Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang helah Yahudi dalam jual beli, yang dilaknat Tuhan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada Jabir bin Abdillah R.Anhuma, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda pada tahun pembukaan kota Makkah, ketika berada di Makkah:

إِنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ حَرَّمَ بَيْعَ الخَمْرِ، وَالمَيْتَةِ وَالخِنْزِيرِ وَالأَصْنَامِ. فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَرَأَيْتَ شُحُومَ المَيْتَةِ، فَإِنَّهَا يُطْلَى بِهَا السُّفُنُ، وَيُدْهَنُ بِهَا الجُلُودُ، وَيَسْتَصْبِحُ بِهَا النَّاسُ؟ فَقَالَ: «لاَ، هُوَ حَرَامٌ». ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَ ذَلِكَ: قَاتَلَ اللَّهُ اليَهُودَ إِنَّ اللَّهَ لَمَّا حَرَّمَ شُحُومَهَا جَمَلُوهُ، ثُمَّ بَاعُوهُ، فَأَكَلُوا ثَمَنَهُ.

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan jual beli arak, bangkai, babi dan patung-patung berhala.” Ditanyakan (oleh seseorang): “Wahai Rasulullah! Bagaimana pendapatmu dengan lemak bangkai, sesungguhnya ia digunakan untuk mengecat perahu, meminyakkan kulit dan dijadikan lampu oleh orang ramai?” Nabi SAW bersabda: “Tidak boleh, itu adalah haram.” Kemudian Rasulullah SAW bersabda ketika itu juga: “Semoga Allah memerangi (melaknat) orang-orang Yahudi. Sesungguhnya Allah mengharamkan lemak bangkai, tetapi mereka mencairkannya, kemudian menjualnya, lalu memakan daripada hasil jualannya.”  

Riwayat al-Bukhari (2236) dan Muslim (1581)

Syeikh Abdullah al-Bassam menjelaskan:

Lafaz ‘قَاتَلَ اللَّهُ اليَهُودَ’ bermaksud menghilangkan nyawa dan mematikannya. Para ahli bahasa berkata: “Allah memerangi; maksudnya melaknat dan memusuhi. Allah SWT melaknat orang-orang Yahudi kerana mereka menggunakan tipu daya.”

Lafaz ‘جَمَلُوهُ’ bermaksud mengolah lemak yang haram dimakan. Antaranya, ada yang mengatakan al-jamil adalah lemak yang telah diberi benda cair, kemudian mereka menjualnya untuk melakukan tipu daya dalam memanfaatkan lemak. Dhamir yang terdapat perkataan ‘جَمَلُوهُ’ kembali kepada lemak, berdasarkan pentafsiran tersebut.

Antara pengajaran daripada hadith di atas:

  • Sesungguhnya tipu daya terhadap hal-hal yang diharamkan oleh Allah SWT merupakan perbuatan orang-orang Yahudi di mana mereka memperoleh murka dan laknat daripada Allah SWT. Allah SWT berfirman:

فَبِمَا نَقْضِهِم مِّيثَاقَهُمْ لَعَنَّاهُمْ وَجَعَلْنَا قُلُوبَهُمْ قَاسِيَةً ۖ يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ عَن مَّوَاضِعِهِ ۙ وَنَسُوا حَظًّا مِّمَّا ذُكِّرُوا بِهِ ۚ وَلَا تَزَالُ تَطَّلِعُ عَلَىٰ خَائِنَةٍ مِّنْهُمْ 

Maksudnya: “Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran). Mereka sentiasa mengubah Kalimah-kalimah (yang ada di dalam kitab Taurat dengan memutarnya) dari tempat-tempatnya (dan maksudnya) yang sebenar, dan mereka melupakan (meninggalkan) sebahagian daripada apa yang diperingatkan mereka dengannya. Dan engkau (wahai Muhammad) sentiasa dapat melihat perbuatan khianat yang mereka lakukan.”

(Surah al-Ma’idah: 13)

  • Haram hukumnya melakukan tipu daya, iaitu dengan menghalalkan sesuatu yang haram atau meninggalkan kewajiban dan sesungguhnya hal tersebut tidak mengubah realiti sesuatu, sekalipun sesuatu yang haram tersebut diberi nama lain atau diubah beberapa sifatnya.
  • Peringatan kepada umat ini terhadap apa yang dilakukan oleh orang-orang Yahudi daripada mengerjakan perkara-perkara yang diharamkan melalui tipu daya, agar mereka tidak ditimpa kemurkaan daripada Allah SWT, laknat dan azab seksa yang pedih.

Al-Khattabi berkata: “Di dalam hadith ini, terdapat keterangan mengenai tidak sahnya tipu daya yang dilakukan pada hal-hal yang diharamkan. Hukumnya tidak berubah meskipun dengan perubahan bentuk dan penggantian nama.”

  • Ibn al-Qayyim berkata: “Allah SWT melaknat orang-orang Yahudi, iaitu ketika mereka menggunakan wang hasil daripada sesuatu yang haram untuk dimakan dan usaha mereka mengubah tidak dapat menjaga mereka daripada kesalahan, iaitu dengan bentuk memperjualbelikan. Demikian juga, sesungguhnya menghilangkan identiti lemak bangkai yang dilakukan oleh orang-orang Yahudi, iaitu dengan membuangnya, tidak memberi apa-apa manfaat. Sesungguhnya lemak-lemak tersebut, setelah dibuang oleh mereka, maka namanya diubah dan berpindah nama lemak tulen. Ketika mereka melakukan tipu daya dengan cuba untuk menghalalkannya, iaitu dengan mengubah namanya, maka hal tersebut tidak memberikan manfaat bagi mereka.”

Dinyatakan di dalam kitab Ma’alim al-Sunan: “Wasilah yang membawa kepada sesuatu yang haram, maka hukumnya juga haram di dalam al-Quran, al-Sunnah, fitrah manusia dan logik.” Sesungguhnya Allah SWT mengubah bentuk orang-orang Yahudi menjadi kera dan babi, ketika mereka cuba melakukan jual beli barnag yang haram dengan suatu wasilah yang mereka anggap mubah (harus) hukumnya. Maka sesungguhnya suatu jalan, apabila ia membawa kepada perkara yang haram, maka hukum Syariat tidak secara asal datang membolehkannya sama sekali, kerana membolehkan wasilah dan mengharamkan tujuannya bererti menggabungkan antara dua perkara yang berlawanan. Maka kami tidak dapat menggambarkan ada sesuatu yang dibolehkan, lalu diharamkan wasilah yang membawa kepadanya, melainkan wasilah tersebut wajib diharamkan atau dibolehkan. Pendapat yang kedua batil hukumnya dan yang benar adalah pendapat yang pertama.

Inilah juga sepertimana dijelaskan dalam kitab Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram oleh Syeikh Abdullah al-Bassam (4/224).

Mengambil kesempatan di sini, marilah sama-sama kita berdoa untuk saudara kita di Gaza dan Palestin agar mereka diberi kemenangan, ketenangan dan kejayaan dalam menentang rejim Zionis. 

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya:  “Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman.”

 Riwayat al-Bukhari (6393)

اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”

 Riwayat al-Bukhari (2965)

Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply