Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada terdengar seorang ustaz menceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah menjatuhkan hukuman hudud ke atas seorang Yahudi. Adakah kisah ini benar?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan ini, kami katakan bawakan potongan firman Allah SWT:

وَمِنَ الَّذِينَ هَادُواۛ سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ سَمَّاعُونَ لِقَوْمٍ آخَرِينَ لَمْ يَأْتُوكَ ۖ يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ مِن بَعْدِ مَوَاضِعِهِ ۖ يَقُولُونَ إِنْ أُوتِيتُمْ هَٰذَا فَخُذُوهُ وَإِن لَّمْ تُؤْتَوْهُ فَاحْذَرُوا ۚ

Maksudnya: “Demikian juga dari orang-orang Yahudi, mereka orang-orang yang sangat suka mendengar berita-berita dusta; mereka sangat suka mendengar perkataan golongan lain (pendeta-pendeta Yahudi) yang tidak pernah datang menemuimu; mereka ini mengubah serta meminda perkataan-perkataan (dalam Kitab Taurat) itu dari tempat-tempatnya yang sebenar. Mereka berkata: ‘Jika disampaikan kepada kamu hukum seperti ini maka terimalah dia, dan jika tidak disampaikannya kepada kamu, maka jagalah diri baik-baik’.”

(Surah al-Ma’idah: 41)

Imam Ibn Kathir berkata ketika menafsirkan ayat di atas, dikatakan bahawa ayat ini diturunkan kepada satu kaum Yahudi yang membunuh seseorang, maka mereka pun berkata: “Mari kita minta hukum dari Muhammad, jika dia kenakan hukuman bayaran diyah maka kalian ambillah, dan jika dia jatuhkan hukuman qisas maka kalian jangan dengar.”

Adapun pandangan yang tepat, ayat ini diturunkan kepada 2 orang Yahudi yang berzina, lalu mereka mengubah kitab Allah SWT yang ada pada mereka (Taurat) tentang hukuman rejam bagi penzina yang telah berkahwin. Mereka memalsukannya hukumnya menjadi sebatan sebanyak 100 kali, menghitamkan wajah dengan arang, dan dibonceng secara terbalik (menghadap ke belakang) di atas 2 ekor keldai.

Apabila berlaku penzinaan ini selepas tahun hijrah, mereka berbincang sesama mereka: “Mari kita minta hukum dari Muhammad, jika dia kenakan hukuman sebat dan dihitamkan wajah, maka kalian ambillah dan jadikan ianya sebagai hujjah di hadapan Allah bahawa seorang Nabi telah menjatuhkan hukuman tersebut antara kalian. Dan jika dia jatuhkan hukuman rejam, maka janganlah kalian ikuti dia.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/102)

Bahkan telah thabit beberapa hadith yang menceritakan kisah ini. Antaranya seperti yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma, katanya:

إِنَّ اليَهُودَ جَاءُوا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ ﷺ، فَذَكَرُوا لَهُ أَنَّ رَجُلًا مِنْهُمْ وَامْرَأَةً زَنَيَا، فَقَالَ لَهُمْ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: مَا تَجِدُونَ فِي التَّوْرَاةِ فِي شَأْنِ الرَّجْمِ؟ فَقَالُوا: نَفْضَحُهُمْ وَيُجْلَدُونَ، قَالَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ سَلاَمٍ: كَذَبْتُمْ إِنَّ فِيهَا الرَّجْمَ، فَأَتَوْا بِالتَّوْرَاةِ فَنَشَرُوهَا، فَوَضَعَ أَحَدُهُمْ يَدَهُ عَلَى آيَةِ الرَّجْمِ، فَقَرَأَ مَا قَبْلَهَا وَمَا بَعْدَهَا، فَقَالَ لَهُ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ سَلاَمٍ: ارْفَعْ يَدَكَ فَرَفَعَ يَدَهُ فَإِذَا فِيهَا آيَةُ الرَّجْمِ، قَالُوا: صَدَقَ يَا مُحَمَّدُ فِيهَا آيَةُ الرَّجْمِ، فَأَمَرَ بِهِمَا رَسُولُ اللَّهِ ﷺ فَرُجِمَا فَرَأَيْتُ الرَّجُلَ يَجْنَأُ عَلَى المَرْأَةِ، يَقِيهَا الحِجَارَةَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang Yahudi datang kepada Rasulullah SAW, lalu mereka menceritakan kepada Baginda bahawa seorang lelaki dan seorang perempuan daripada mereka telah berzina. Maka Rasulullah SAW bersabda kepada mereka: ‘Apakah yang kamu dapati dalam kitab Taurat mengenai hukuman rejam?’ Mereka pun menjawab: ‘Kami memalukan mereka dan mereka disebat.’ Abdullah bin Salam berkata: ‘Kamu berdusta, sesungguhnya dalamnya (kitab Taurat itu) terdapat hukuman rejam.’ Kemudian mereka datang dengan membawa kitab Taurat lalu membukanya. Salah seorang daripada mereka meletakkan tangannya di atas ayat (yang menyebut mengenai) hukuman rejam, lalu dia membaca bahagian yang sebelumnya dan bahagian yang selepasnya. Maka, Abdullah bin Salam berkata kepadanya: ‘Angkatlah tangan engkau.’ Dia pun mengangkat tangannya, ternyata dalamnya ada ayat (yang menyebut mengenai) hukuman rejam. Mereka berkata: ‘Dia (yakni Abdullah bin Salam) benar, wahai Muhammad, dalamnya terdapat ayat (yang menyebut mengenai) hukuman rejam.’ Setelah itu, Rasulullah SAW memerintahkan kedua-duanya (agar direjam), lalu kedua-duanya direjam. Kemudian aku melihat si lelaki menelungkup ke atas si perempuan untuk melindunginya daripada (lemparan) batu.”

Riwayat al-Bukhari (6841) dan Muslim (1699)

Dalam sebuah riwayat yang lain, daripada Jabir bin ‘Abdullah R.A, katanya:

رَجَمَ النَّبِيُّ ﷺ رَجُلاً مِنْ أَسْلَمَ، وَرَجُلاً مِنَ اليَهُودِ، وَامْرَأةً

Maksudnya: “Nabi SAW merejam seorang lelaki dari suku Aslam, seorang lelaki dan seorang perempuan Yahudi.”

Riwayat Muslim (1701)

Imam al-Nawawi menyebutkan, hadith ini menjadi bukti bahawa hukuman hudud zina juga wajib dikenakan kepada golongan bukan Islam, dan mereka dituntut untuk melaksanakan perintah-perintah syara‘, inilah pandangan yang benar. Difahami juga dari hadith ini, sekiranya orang bukan Islam meminta hukuman dari pemimpin Islam, qadi hakim wajib menjatuhkan hukuman berdasarkan syari‘at Islam. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 11/353)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan yang kami bawakan di atas, kami katakan bahawa kisah Rasulullah SAW menghukum Yahudi dengan hukuman hudud yang saudara sebutkan tersebut adalah benar,  sepertimana yang disebutkan di dalam nas-nas syara‘ dan juga perincian ulama’ dalam karya-karya mereka.

Semoga penulisan ini bermanfaat buat para pembaca dan seterusnya menambahkan ilmu baru kepada kita semua. Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّنَا لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنَا وَنَحْنُ عَبِيْدُكَ، وَنَحْنُ عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْنَا، نَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْنَا، نَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيْنَا، وَنَبُوْءُ بِذُنُوْبِنَا، فَاغْفِرْ لَنَا فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, Engkau adalah Tuhan kami. Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan kami dan kami adalah hamba-Mu. Kami akan setia pada perjanjian kami pada-Mu dan janji-Mu dengan sedaya upaya kami. Kami berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang kami lakukan. Kami mengakui nikmat-Mu kepada kami dan kami mengakui dosa kami, maka ampunilah kami. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *