#3900: Pengharaman Mengangkat Senjata Ke Atas Muslim

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh ustaz terangkan maksud hadith “Siapa bawa senjata atas kami, maka bukan dikalangan kami”?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Senjata berdasarkan Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat bermaksud alat yang digunakan untuk berperang atau berkelahi seperti keris, lembing, senapang, dan lain-lain. Senjata kebiasaannya dihunuskan ke arah seseorang dengan wujudnya permusuhan dan perseteruan, dan tidak lain dengan niat untuk menamatkan riwayat hidup seseorang itu.

Syari‘at Islam telah datang dengan dengan pelbagai cara bagi melindungi nyawa seorang muslim daripada diserang atau dibunuh secara tidak adil dan tanpa hak. Islam juga menjadikan perbuatan membunuh itu sebagai salah satu dari dosa besar yang patut dihukum qisas. Bagi merealisasikan maqasid melindungi nyawa ini, Islam menghalang dan menutup semua jalan yang boleh memberi ancaman nyawa, termasuklah menghunuskan senjata kepada seorang muslim meskipun sekadar gurauan. Ini disebutkan sebagai sad al-zari‘ah atau menutup pintu yang boleh membawa kepada keburukan dengan cara menghalang kejahatan yang boleh membawa kepada pembunuhan.

Antara larangan yang paling jelas adalah larangan dari menghunuskan senjata kepada muslim yang lain, bahkan terdapat ancaman yang amat berat terhadap mereka yang melakukan demikian kerana ia ibarat mengancam bunuh yang disertakan dengan keazaman. Sedangkan Allah SWT telah melarang sekeras-kerasnya dari menumpahkan darah muslim yang lain dengan sengaja tanpa hak. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَمَن يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُّتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِدًا فِيهَا وَغَضِبَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا

Maksudnya: “Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melaknatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.”

(Surah al-Nisa’: 93)

Allah SWT menyebutkan dengan jelas di dalam firman-Nya (وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ), kata larangan yang membawa maksud haram. Imam al-Syirazi menyebutkan, jika syara‘ melarang sesuatu (seperti membunuh) yang hanya ada satu sahaja perkara berlawanan ( seperti membiarkan hidup atau tidak membunuh), maka perkara berlawanan itu (membiarkan hidup atau tidak membunuh) hukumnya wajib dilakukan. (Lihat Bughyah al-Musytaq, hlm. 104)

Membunuh muslim itu adalah dilarang berdasarkan ayat di atas, dan pembunuhan itu tidak akan berjaya ditegah melainkan dengan melarang segala perbuatan yang boleh mengakibatkan pembunuhan tersebut berlaku, seperti mengangkat senjata ke atas muslim yang lain. Oleh yang demikian, hukum mengangkat senjata ke atas muslim yang lain juga haram berdasarkan syara‘. Ini bertepatan dengan sebuah kaedah usul fiqh yang menyebutkan:

مَا لَا يَتِمُّ الْوَاجِبُ إِلَّا بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ

Maksudnya: “Suatu perkara yang mana tidak sempurna suatu kewajiban itu melainkan dengan perkara tersebut, maka hukumnya juga adalah wajib.”

Hukum meninggalkan pembunuhan sesama muslim itu adalah wajib, dan ia tidak sempurna melainkan dengan meninggalkan perbuatan mengangkat senjata ke atas muslim yang lain, maka hukum meninggalkan perbuatan mengangkat senjata ke atas muslim adalah wajib juga.

Hakikatnya, pengharaman meninggalkan perbuatan mengangkat senjata ke atas muslim ini telah jelas dengan nas syara‘, seperti yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ حَمَلَ عَلَيْنَا السِّلاَحَ فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya: “Sesiapa yang mengangkat senjata ke arah orang Islam, maka dia bukan daripada golongan kami.”

Riwayat al-Bukhari (6874) dan Muslim (98)

Syeikh Syaraf al-Haq al-‘Azim Abadi di dalam kitabnya ‘Aun al-Ma‘bud (9/231) menukilkan kalam Imam al-Khattabi, bahawa yang dimaksudkan dengan sabda Baginda SAW (فَلَيْسَ مِنَّا) adalah bukan dari golongan yang mengikut sunnah dan ajaran Baginda SAW. Ada juga yang berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan (فَلَيْسَ مِنَّا) adalah dinafikan keislamannya, dan ini merupakan takwilan yang tidak benar. Sebetulnya adalah sebagaimana yang dikatakan, yakni bukan dari golongan yang mengikut sunnah dan ajaran Baginda SAW. Seperti seorang lelaki yang berkata kepada saudaranya: “Aku daripada golongan kamu dan mengikuti kamu”, yakni pengikutnya dan bersetuju dengannnya. Ini seperti yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

 فَمَن تَبِعَنِي فَإِنَّهُ مِنِّي ۖ وَمَنْ عَصَانِي فَإِنَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat).”

(Surah Ibrahim: 36)

Dalam riwayat yang lain, daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَشَارَ إِلَى أَخِيهِ بِحَدِيدَةٍ فَإِنَّ الْمَلاَئِكَةَ تَلْعَنُهُ حَتَّى وَإِنْ كَانَ أَخَاهُ لأَبِيهِ وَأُمِّهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang menghunuskan besi kepada saudaranya (seislam), sesungguhnya malaikat akan melaknatnya meskipun itu adalah saudara seibu sebapanya.”

Riwayat Muslim (2616)

Imam al-Nawawi berkata, dalam hadith ini terdapat penegasan tentang kehormatan orang Islam dan larangan yang keras dari mengancamnya, menakutkannya dan menentangnya dengan suatu perkara yang boleh mencederakannya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 16/170)

Diriwayatkan juga daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يُشِيرُ أَحَدُكُمْ عَلَى أَخِيهِ بِالسِّلاَحِ، فَإِنَّهُ لاَ يَدْرِي لَعَلَّ الشَّيْطَانَ يَنْزِعُ فِي يَدِهِ، فَيَقَعُ فِي حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Janganlah salah seorang daripada kalian mengacukan senjata ke atas saudaranya kerana sesungguhnya dia tidak tahu, boleh jadi  syaitan melepaskan apa yang ada pada tangannya, lalu akhirnya dia terjerumus ke dalam lubang api neraka.”

Riwayat al-Bukhari (7072) dan Muslim (2617)

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan sabda Baginda SAW (لَعَلَّ الشَّيْطَانَ يَنْزِعُ فِي يَدِهِ), yang dimaksudkan adalah syaitan menggoda mereka sehingga salah seorang daripada mereka memukul yang lain dengan senjatanya, dan syaitan berjaya membuatkan dia memukul saudaranya.

Dan sabda Baginda (فَيَقَعُ فِي حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ) adalah berbentuk perumpamaan terlanjurnya seseorang itu melakukan maksiat yang boleh mengakibatkannya dimasukkan ke dalam neraka. (Lihat Fath al-Bari, 13/27)

Kesimpulan

Jelas berdasarkan perbincangan di atas, yang dimaksudkan dari hadith Rasulullah SAW adalah tegahan, larangan serta pengharaman dari menyakiti muslim yang lain dengan apa jua cara, seperti menghunuskan senjata kepadanya. Hal ini kerana ia boleh menaikkan kemarahan, menimbulkan ketakutan dan permusuhan antara kedua belah pihak sehingga mengakibatkan berlakunya pergaduhan yang besar, dan lebih teruk lagi jika ia berakhir dengan pembunuhan.

Sesiapa yang melanggar larangan ini, tidaklah dinafikan keislamannya selagimana dia tidak beriktiqad bahawa darah muslim lain adalah halal tanpa hak. Sekiranya dia beriktiqad bahawa seorang muslim itu halal ditumpahkan darahnya tanpa sebarang hak, maka perbuatan itu boleh mengeluarkannya dari Islam. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/177)

Semoga Allah SWT memelihara kita dan semua ahli keluarga serta kaum muslimin yang lain dari terjerumus ke dalam tipu daya syaitan yang sentiasa menghasut agar berlakunya pergaduhan dan menginginkan keburukan.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat-Mu.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *