Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Kami ada mendengar seorang lelaki datang memohon nasihatdaripada ulama terkemuka Fudhail bin Iyadh. Boleh ceritakan nasihat beliau?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan sebuah hadith: Daripada Abi Hurairah RA bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW:
أَوْصِنِي. قَالَ: لَا تَغْضَبْ، فَرَدَّدَ مِرَارًا، قَالَ: لَا تَغْضَبْ
Maksudnya: Wasiatkan kepadaku. Sabda Baginda: “Janganlah marah.” Kemudian beliau berulang kali bertanya. Sabda Baginda: “Janganlah marah.”
Riwayat al-Bukhari (6116)
Justeru, wasiat merupakan amalan yang baik sebagaimana yang telah dinaskan di dalam surah al-‘Asr:
وَالْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
Maksudnya: “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian – Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. ”
(Surah al-‘Asr: 1-3)
Maksud saling berpesan dengan kebenaran ialah:
وأوصى بعضهم بعضا بلزوم العمل بما أنزل الله في كتابه من أمره واجتناب ما نهى عنه فيه
Maksudnya: “Mereka saling menasihati untuk mengerjakan amalan, sebagaimana diturunkan oleh Allah di dalam KitabNya, iaitu yang diperintahkanNya dan menjauhi apa yang dilarang-Nya.” (Lihat Tafsir al-Tabari, 24/590).
Manakala maksud saling berpesan dengan kesabaran pula ialah:
وأوصى بعضهم بعضا بالصبر على العمل بطاعة الله
Maksudnya: “Mereka saling menasihati untuk menetapi kesabaran dalam melaksanakan ketaatan terhadap Allah.” (Lihat Tafsir al Tabari, 24/590).
Kami kemukakan seringkas mungkin biografi Fudhail bin Iyadh:
Nama penuh beliau ialah Abu Ali Fudhail bin ‘Iyadh bin Mas’ud bin Bisyir al-Tamimi al-Yarbu’i al-Hurasani berasal dari pinggiran kota Muru. Fudhail bin ‘Iyadh dilahirkan pada tahun 105 H di bandar Samarkan dan membesar di kota Abyurd.
Beliau digelar sebagai Abidul Al-Haramain kerana teguhnya berbuat ibadah di dua tanah suci iaitu di kota Makkah dan Madinah. Kata al-Mizzi bahawa Fudhail adalah seorang orang soleh dan orang yang sangat kuat beribadah. Manakala Imam al-Zahabi mengatakan bahawa beliau merupakan seorang yang zuhud, kuat hafalannya, dan disepakati tentang kemuliaannya serta orang yang dipercayai.
Beliau menulis riwayat-riwayat hadith di kota Kufah kemudian berpindah ke Makkah dan bermukim di sana sehingga beliau wafat. Beliau wafat dalam bulan Muharram tahun 187 H.
Menjawab persoalan di atas, Fudhail bin Iyadh telah didatangi seorang lelaki seraya berkata, “Wasiatkan aku dengan sesuatu.” Lantas, jawab Fudhail, “Peliharalah daripadaku 5 perkara:
- Apa yang terkena kepada kamu sesuatu maka katakanlah, “Ia berlaku dengan qadha’ Allah.” Hal ini menyebabkan kamu menolak celaan terhadap makhluk.
- Jagalah lidahmu seupaya selamat semua makhluk daripadamu, nescaya, kamu akan selamat daripada azab Allah SWT.
- Benarkanlah kepada Tuhanmu dengan apa yang dijanjikan kepadamu dari rezeki sehingga kamu jadi benar-benar orang yang beriman.
- Bersedialah untuk kematian sehingga kamu tidak mati dalam keadaan lalai.
- Zikirlah kepada Allah SWT dengan sebanyak-banyaknya di mana kamu berada kerana ia menjadi pendinding kamu dari sebarang kejahatan. (Lihat Tanbih al-Ghafilin, hlm. 262-263)
Menekuni nasihat tersebut dan wasiatnya, jelas menunjukkan sesiapa yang mengikuti nasihat tersebut, maka selamatlah dia di dunia dan akhirat. Ia akan memandu amnusia untuk berakhlak dengan akhlak yang abik, sentiasa muhasabah diri serta ingatkan akhirat. DI samping menjarakkan dari dosa seupaya mungkin.
AKhir kalam marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT semoga Allah SWT kurniakan kebaikan kepada kita.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”
Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H