Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah sah wuduk seseorang yang berwuduk dengan air yang terhasil atau disimpan dalam pohon atau tumbuh-tumbuhan seperti kaktus dan seumpamanya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, tidak dapat dinafikan bahawa di sana ada sebahagian tumbuhan atau pohon yang menghasilkan banyak air serta menyimpannya seperti kaktus dan seumpamanya. Pada asasnya hukum asal bagi makanan dan minuman adalah halal melainkan terdapatnya dalil yang menyatakan hal sebaliknya. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/271; al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685). Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2). Justeru, diharuskan untuk memakan semua makanan yang suci lagi bersih, bukannya makanan yang bernajis mahupun mutanajjis (terkena najis), dan yang tidak ada kemudharatan padanya seperti racun dan seumpamanya. Oleh itu, termasuklah yang diharuskan untuk makan itu adalah kasturi — kerana ia adalah suci dan tidak memudaratkan — dan seumpamanya seperti biji-bijian, buah-buahan dan lain-lain yang terdiri daripada benda-benda yang suci. (Lihat al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685).

Justeru, air yang terhasil atau keluar dari tumbuh-tumbuhan dihukumkan sebagai suci dan bukannya najis serta boleh untuk diminum selagi mana tidak ada dalil yang menunjukkan sebaliknya.

Keduanya, dalam menjawab soalan di atas, menurut ulama, air yang keluar dari pokok itu dianggap suci tetapi tidak menyucikan, maka hanya boleh diminum dan tidak boleh digunakan untuk bersuci atau mengangkat hadas mahupun menghilangkan najis. Hal ini adalah sebagaimana difahami melalui kenyataan al-Syirazi bahawa semua air selain air mutlak seperti cuka, air mawar, nabiz, dan air perahan buah-buahan atau pohon, tidak boleh digunakan untuk mengangkat hadas dan menghilangkan najis. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, 1/17).

Kemudian, Imam al-Nawawi menjelaskan lagi, mengangkat hadas dan menghilangkan najis tidak sah melainkan dengan air mutlak. Inilah mazhab kami (Syafi‘i) tanpa sebarang khilaf mengenainya di sisi kami. Ini juga merupakan pendapat jumhur ulama salaf dan khalaf dalam kalangan sahabat dan ulama selepas mereka.  Namun, ashab kami menukilkan daripada Muhammad bin ‘Abd al-Rahman bin Abu Laila dan Abu Bakar al-Asam bahawa diharuskan untuk mengangkat hadas dan menghilangkan najis dengan semua jenis air yang bersih (suci). Akan tetapi al-Qadhi Abu al-Tayyib menambah, kecuali air mata kerana al-Asam bersetuju dengan pendapat yang tidak boleh berwuduk dengannya. Begitu juga Abu Hanifah membolehkan berwuduk dengan nabiz berdasarkan syarat-syarat tertentu.

Ibn Abi Laila berhujah dengan mengatakan bahawa ia adalah cecair yang bersih, maka ia menyerupai air (mutlak). Manakala ashab (ulama Syafi‘iyyah) pula berhujah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

 فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا

Maksudnya: “Kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum.”

(Surah al-Nisa’: 43)

Begitu juga sahabat R.Anhum biasanya tidak menjumpai air ketika dalam permusafiran mereka dan bersama dengan mereka minyak dan selainnya daripada jenis-jenis cecair, tetapi tidak terdapat satu riwayat pun daripada mereka yang berwuduk dengan selain air, serta tidak sah mengqiyaskannya ke atas air. Ini kerana air memberikan kelegaan dan tidak mengandungi unsur-unsur lain, berbeza halnya dengan cecair-cecair yang lain. Tambahan lagi, Ibn al-Munzir dalam al-Asyraf dan al-Ijma‘ menyebutkan bahawa para ulama telah berijma‘ (bersepakat) berkenaan tidak boleh berwuduk dengan air mawar, air pokok, air ‘usfur[1] dan lain-lain yang tidak boleh dipanggil sebagai air mutlak. Hal ini selari dengan nukilan Imam al-Ghazali. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/92-93).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa air yang keluar atau terhasil dalam tumbuh-tumbuhan adalah suci dan boleh untuk diminum dengan syarat ia tidak memudaratkan. Adapun menggunakannya untuk berwuduk, kami berpendapat ia tidak dibolehkan kerana ia tidak dikira sebagai air mutlak sebagaimana air yang diperah daripada buah-buahan dan seumpamanya. Inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan berhati-hati.

Namun, sekiranya air yang terkumpul pada tumbuhan itu bukan air yang terhasil daripada tumbuhan itu sendiri, sebaliknya air lain seperti air hujan dan seumpamanya yang terkumpul/terhimpun/bertakung padanya. Maka, dibolehkan untuk berwuduk dengan menggunakan air tersebut dengan syarat, hal itu tidak mengeluarkannya daripada kesucian air tersebut dan nama mutlak yang terdapat padanya.

Begitu juga sekalipun salah satu sifat air tersebut seperti rasa, warna dan bau berubah (disebabkan lamanya bertakung pada tumbuhan tersebut), tidak mengapa berwuduk dengannya. Ini adalah sebagaimana disebutkan oleh al-Syirazi bahawa, apabila berubah salah satu sifat air seperti rasa, warna atau bau, perkara ini perlu diteliti. Jika yang mengubah itu sesuatu yang tidak dapat dielakkan seperti teratai, garam, kapur dan lain-lain, maka diharuskan untuk berwuduk dengannya, kerana tidak mungkin air dapat dielakkan daripadanya. Oleh itu, ia termasuk perkara yang dimaafkan, sebagaimana dimaafkan najis yang sedikit dan gerakan yang sedikit di dalam solat. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, 1/18).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Nota kaki:

[1] ‘Usfur ialah sejenis tumbuhan yang mengeluarkan warna kuning dan bunganya digunakan sebagai rempah ratus dalam makanan. (Lihat https://www.almaany.com/ar/dict/arar/الْعُصْفُرِ/. Diakses pada 8 November 2023).

Leave a Reply