Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah mas kahwin Yang diberikan oleh Saidina Ali kepada Fatimah ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Islam merupakan satu agama yang memandang tinggi kemuliaan institusi perkahwinan, dan mengangkat darjat wanita ke tahap yang mulia. Salah satu bukti akan kenyataan ini dalam syari’at Islam dan hukum-hakam fiqh ialah pensyari’atan mahar dalam perkahwinan.

Definisi Mahar dan Konsepnya dalam Islam

Dari sudut bahasa, mahar bermaksud:

ما يَدْفَعُهُ الزَّوْجُ إِلَى زَوْجَتِهِ بِعَقْدِ الزَّوَاجِ

Maksudnya: “Apa yang dibayar oleh suami kepada isteri sebagai hadiah kepadanya dengan sebab ‘aqad nikah.” (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 39/151)

Menurut istilah syara’ pula mazhab Syafi’e telah mendefinisikan mahar dengan maksud:

هُوَ مَا وَجَبَ بِنِكَاحٍ أَوْ وَطْءٍ أَوْ تَفْوِيتِ بُضْعٍ قَهْرًا

Maksudnya: “Mahar adalah suatu yang diwajibkan dengan sebab pernikahan, atau persetubuhan, atau pemerkosaan.”(Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/220)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji berkata: Mahar atau mas kahwin ialah “harta yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya dengan sebab akad nikah.” Mahar juga disebut sebagai al-sadaq dan hukumnya adalah wajib  sebaik sahaja sempurna akad nikah sama ada mas kahwin itu disebut dengan kadar tertentu ataupun tidak semasa akad tersebut. Jika terdapat permuafakatan menafikannya atau tidak menyebutnya, persetujuan tersebut batal dan mas kahwin tetap wajib diserahkan.”( Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/75)

Dalam istilah bahasa Melayu, merujuk kepada Kamus Dewan, mahar kahwin adalah merupakan pemberian yang diwajibkan daripada pengantin lelaki kepada pengantin perempuan.[1]

Dalil pensyari’atan mahar dapat dilihat melalui ayat al-Qur’an:

وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً فَإِنْ طِبْنَ لَكُمْ عَنْ شَيْءٍ مِنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَرِيئًا

Maksudnya: “Dan berikanlah maskawin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan. Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebagian dari mas kahwin itu dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya.”

( Surah al-Nisa’: 4)

Ibn Kathir berkata: Menurut Ibn Abbas, perkataan النحلة membawa maksud mahar. Ibn Zaid pula menjelaskan, ianya bermaksud sesuatu yang wajib diberikan kepada isteri disebabkan aqad nikah. Seorang lelaki wajib menyerahkan mahar kepada wanita sebagai hadiah dan pemberian ke atasnya dengan penuh kerelaaan hati. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/235)

Menjawab bagi persoalan di atas kami  nyatakan dahulu biografi sahabat nabi  Ali Bin Abi Talib R.A. Beliau merupakan anak kepada bapa saudara nabi SAW. Rasulullah SAW mengahwininya dengan anak Baginda Fatimah al-Zahra’ pada tahun kedua Hijrah. Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan enam cahaya mata iaitu Hasan, Husin, Muhassin, Zainab, Ruqayyah, Umu Kalthum.

Kembali kepada persoalan yang diajukan kami katakan Ali Bin Abi Talib menjadikan baju besinya sebagai mahar bagi perkahwinannya dengan Saidatina Fatimah R,Anha. Hal ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma beliau berkata ketika Ali mengahwini Fatimah Rasulullah SAW bersabda:

أَعْطِهَا شَيْئًا قاَلَ: مَا عِندِي شَيْءٌ قَالَ: فَأَيْنَ دِرْعُكَ الحُطَمِيَّةُ؟

Maksudnya: Berikannya sesuatu kepadanya  lalu Ali menjawab: Aku tidak memiliki sesuatu lalu Baginda berkata: Dimanakah baju besimu al-Huttamiah ?

Riwayat Abu Dawud(2125)

Al-Huttamiyyah yang dinyatakan dalam hadith ialah kabilah Huttamah Bin Maharib dimana mereka yang membuat baju besi tersebut.

Dapat difahami melalui hadith ini  dalam perkahwinan wajib ke atas suami membayar mahar (sadaq) kepada isteri. Rasulullah SAW pernah memerintahkan Ali untuk memberikan mahar kepada isterinya, dan apabila Ali tidak mempunyai apa-apa untuk diberikan sebagai mahar, Baginda menanyakan tentang perisainya (baju besi) untuk digunakan sebagai mahar, walaupun perisai adalah salah satu aset yang digunakan dalam peperangan.

Begitu juga dapat difahami bahawa disunatkan untuk meringankan dalam pemberian mahar. Rasulullah SAW pernah meminta  kepada Ali apa  sahaja yang dia boleh berikan sebagai mahar. Puteri Rasulullah SAW diberikan mahar dengan barangan yang rendah nilainya seperti baju perisai maka bagaimana kita boleh berlebihan dalam menetapkan mahar kepada orang lain? (Lihat Taudih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram, 5/305-306)

Justeru, kami katakan  bahawa mahar yang diberikan oleh sahabat  Nabi Ali Bin Abi Talib kepada puteri Rasulullah SAW Fatimah al-Zahra’ R.Anha adalah dalam bentuk baju perisai yang mempunyai nilai yang sederhana. Tindakan ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW mengajarkan kepada kita bahawa tidak perlu menetapkan mahar yang terlalu tinggi, yang mungkin memberatkan pasangan yang ingin membina rumahtangga. Oleh itu, apa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW adalah contoh yang patut diikuti dalam menentukan mahar dalam perkahwinan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a’lam.

Nota Kaki:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=mahar – Diakses pada 19 Oktober 2023

Leave a Reply