Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan beberapa adab dan waktu yang sesuai untuk berdoa?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: ‘Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.’”
(Surah al-Ghafir: 60)
Ayat ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa Allah SWT menuntut para hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tiada khilaf dalam kalangan orang Islam. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 183/24)
Di dalam agama Islam, doa bukanlah sesuatu perkara yang remeh tetapi mempunyai peranannya yang besar. Oleh sebab itu, ia sendiri dianggap sebagai ibadah. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada al-Nu‘man bin Basyir bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda:
الدُّعَاءُ هُوَ العِبَادَةُ
Maksudnya: “Doa itu merupakan ibadah.”
Riwayat al-Tirmizi (3247); beliau menyatakan bahawa hadith ini hasan sahih.
Selain itu, kita sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa berdoa kepada Allah SWT kerana insan ini sifatnya lemah dan sentiasa mengharapkan bimbingan sang Penciptanya dalam setiap keadaan.
Tambahan lagi, banyak doa-doa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita untuk digunakan dalam kehidupan seharian. Namun, di sana adanya perkara yang perlu diambil perhatian ketika berdoa bagi memastikan doa tersebut diterima dan dimakbulkan oleh Allah SWT, iaitu adab-adab dalam berdoa.
Berikut disenaraikan antara adab-adab berdoa yang perlu kita tekuni agar dimustajabkan doa kita:
- Memilih waktu-waktu yang mustajab. Antara waktu-waktu yang dimustajabkan berdoa adalah:
- Ketika turunnya hujan.
- Waktu di antara azan dan iqamah setiap solat fardu.
- Ketika sujud dalam solat.
- Di penghujung setiap solat fardu.
- 1/3 malam yang terakhir.
- Selepas waktu Asar pada hari Jumaat.
- Menghadap kiblat dan mengangkat tangan ketika berdoa.
- Dimulakan dengan puji-pujian terhadap Allah SWT dan selawat ke atas Nabi SAW.
- Tidak mengkhususkan doanya untuk diri sendiri bahkan meng- umumkannya seperti tidak hanya mendoakan keampunan buat diri sendiri bahkan berdoa meminta keampunan buat sekalian muslimin dan muslimat.
- Bersangka baik dengan Allah SWT dan berharap akan dimakbulkan permintaan.
- Mengakui segala dosa yang telah kita lakukan.
- Merendahkan suara. Memohon dengan penuh rendah diri dan khusyu’.
(Lihat Syarah Hadis 40, hlm. 444)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”
Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H