Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum bermegah dengan kecantikan masjid?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: “Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.

(Surah al-Taubah: 18)

Masjid (مَسْجِد) pada bahasa Arab ialah nama bagi tempat bersujud. Dari sudut syara’nya boleh ditakrifkan kepada dua: Tempat permukaan bumi, ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

وَجُعِلَتْ لِيَ الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا

Maksudnya: “Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid (tempat bersujud)”

Riwayat al-Bukhari (438)

Manakala dari sudut istilah atau ‘urf masjid itu ialah tempat yang disediakan bagi mengerjakan sembahyang untuk selama-lamanya. (Lihat Mu‘jam Lughat Al-Fuqaha, hlm. 428 dan Ahkam al-Sajid, hlm. 26-27).

Al-Zajjaj berkata: “Setiap tempat diibadatkan padanya dinamakan dengan masjid seperti hadis di atas.” (Lihat Taj al-‘Arus, 8/174)

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ، حَتَّى يَتَباهَى النَّاسُ فِي المَسَاجِدِ

Maksudnya: Tidak berlaku Kiamat sehingga orang ramai bermegah pada masjid mereka.

Riwayat Abu Dawud (449), Ibn Majah (379) dan Ahmad (12379)

Anas R.A berkata:

يَتَبَاهَوْنَ بِهَا ثُمَّ لَا يَعْمُرُونَهَا إِلَّا قَلِيلًا

Maksudnya: “Orang ramai bermegah-megah dalam membangunkan masjid, kemudian mereka tidak memakmurkannya kecuali hanya sedikit. (Lihat Sahih al-Bukhari, 1/455-456)

Ibnu Abbas R.Anhuma berkata:

لَتُزَخْرِفُنَّهَا كَمَا زَخْرَفَتِ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى

Maksudnya: “Sesungguhnya kamu akan memperindahkan dan menghiasinya sebagaimana orang-orang Yahudi dan Nasrani memperindahkan dan menghiasi (tempat ibadat mereka).” (Lihat Sahih al-Bukhari, 1/539)

Umar bin al-Khattab R.A pernah melarang menghiasi masjid dan memperindahkannya kerana perkara tersebut boleh mengganggu kekhusyukan solat seseorang. Beliau berkata ketika memerintahkan untuk memperbaharui pembangunan Masjid Nabawi:

أَكِنَّ النَّاسَ مِنْ الْمَطَرِ وَإِيَّاكَ أَنْ تُحَمِّرَ أَوْ تُصَفِّرَ فَتَفْتِنَ النَّاسَ

Maksudnya: “Lindungilah manusia daripada hujan dan janganlah kamu menghiasinya dengan warna merah atau kuning, sehingga orang ramai boleh terganggu dengannya.” (Lihat Sahih al-Bukhari, 1/539)

Mudah-mudahan Allah SWT memberi rahmat kepada Saidina Umar R.A, kerana terbukti orang ramai tidak memegang wasiatnya. Mereka bukan sahaja memberi warna merah atau kuning, malah mereka menghiasnya sepertimana mereka menghias pakaian. Para raja dan khalifah bermegah-megah dalam membangunkan masjid dan menghiasinya sehingga mereka melakukan sesuatu yang sangat menakjubkan. Masjid-masjid itu tetap berdiri tegak sehingga saat ini, sepertimana yang terdapat di Syam, Mesir, Maghribi, Andalusia dan sebagainya. Dan sehingga sekarang, umat Islam sentiasa berlumba-lumba dan bermegah-megah dalam menghiasi masjid. (Lihat Asyrat al-Sa’ah oleh Yusuf al-Wabil, hlm. 107-108)

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Menyombongkan diri dengan masjid adalah berlaku kesombongan dalam pembinaan, hiasan, dekorasi, ketinggian, dan reka bentuknya, di mana seseorang lberkata kepada yang lain, “Masjid saya lebih baik daripada masjid kamu,” atau “Pembinaan di masjid aku lebih baik daripada pembinaan di masjid kamu.”

Sombong ini juga boleh berlaku dalam perbuatan tanpa perkataan, di mana setiap individu cuba menghiasi masjid mereka, meningkatkan pembinaannya, dan lain-lain, agar ia kelihatan lebih megah daripada yang lain. Tindakan ini adalah suatu dosa dan seharusnya dihindari. Yang penting ialah kesederhanaan dalam pembinaan masjid tanpa berlebihan. Perbuatan ini adalah salah satu tanda akhir zaman yang berlaku apabila keadaan manusia berubah, kefahaman agama melemah, dan keimanan mereka menjadi lemah. Ia berlaku apabila tindakan mereka tidak lagi ditujukan kepada Allah, tetapi lebih kepada riak, reputasi, kesombongan, dan tindakan untuk berbangga.

Hadith ini menunjukkan pengharaman tindakan tersebut dan bahawa ia adalah suatu amalan yang tidak diterima. Hal ini kerana tindakan tersebut tidak dilakukan kerana Allah, dan sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith qudsi, “Sesiapa yang melakukan suatu perbuatan yang ia bersekutu denganku dalam amalannya, Aku akan meninggalkannya bersama dengan  syiriknya.” [Riwayat Muslim (2185)].

Sheikh Taqiy al-Din berkata: Orang yang mempertontonkan diri tidak boleh menganggap bahawa ia akan terhindar dari kegagalan amalannya. Sebaliknya, ia berhak untuk mendapat celaan dan hukuman.

Dalam hadith ini juga, disebutkan tentang kurangnya iman, kelemahan fahaman dalam agama, dan minat terhadap kehidupan dunia yang berkilauan sebagai tanda-tanda kiamat dan fitnah. Orang yang bijak dan cerdas perlu menjaga diri daripada terpedaya dengan penampilan dan perhiasan dunia ini, kerana semua itu sementara dan hanya yang kekal ialah amalan soleh yang memberi manfaat sahaja. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/137-138)

Tidak diragukan lagi bahawa memperindah, menghias dan bermegah-megah dalam pembangunan masjid merupakan ciri sikap boros. Sedangkan memakmurkannya hanyalah dengan melakukan ketaatan dan zikir kepada Allah SWT di dalamnya. Cukuplah bagi manusia membuat sesuatu yang dapat melindungi mereka daripada panas, dingin, dan hujan.

Telah datang ancaman dengan kehancuran apabila masjid dihiasi dan al-Quran diperindahkan (dengan pelbagai corak). Diriwayatkan daripada Abu al-Darda R.A, beliau berkata:

إِذَا زَوَّقْتُمْ مَسَاجِدَكُمْ، وَحَلَّيْتُمْ مَصَاحِفَكُمْ، فَالدِّمَارُ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Jika kamu menghiasi masjid-masjid dan mushaf kamu, maka kehancuranlah yang akan menimpa kamu.”

Riwayat Ibn Syaibah dalam al-Musannaf (3166) dan sanadnya dinilai mursal dan bertaraf hasa sebagaimana disebut dalam al-Silsilah al-Sahihah (1351)

Imam al-Munawi berkata, “Menghias masjid dan mushaf adalah sesuatu yang dilarang, kerana perkara itu boleh menyibukkan hati, dan menghilangkan kekhusyukan daripada bertadabbur dan hadirnya hati dengan mengingat Allah SWT. Mazhab al-Syafi’i berpendapat bahawa menghiasi masjid – walaupun Ka’bah – dengan emas atau perak diharamkan secara mutlak. Adapun dengan selain keduanya hukumnya adalah makruh.” (Lihat Faidh al-Qadir, 1/367)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa hukum bermegah dengan kecantikan masjid adalah merupakan sifat mazmumah yang mesti ditinggalkan dan ia adalah merupakan tanda-tanda kiamat sebagaimana yang disebut dalam hadith ini. Namun begitu amat penting untuk sama-sama kita membina dan membangunkan masjid dengan cantik dan indah, akan tetapi tidak boleh berlebihan dan disertai dengan rasa bangga dan sombong dengan binaan masjid yang indah tersebut. Hal ini kerana matlamat pengimarahan masjid adalah jauh lebih utama. Itulah pengisian peribadatan kepada Allah SWT.

Semoga Allah SWT menjadikan kita daripada kalangan mereka yang mengimarahkan masjid, bukan semata-mata bangunan tetapi kehadiran dan ketaatan dalam masjid itu sendiri. Amin.

Wallahua’alam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply