Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Assalamualaikum wbt Datuk Seri, saya ada satu persoalan berkaitan ibadat umrah yg saya lakukan pada tahun 2020 tempohari.semasa berkumpul di lobi hotel untuk bergerak ke Masjidil haram secara berkumpulan, saya terasa seperti terkentut, tapi hati saya merasakan tidak. Kami terus menuju ke Masjidil haram untuk menunaikan umrah. Saya didatangi perasaan was-was tentang ibadat saya samaada sah atau tidak. Perasaan ini saya cuba untuk hapuskan setelah pulang ke tanah air namun sehingga kini saya masih lagi teringat akan peristiwa itu. Saya banyak berdoa semoga umrah saya diterima. Adakah umrah saya itu sah? untuk pengetahuan Datuk Seri, saya telah berkahwin pada tahun 2022, bagaimana dengan perkahwinan saya ini adakah sah atau sebaliknya.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.”

(Surah Ali ‘Imran: 96)

Allah SWT mengkhabarkan mengenai keagungan Baitullah al-Haram yang merupakan rumah ibadat pertama yang dibina untuk beribadah kepada-Nya di atas muka bumi yang terletak di Makkah, padanya terdapat keberkatan dan petunjuk (hidayah) bagi seluruh manusia. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 213-214)

Firman Allah SWT:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّـهِ

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah Ibadah Haji dan Umrah kerana Allah.”

(Surah al-Baqarah: 196)

Para ulama telah bersepakat memutuskan bahawa haji adalah fardhu, tanpa seorang pun di kalangan mereka berpendapat sebaliknya. Oleh itu, mereka menghukumkan kafir kepada sesiapa yang mengingkari sesuatu yang yang telah thabit dengan al-Quran, al-Sunnah dan ijma‘. Begitu juga, berdasarkan pendapat yang lebih jelas daripada Imam al-Syafi‘i, umrah juga adalah fardhu sebagaimana haji dan ayat di atas adalah merupakan dalil bagi mereka yang berpendapat bahawa umrah adalah fardhu. Selain itu, mereka juga telah bersepakat mengatakan bahawa haji dan umrah wajib dilakukan oleh mereka yang mampu, hanya sekali seumur hidup. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji,2/115-116; al-Idhah fi Manasik al-Haj wa al-Umrah, hlm. 378-379)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dalam ibadat umrah, yang perlu kepada wuduk adalah tawaf sahaja, manakala saie dan bercukur tidak diwajibkan berwuduk. Oleh itu, isu ini kami melihat ia lebih kepada perasaan was-was. Maka, kami nasihatkan agar saudari yakin bahawa umrah saudari sah dan elakkan daripada bermain dengan perasaan was-was sebegitu kerana ia akan menyuramkan kehidupan saudari. Justeru, pada masa yang akan datang, lakukanlah ibadat umrah mahupun haji dengan yakin agar hati lebih menjadi tenang dan tenteram.

Semoga jawapan yang ringkas ini dapat difahami dengan baik. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Wallahua`lam.

Leave a Reply