Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Berapakah kadar nisab kambing yang wajib zakat? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab soalan di atas, sebagaimana yang diketahui bahawa di sana terdapatnya zakat binatang ternakan atau dipanggil sebagai zakah al-An‘am (زكاة الأنعام). Perkataan al-An‘am ialah kata jamak kepada al-Na‘am sama ada jantan atau betina serta ia merujuk kepada unta, lembu dan kambing. Firman Allah SWT:
وَإِنَّ لَكُمْ فِي الْأَنْعَامِ لَعِبْرَةً ۖ نُّسْقِيكُم مِّمَّا فِي بُطُونِهَا وَلَكُمْ فِيهَا مَنَافِعُ كَثِيرَةٌ وَمِنْهَا تَأْكُلُونَ
Maksudnya: “Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu kamu beroleh punca-punca yang menyedarkan (tentang kemurahan dan kebijaksanaan Allah penciptanya); Kami beri kamu minum dari susu yang ada dalam perutnya, dan kamu beroleh banyak faedah lagi padanya; dan daripadanya juga kamu beroleh rezeki penghidupan kamu.”
(Surah al-Mukminun: 21)
Zakat wajib dikeluarkan daripada unta, lembu dan kambing kerana banyak manfaatnya, dan zakat dikira berdasarkan bilangan dan keturunannya. Kewajipan zakat haiwan ternakan ini telah ditegaskan dalam hadith-hadith yang sahih. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/37).
Berkenaan nisab kambing yang wajib zakat, terdapat riwayat daripada Anas bin Malik R.A, Abu Bakar R.A menulis kepadanya surat panduan ini tatkala beliau mengutusnya ke Bahrain untuk memungut zakat sebagaimana berikut:
وَفِي صَدَقَةِ الغَنَمِ فِي سَائِمَتِهَا إِذَا كَانَتْ أَرْبَعِينَ إِلَى عِشْرِينَ وَمِائَةٍ شَاةٌ، فَإِذَا زَادَتْ عَلَى عِشْرِينَ وَمِائَةٍ إِلَى مِائَتَيْنِ شَاتَانِ، فَإِذَا زَادَتْ عَلَى مِائَتَيْنِ إِلَى ثَلاَثِ مِائَةٍ، فَفِيهَا ثَلاَثُ شِيَاهٍ، فَإِذَا زَادَتْ عَلَى ثَلاَثِ مِائَةٍ، فَفِي كُلِّ مِائَةٍ شَاةٌ، فَإِذَا كَانَتْ سَائِمَةُ الرَّجُلِ نَاقِصَةً مِنْ أَرْبَعِينَ شَاةً وَاحِدَةً، فَلَيْسَ فِيهَا صَدَقَةٌ إِلَّا أَنْ يَشَاءَ رَبُّهَا
Maksudnya: “Untuk zakat kambing sa’imah:[1] jika kambingnya sudah mencapai 40 hingga 120 ekor, zakatnya ialah seekor kambing. Jika lebih daripada 120 hingga 200 ekor, zakatnya ialah dua ekor kambing. Jika lebih dari 200 sampai 300 ekor, maka zakatnya tiga ekor kambing. Jika lebih daripada 300 ekor maka setiap 100 zakatnya seekor kambing. Jika seseorang mempunyai kambing sa’imah 39 ekor maka ia tidak wajib membayar zakat, kecuali jika si pemilik ingin mengeluarkan sedekahnya (zakatnya).”
Riwayat al-Bukhari (1454)
Justeru, berbalik kepada soalan yang diajukan, dalam al-Fiqh al-Manhaji (2/38) dinyatakan bahawa nisab kambing bermula dengan 40 ekor. Oleh itu, kadar zakat yang wajib dikeluarkan ialah seekor kambing. Apabila bilangannya bertambah, maka kadar zakatnya seperti berikut:
- Nisab 40-120 ekor, kadar yang diwajibkan, seekor kambing (biri-biri — dha’nun — berumur setahun, atau kambing — ma‘iz — berumur dua tahun).
- Nisab 121-200 ekor, kadar yang diwajibkan, dua ekor kambing (biri-biri — dha’nun — berumur setahun, atau kambing — ma‘iz — berumur dua tahun).
- Nisab 201-300 ekor, kadar yang diwajibkan, tiga ekor kambing (biri-biri — dha’nun — berumur setahun, atau kambing — ma‘iz — berumur dua tahun).
- Kadar yang wajib bertambah mengikut kaedah yang ditetapkan, iaitu setiap 100 biri-biri atau kambing. Kadar zakatnya ialah seekor. Ini bermakna setiap pertambahan 100 ekor, kadar zakatnya ialah seekor kambing atau biri-biri.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا
Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”
Nota kaki:
[1] Sa’imah ialah binatang ternakan itu pada kebanyakan masanya dalam setahun meragut di padang ragut bebas. Ini bererti binatang-binatang tersebut boleh hidup sihat tanpa memerlukan makanan tambahan yang lain. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/39).