#4054: Aib Pernikahan Yang Mengharuskan Pembubaran Perkahwinan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah aib nikah yang mengharuskan pembubaran perkahwinan ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nikah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud sebuah akad (perjanjian) yang mengandungi lafaz ijab dan kabul yang menghalalkan pasangan lelaki dan perempuan untuk melakukan persetubuhan.

Perkataan nikah berasal dari perkataan Arab (نَكَحَ يَنْكِحُ نَكْحاً ونِكَاحاً) yang bermaksud bernikah dan perkataan (الاخْتِلَاطُ) yang bermaksud bercampur. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/34)

Dari istilah syarak, nikah ialah suatu akad yang menghalalkan istimta’ (bersetubuh atau berseronok-seronok) di antara suami isteri dengan cara yang dibenarkan oleh syarak. Masyarakat arab menggunakan perkataan nikah dengan makna akad yang juga membawa maksud persetubuhan serta berseronok-seronok. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/671)

Lafaz nikah ada disebut di dalam firman Allah SWT:

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: “…maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain)…”

(Surah al-Nisa’: 3)

Dalam ayat ini, Allah telah mensyariatkan keharusan pernikahan untuk seluruh umat Islam malah menggalakkannya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 16/125)

Perkahwinan atau pernikahan adalah sangat dituntut di dalam Islam. Sudah menjadi fitrah manusia untuk saling berkasih sayang ini diperjelaskan di dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.”

(Surah al-Rum: 21)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa ayat ini merupakan antara ayat-ayat Allah — yakni bukti dan tanda-tanda — yang menunjukkan kepada al-Ba‘th — yakni kebangkitan, — di mana Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis manusia juga, agar kamu dapat mewujudkan ketenangan dan kesenangan. Dia juga menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 407)

Pernikahan sememangnya dianjurkan dalam Islam dengan syarat mestilah berlandaskan kepada syariah yang telah ditetapkan. Pernikahan yang sah dan sempurna adalah pernikahan yang memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat yang diletakkan syara’. Terdapat juga beberapa jenis pernikahan yang dilarang dalam Islam seperti nikah mut’ah (yang diamalkan pengikut ajaran Syiah), nikah muaqqat (nikah kontrak) dan lain-lain. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiah, 41/325)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa sekiranya terdapat pada pasangan perkara-perkara yang menghalang tujuan perkahwinan seperti aib menghalang  persetubuhan seperti zakar terputus, mati pucuk atau faraj tersumbat atau perkara-perkara yang mengundang bahaya seperti sopak , kusta dan gila maka pasangan suami isteri boleh membubarkah perkahwinan dengan cara fasakh.

Aib pernikahan antara suami isteri terbahagi kepada 3 bahagian:

Pertama: Aib yang khusus pada lelaki iaitu zakar terputus sehingga tidak meninggalkan apa yang memadai untuk bersetubuh , mati pucuk dan terputusnya  buah zakar.

Kedua:  Aib yang khusus pada perempuan seperti faraj yang tertutup,tersumbat dan daging yang lebih dari kemualan wanita yang menyebabkab kemaluannya menjadi sempit yang menghalang zakar.

Ketiga: Aib kedua-dua jantina lelaki dan perempuan seperti gila,kusta, sopak, air kencing atau tahi yang mengalir, penyakit buasir, dan kudis yang bernanah berbau busuk. (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 5/336)

Aib-aib dalam pernikahan itu ada tujuh, yakni gila, kusta, sopak, zakar tidak boleh membesar, hasyafah terpotong, faraj tersumbat dengan daging dan faraj terhalang dengan tulang (Lihat al-Mu’tamad, 4/96).

Namun, sekiranya aib yang dialami suami boleh dirawat, maka sebab yang boleh menfasakhkan telah digugurkan (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/ 109).

Justeru, kami ingin menegaskan bahawa jika terdapat sebarang aib yang telah disebutkan di atas, maka pasangan suami isteri berhak untuk  membubarkan perkahwinan mereka. Hal ini disebabkan oleh  aib   yang mengganggu tujuan asal perkahwinan, seperti melakukan persetubuhan, maka syariah telah mengizinkan pembubaran perkahwinan sebagai langkah untuk menjaga kemaslahatan dan menghindari kemudaratan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *