SOALAN
Apakah hukum sengaja hadir lewat ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat?
JAWAPAN
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”
(Surah al-Jumu’ah: 9)
Syeikh Jalaluddin al-Mahalli menjelaskan haram bagi mereka yang wajib Jumaat menyibukkan diri dengan jual beli dan selainnya selepas muazzin mula mengumandangkan azan yang kedua di hadapan khatib. (Lihat Kanz al-Raghibin Syarḥ Minhāj al-Ṭālibīn, 1/ 334). Bahkan menurut Syeikh ‘Umairah, walaupun rumah seseorang itu dekat dengan masjid dan dia meyakini dapat memperoleh Jumaat sekiranya dia hadir di pertengahan khutbah, tetap haram untuknya berada di rumah pada ketika itu atas apa-apa urusan lain. Ini berdasarkan dalil yang jelas, “إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ…” (Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang…). (Lihat Hāsyiyah ʿUmairah ʿalā al-Maḥallī, 1/ 334).
Sama-sama kita renungi fadhilat hadir awal ke untuk menunaikan solat Jumaat ini. Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
مَنِ اغْتَسَلَ يَوْمَ الجُمُعَةِ غُسْلَ الجَنَابَةِ ثُمَّ رَاحَ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَدَنَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّانِيَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَقَرَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّالِثَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ كَبْشًا أَقْرَنَ، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الرَّابِعَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ دَجَاجَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الخَامِسَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَيْضَةً، فَإِذَا خَرَجَ الإِمَامُ حَضَرَتِ المَلاَئِكَةُ يَسْتَمِعُونَ الذِّكْرَ
Maksudnya: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat (seperti) mandi janabah lalu segera pergi ke masjid, maka seakan-akan berkorban dengan unta, sesiapa yang pergi pada masa yang kedua, maka seakan-akan dia berkorban dengan lembu, dan sesiapa pergi pada masa yang ketiga, maka seakan-akan dia berkorban dengan biri-biri jantan yang bertanduk, dan sesiapa yang pergi pada masa yang keempat seakan-akan dia berkorban dengan seekor ayam, dan sesiapa yang pergi pada masa kelima, maka seakan-akan dia berkorban dengan sebiji telur dan apabila imam telah keluar (untuk berkhutbah) maka para malaikat turut hadir untuk mendengar peringatan (khutbah).”
Riwayat al-Bukhari (881) dan Muslim (850)
Wallahu a’lam.