaat untukku kepada Rabb-mu. Ingatlah aku dalam tiga keadaan, sebab aku tidak akan membinasakanmu pada tiga keadaan itu:
Ingatlah aku ketika kamu sedang marah, kerana aku mengalir di dalam darahmu.
Ingatlah aku ketika kamu pergi ke medan perang, kerana sesungguhnya aku datang kepada anak keturunan Adam ketika dia berangkat ke medan perang, lalu aku mengingatkan dia akan anaknya, isterinya, dan keluarganya, hingga akhirnya dia berpaling meninggalkan medan perang.
Berhati-hatilah bila duduk dengan seorang perempuan yang bukan mahrammu, kerana sesungguhnya aku menjadi utusannya kepadamu dan menjadi utusanmu kepada dirinya.
Kisah ini turut disebut oleh Ibn ‘Asakir dengan sanadnya dalam Tarikh Dimasyq (61/128), sepertimana disebut juga oleh al-Ghazali dalam Ihya’ Ulum al-Din (3/32), Ibn al-Jauzi dalam Talbis Iblis (hlm. 29), Ibn Hajar al-Haitami dalam al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kaba’ir (1/140), Abu al-Laith al-Samarqandi dalam Tanbih al-Ghafilin (hlm. 206), dan al-Syibli dalam Akam al-Marjan fi Ahkam al-Jan (hlm. 271),
Semoga Allah jarakkan kita daripada sifat marah. Amin. (Lihat Syarah Hadis 40, hlm. 180-181)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”
Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H