Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. . Saya ada dua soalan berkenaan dengan hukum fiqh.  Apakah hukum jika seseorang lelaki memakai inner lengan yang menutupi sebahagian telapak tangan dengan tujuan untuk mengelakkan daripada bersentuhan antara bukan mahram ketika bekerja. Contohnya, pelanggan perempuan membayar duit dan dengan sengaja menyentuh telapak tangan pekerja lelaki tersebut. Soalan yang kedua, ketika masuk waktu solat, pekerja lelaki tersebut masih menjaga wudhuk dan diberikan masa yang sedikit untuk menunaikan solat kerana suasana pasaraya yang sibuk dan pekerja yang tak ramai. Adakah sah sujudnya kerana inner tersebut menutupi sebahagian telapak tangannya? Seperti yang kita sedia maklum, anggota sujud ada 7 iaitu dahi, kedua telapak tangan, kedua lutut dan dua hujung jari kaki. Mohon Dato terangkan kepada saya yang kurang mengerti.

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Sesungguhnya ibadat solat merupakan tiang seri kepada agama Islam yang perlu diberi kecaknaan dan dilakukan dengan sebaik mungkin. Ia semestinya mengikut apa yang diajar oleh Rasulullah SAW. Benarlah hadith Rasulullah SAW, daripada Malik bin al-Huwairith, sabda Baginda SAW:

صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

Maksudnya: “Solatlah kamu semua sepertimana kamu semua melihat aku mendirikan solat.”

Riwayat al-Bukhari (6008) dan Muslim (674)

Imam al-Nawawi berkata: Hadis ini mengisyaratkan tuntutan agar mengerjakan ibadah mengikut cara bagaimana Rasulullah SAW ajarkan dan juga praktikkan. (Lihat al-Majmu‘, 4/521)

Sujud merupakan salah satu rukun solat yang wajib dipelihara kesempurnaannya agar solat itu sah dan diterima oleh Allah SWT. Diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظُمٍ، عَلَى الْجَبْهَةِ وَأَشَارَ بِيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ وَالْيَدَيْنِ، وَالرُّكْبَتَيْنِ، وَأَطْرَافِ الْقَدَمَيْنِ، وَلَا نَكْفِتَ الثِّيَابَ وَالشَّعَرَ

Maksudnya: “Aku diperintahkan agar melakukan sujud dengan tujuh anggota sujud: Yakni dahi (sambil menunjuk hidung), dua belah tangan, dua lutut dan hujung kedua tapak kaki.”

Riwayat al-Bukhari (812)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan tidak menjadi masalah untuk seorang lelaki itu memakai inner kerana ia merupakan pakaian lelaki dan wanita. Maka, tidak timbul isu penyerupaan seperti wanita atau seumpamanya. Keduanya, dalam isu tapak tangan ketika sujud, sah solatnya meskipun tapak tangan berlapik dengan inner/ telekung (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 1/280). Namun, pada bahagian dahi ia perlu dikenakan secara langsung ketika sujud. Kewajipan membuka kawasan dahi ini berdasarkan hadis Khabab bin al-Arat RA, beliau berkata bahawa:

شَكَوْنَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ -صَلَّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ- شِدَّةَ الْحَرّ فِى جِبَاهِنَا وَأَكُفّنَا فَلَمْ يُشْكِنَا

Maksudnya: “Kami mengadu kepada Rasulullah SAW mengenai rasa yang sangat panas (yang kami rasai ketika sembahyang) pada dahi dan telapak tangan kami, namun aduan kami tidak dipedulikan.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (2764)

Akan tetapi, sekiranya tertutup sebahagian dahi dan sebahagian lagi mengenai tempat sujud, solatnya dikira sah.

Kami akhiri perbincangan ini dengan mengajak untuk marilah sama-sama kita berdoa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply