Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah hukum makan secara bersandar ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

(Surah al-Ahzab: 21)

Ayat di atas menunjukkan bahawa sesungguhnya telah ada bagi kamu (wahai orang-orang yang beriman) pada perkataan-perkataan Nabi SAW, perbuatan-perbuatannya, dan keadaan-keadaannya contoh teladan yang baik, agar kamu semua dapat mengikutinya. Maka, berpeganglah dengan sunnahnya kerana sesungguhnya ia dipegang dan diikuti oleh orang-orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat. Begitu juga, perbanyakkanlah mengingati Allah dan memohon keampunan daripada-Nya, serta bersyukur kepada-Nya dalam setiap keadaan. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 420)

Diriwayatkan daripada  Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ

Maksudnya: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.

Riwayat Ahmad (8952), Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai sahih dan sanadnya kuat.

Islam dikenali sebagai agama yang sempurna kerana ia membimbing manusia dalam segala aspek kehidupan, dari yang paling kecil hinggalah kepada yang terbesar. Selain itu, Nabi Muhammad SAW juga digambarkan sebagai individu yang luar biasa, kerana Baginda telah menyampaikan wahyu-wahyu Allah dan ajaran agama kepada  umatnya dengan sempurna.

Rasulullah SAW telah mengajar adab-adab makan seperti membaca bismillah, menggunakan tangan kanan serta mengambil makanan yang paling hampir dalam hidangan. Hal ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Umar bin Abu Salamah, bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya:

سَمِّ اللَّهَ، وَكُلْ بيَمِينِكَ، وَكُلْ ممّا يَلِيكَ

Maksudnya: “Bacalah bismillah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah makanan yang paling hampir denganmu.”

Riwayat al-Bukhari (5376) dan Muslim (2022)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa antara adab ketika makan atau minum hendaklah seseorang itu duduk dengan baik. Rasulullah SAW melarang makan dan minum secara berdiri mahupun bersandar. Hal ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan bahawa Anas bin Malik R.A menyatakan:

عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم أَنَّهُ نَهَى أَنْ يَشْرَبَ الرَّجُلُ قَائِمًا ‏.‏ قَالَ قَتَادَةُ فَقُلْنَا فَالأَكْلُ فَقَالَ ذَاكَ أَشَرُّ أَوْ أَخْبَثُ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW melarang daripada meminum sambil berdiri. Qatadah bertanya bagaimana pula dengan makan (sambil berdiri)? Anas menjawab: “Yang demikian itu adalah lebih buruk dan tercela.

Riwayat Muslim (2024)

Menurut Imam al-Nawawi, larangan daripada makan dan minum sambil berdiri ini menunjukkan kepada makruh tanzih, dan Rasulullah SAW melakukan hal tersebut semata-mata untuk menunjukkan keharusannya ketika ada keperluan. (Lihat Syarh Sahih Muslim 13/195 dan Zad al-Ma’ad 2/257)

Ini juga dipersetujui oleh Ibnu Hajar Al-‘Asqalani yang turut berkata larangan minum berdiri adalah berbentuk makruh tanzihi, dan perbuatan Nabi SAW sendiri yang minum sambil berdiri menunjukkan bahawa ia tidak haram. Beliau juga menyebut hadith yang memerintahkan supaya memuntahkan kembali air yang diminum sambil berdiri perlu difahami sebagai arahan berbentuk sunat dan bukannya wajib. (Lihat Fath al-Bari 10/82)

Namun dalam isu makan sambil bersandar, Ia juga dilarang oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abi Juhaifah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَأْكُلْ مُتَّكِئًا

Maksudnya: Janganlah kamu makan secara bersandar.

Riwayat Bukhari (5398)

Telah dinyatakan dalam Umdah al-Qari’ bahawa Imam al-Tirmizi juga membawa hadis-hadis mengenai makan sambil bersandar dengan menyatakan bahawa ia adalah perbuatan makruh, dan ini adalah pandangan yang disepakati oleh jumhur ulama (Lihat ‘Umdah al-Qari’,21/43)

Dalam isu ini Juga Ibn Hajar al-’Asqalani menyatakan bahawa al-Sya’bi mengatakan: Sesungguhnya makan sambil bersandar itu makruh kerana ditakuti bahawa perut-perut mereka akan menjadi besar. (Lihat Ithaf al-Mahrah,19/116)

Justeru kami katakan sebagai seorang muslim hendaklah menjaga adab dan tatasusila ketika makan sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Makan sambil bersandar merupakan amalan yang menyanggahi adab yang lebih utama iaitu duduk (khilaf al-aula) dan ia dihukumkan sebagai makruh.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply