Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah lembu yang digunakan untuk membajak dikenakan zakat? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Zakat adalah termasuk dalam rukun Islam yang lima di mana ia wajib ditunaikan oleh setiap orang beragama Islam yang telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Antara tujuan pensyariatan zakat ini adalah untuk membersihkan hati dan harta disamping melahirkan masyarakat Islam yang pemurah dan prihatin terhadap kesusahan yang dihadapi oleh saudara mereka. Allah SWT berfirman:
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا
Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk).”
(Surah al-Taubah: 103)
Syeikh al-Maraghi menyebutkan, sedekah (zakat) itu dapat membersihkan mereka daripada sifat bakhil, tamak dan sifat yang kasar kepada golongan fakir yang hidup melarat. Di samping itu, kamu juga dapat menyucikan jiwa mereka dan mengangkat mereka ke darjat orang yang baik dengan melakukan kebajikan sehingga mereka wajar menerima kebahagian di dunia dan akhirat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/2888).
Begitu juga di sana terdapatnya zakat binatang ternakan atau dipanggil sebagai zakah al-An‘am (زكاة الأنعام). Perkataan al-An‘am ialah kata jamak kepada al-Na‘am sama ada jantan atau betina serta ia merujuk kepada unta, lembu dan kambing. Firman Allah SWT:
وَإِنَّ لَكُمْ فِي الْأَنْعَامِ لَعِبْرَةً ۖ نُّسْقِيكُم مِّمَّا فِي بُطُونِهَا وَلَكُمْ فِيهَا مَنَافِعُ كَثِيرَةٌ وَمِنْهَا تَأْكُلُونَ
Maksudnya: “Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu kamu beroleh punca-punca yang menyedarkan (tentang kemurahan dan kebijaksanaan Allah penciptanya); Kami beri kamu minum dari susu yang ada dalam perutnya, dan kamu beroleh banyak faedah lagi padanya; dan daripadanya juga kamu beroleh rezeki penghidupan kamu.”
(Surah al-Mukminun: 21)
Zakat wajib dikeluarkan daripada unta, lembu dan kambing, kerana banyak manfaatnya, dan zakat dikira berdasarkan bilangan dan keturunannya. Kewajipan zakat haiwan ternakan ini telah ditegaskan dalam hadith-hadith yang sahih. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/37).
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, nisab lembu bermula dengan 30 ekor. Justeru, tidak wajib zakat jika bilangannya kurang daripada itu. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/36).
Jumlah nisab yang dinyatakan ini adalah berdasarkan kepada satu hadith yang diriwayatkan oleh Mu‘az R.A, katanya:
بَعَثَنِى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى الْيَمَنِ، فَأَمَرَنِي أَنْ آخُذَ مِنْ كُلِّ ثَلاَثِينَ بَقَرَةً تَبِيعًا أَوْ تَبِيعَةً، وَمِنْ كُلِّ أَرْبَعِينَ مُسِنَّةً
Maksudnya: “Rasulullah SAW telah mengutusku ke Yaman. Baginda menyuruhku mengambil zakat daripada setiap 30 ekor lembu, seekor lembu yang setahun, jantan atau betina dan daripada setiap 40 ekor lembu, zakatnya lembu betina dua tahun.”
Riwayat al-Tirmizi (623) dan Abu Daud (1576)
Penjelasan lanjut mengenai nisab lembu yang wajib zakat, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: “Kadar Nisab Lembu yang Wajib Zakat.”
Selain daripada itu, lembu yang digunakan untuk pekerjaan seperti membajak di sawah dan seumpamanya dikecualikan daripada nisab yang diwajibkan zakat. Ini jelas sebagaimana disebutkan oleh pengarang al-Fiqh al-Manhaji bahawa bagi zakat ternakan, terdapat beberapa syarat tambahan yang lain. Di antaranya, binatang-binatang itu dipelihara untuk susunya, pembiakannya atau lemaknya dan bukan untuk melakukan kerja-kerja serta khidmat yang lain. Jika ia dipelihara untuk perkhidmatan seperti membajak, mengangkut barang dan menarik kincir, ia tidak wajib zakat. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/39).
Ini adalah berdasarkan kepada hadith bahawa Nabi SAW bersabda:
لَيْسَ فِي اَلْبَقَرِ اَلْعَوَامِلِ صَدَقَةٌ
Maksudnya: “Tidak wajib zakat pada lembu yang digunakan untuk membuat kerja.”
Riwayat Abu Daud (1573) dan al-Daraqutni (2/103)
Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan, di antara harta-harta yang sudah ditetapkan untuk digunakan adalah lembu yang digunakan dalam pekerjaan bagi membajak tanaman atau menyiramnya. Maka, lembu-lembu ini tidak dikenakan zakat kerana ia adalah alat bekerja. Zakat dikenakan pada hasil kerjanya dan penghasilannya iaitu apa yang keluar dari tanah. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/323-324).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa lembu yang digunakan untuk membajak tanaman dikecualikan daripada dikenakan zakat. Dalam erti kata lain, ia tidak diwajibkan zakat kerana tidak dikira dalam pengiraan nisab lembu.
Misalnya, seseorang itu mempunyai 30 ekor lembu. Kemudian, 5 ekor daripada jumlah lembu tersebut digunakan untuk membajak tanah bagi pertanian. Jadi, dia masih lagi belum wajib dikenakan zakat kerana dia belum memenuhi jumlah nisab zakat ternakan lembu disebabkan 5 ekor lembu yang digunakan untuk membajak dikecualikan daripada pengiraan nisab. Lalu menjadikan jumlah lembu itu hanya 25 ekor, sedangkan nisab lembu bermula dengan 30 ekor dan tidak wajib zakat jika bilangannya kurang daripada jumlah tersebut.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh.”
Surah al-Naml (19)