Soalan:

Assalamualaikum Dato Seri. Saya pernah terdengar yang mengatakan: Jika kita (orang lelaki) memakai seluar secara berdiri ia mewarisi kefakiran. Mohon pencerahan Dato Seri. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَـٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

Maksudnya: Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.

(Surah al-Isra’, 36)

Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di menyatakan “Janganlah mengikuti apa yang tidak kamu ketahui. Bahkan perkara ini bergantung di atas apa yang dikatakan dan dilakukan. Hal ini kerana setiap perbuatan serta anggota tubuh itu akan di pertanggungjawabkan sama ada dari segi perbuatan atau percakapan. Dan tujuan penciptaannya adalah bertujuan untuk ibadah kepada Allah SWT dan berkerja untuk agama”. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, 1/457)

Berkenaan isu ini, kami juga ada menjawab dalam artikel sebelum ini:

Menyapu Rumah Malam Hari Membawa kepada Kemiskinan[1]

Menjawab persoalan di atas, kami katakan setakat pengamatan kami, tidak ada nas yang menunjukkan memakai seluar sambil berdiri boleh menyebabkan kefakiran. Oleh itu, tidak menjadi masalah untuk memakai seluar atau pakaian lain, dalam keadaan apa sekalipun dan mengikut keselesaan masing-masing. Perkara yang lebih penting adalah kita memakai pakaian yang menutup aurat dan itu sudah memadai.

Akhir kalam, suka kami nasihatkan dalam mempercayai sesuatu pengkhabaran/ berita, sewajarnya kita selidik terlebih dahulu sebelum menyebar dan mengamalkan sesuatu yang kita baru tahu, agar amalan kita benar-benar mengikut syariat Islam. Kaedah menyebut:

إِنْ كُنْتَ نَاقِلًا فَعَلَيْكَ بِالتَّصْحِيحِ    وَإِنْ كُنْتَ مُدَّعِيًا فَعَلَيْكَ باِلدَّلِيلِ

Maksudnya: “Jika sekiranya kamu menyatakan sesuatu hendaklah kamu mensahihkan dahulu berita itu, dan sekiranya kamu mendakwa hendaklah kamu menyatakan dalil atau bukti.

Kami titipkan di sini, sebuah doa untuk dikurniakan rezeki yang halal serta ditambahkan rezeki:

اللَّهُمَّ اكْفِنِى بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنِى بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah aku dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah aku dengan kurniaan-Mu, tanpa aku mengharapkan kepada selain-Mu.”

Doa ini berdasarkan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Wa’il bahawa seorang hamba mukatab (yang boleh menebus dirinya jika dia membayar sejumlah wang kepada tuannya) bertemu dengan Ali R.A. Hamba ini berkata kepada Ali: “Sesungguhnya aku tidak mampu untuk membayar tebusan kepada tuan aku.”

Saidina Ali R.A lalu berkata: “Mahukah aku ajarkan kepada kamu beberapa perkataan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepadaku, jika engkau sebutkannya, jika engkau mempunyai hutang sebesar bukit Sobir maka Allah  SWT akan menunaikan hutang tersebut bagi kamu. Katakanlah:

اللَّهُمَّ اكْفِنِى بِحَلاَلِكَ عَنْ حَرَامِكَ ، وَأَغْنِنِى بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: Ya Allah, cukupkanlah aku dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah aku dengan kurniaan-Mu, tanpa aku mengharapkan kepada selain-Mu.

Riwayat al-Tirmizi (3563), Ahmad (1319)

Imam al-Munawi menyebut: Sesiapa yang menyebutnya dengan niat yang benar, akan mendapat kesan pengabulan dengan segera. (Lihat al-Taisir bi Syarh al-Jami’ al-Saghir, 1/809)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin. Wallahu a‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Nota kaki:

[1] https://maktabahalbakri.com/2423-menyapu-rumah-malam-hari-membawa-kepada-kemiskinan/

Leave a Reply