Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum meludah dalam masjid dan kaffarahnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: “Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.

(Surah al-Taubah: 18)

Masjid (مَسْجِد) pada bahasa Arab ialah nama bagi tempat bersujud. Dari sudut syara’nya boleh ditakrifkan kepada dua: Tempat permukaan bumi, ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

وَجُعِلَتْ لِيَ الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا

Maksudnya: “Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid (tempat bersujud)”

Riwayat al-Bukhari (438)

Manakala dari sudut istilah atau ‘urf masjid itu ialah tempat yang disediakan bagi mengerjakan sembahyang untuk selama-lamanya. (Lihat Mu‘jam Lughat Al-Fuqaha, hlm. 428 dan Ahkam al-Sajid, hlm. 26-27).

Al-Zajjaj berkata: “Setiap tempat diibadatkan padanya dinamakan dengan masjid seperti hadis di atas.” (Lihat Taj al-‘Arus, 8/174)

Apabila diperhatikan sejarah kewujudan dan kedudukan tanah persekitaran masjid pada masa dahulu berdasarkan definisi masjid dari sudut istilah, di antaranya ada masjid yang hanya berupa tanah lapang yang diberi tanda atau sempadan di sekelilingnya dengan mendirikan tiang-tiang yang dipacakkan tepat pada sempadan berkenaan.

Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan sebuah hadis sebagaimana diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

البُزَاقُ فِي المَسْجِدِ خَطِيئَةٌ وَكَفَّارَتُهَا دَفْنُهَا

Maksudnya: “Meludah di dalam masjid ialah suatu kesalahan dan kaffarahnya ialah dengan menimbusnya.”

Riwayat al-Bukhari (415) dan Muslim (552)

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: “Meludah atau perkara yang serupa seperti melemparkan lendir di dalam masjid adalah perbuatan dosa dan salah. Ini kerana tindakan ini menunjukkan sikap kurang menghormati masjid, dan Allah SWT berfirman: “Dan sesiapa yang mengagungkan peraturan-peraturan Allah, maka itulah yang lebih baik baginya di sisi Tuhan.” (Surah al-Hajj: 30). Hadith ini berlawanan dengan hadith Anas yang disebutkan dalam hadith sahih, “Hendaklah dia meludah ke arah kiri di bawah kaki kirinya.

Wajah penyatuan antara dua hadith ini adalah seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi: Kedua-duanya adalah perbuatan umum, tetapi keizinan untuk meludah ini jika perbuatan tersebut dilakukan di luar masjid. Namun, perbuatan itu tetap dianggap sebagai perbuatan umum dosa jika ia dilakukan di dalam masjid, tanpa pengecualian.

Yang dimaksudkan dengan “meludah” di sini adalah jika seseorang melakukan perbuatan itu tanpa disengajakan, maka itu adalah suatu kesalahan yang diampuni dosanya. Ini dikuatkan dengan apa yang terdapat dalam hadith al-Bukhari  (414) dan Muslim (548), yang menyatakan bahawa Nabi SAW ternampak kahak pada qiblat masjid. Baginda SAW terus mengikisnya dengan sebiji anak batu. Kemudian Baginda melarang seseorang daripada meludah ke arah hadapannya atau ke sebelah kanannya, sebaliknya dia boleh meludah ke sebelah kirinya atau ke bawah tapak kaki kirinya.” (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/135)

Imam al-Nawawi menyatakan: “Maksudnya dengan “menimbusnya” adalah apabila masjid itu dibuat daripada tanah atau pasir, dan ditimbuskan ludah itu di bawah tanah masjid. Abu al-Muhasin al-Ruwaini, salah seorang ulama daripad mazhab al-Syafi’i berkata, dalam kitabnya al-Bahr berkata: Maksud sebenar dengan “menimbusnya” adalah mengeluarkannya daripada dalam masjid. Namun, jika masjid itu dibina dengan lantai yang dipadatkan atau diubahsuai, maka ia boleh dibersihkan dengan menggunakan alat seperti penyapu, seperti yang dilakukan oleh sesetengah orang yang kurang berpengetahuan (jahil). Ini tidak dianggap sebagai menimbus, bahkan lebih kepada menambahkan kesalahan dan meningkatkan kekotoran dalam masjid. Orang yang melakukan perbuatan tersebut perlu membersihkannya selepas itu dengan menggunakan kain atau tangan mereka sendiri atau dengan cara lain atau mencucinya.” (Lihat Riyadh al-Salihin, hlm. 472)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa hukum meludah di dalam masjid adalah perbuatan yang salah dan boleh mendatangkan dosa, dan kaffarahnya adalah dengan menimbusnya, iaitu dengan membersihkan ludahan tersebut. Hadith yang membenarkan ludah ketika solat di sebelah kiri tapak kaki itu pula diizinkan jika perbuatan tersebut dilakukan di luar masjid. Adapun yang terbaik dalam hal ini adalah sekiranya terpaksa meludah, maka ludahlah di dalam sapu tangan ataupun dalam poket baju, tambahan pula dalam zaman sekarang ini, semua masjid berlantaikan karpet dan mesti dijaga kebersihannya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply