Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah kayu ukur nilai sesuatu harta itu yang boleh menyebabkan seseorang pencuri dikenakan hukuman potong tangan menurut Islam?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Syara‘ meletakkan hukuman yang amat berat sebagai suatu bentuk ancaman kepada sesiapa sahaja yang berniat untuk mengambil sesuatu barangan yang pada asalnya bukanlah hak miliknya. Ini telah dijelaskan dalam firman Allah SWT:

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: “Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah al-Ma’idah: 38)

Di dalam ayat di atas, Allah SWT mendatangkan perbincangan berkaitan satu lagi bentuk hukum hudud yang wajib dilaksanakan iaitu, memotong tangan terhadap mereka yang mencuri sekiranya telah cukup syarat-syarat yang ditentukan oleh syara‘. Imam Ibn Kathir menyatakan bahawa hukuman hudud bagi pencuri adalah salah satu bentuk hukuman pada zaman Jahiliah yang kemudiannya diperakui oleh Islam. Antara hukuman lain pada zaman Jahiliah yang diperakui oleh Islam ialah Diyah dan Qasamah. (Lihat Tafsir al-Bayan, 1/757)

Akan tetapi, firman Allah SWT di atas datang dalam lafaz yang mutlak, tanpa diikat dengan jumlah tertentu yang boleh dijadikan sebagai kayu ukur untuk menilai sama ada seseorang itu layak dikenakan hukuman yang berat ini atau tidak. Dan hukum asal adalah wajib beramal suatu syari‘at yang datang dalam bentuk mutlak, sehinggalah datangnya nas dan dalil yang sahih sebagai pengikat. Di dalam ayat di atas, Allah SWT menggunakan lafaz yang berbentuk umum dan tidak terikat (وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا), yang pada zahirnya menunjukkan bahawa sesiapa sahaja yang didapati mencuri, dari kalangan lelaki dan perempuan, walau berapa sahaja nilai kecurian itu, maka dikenakan hukuman potong tangan. Dan inilah hujjah sebahagian ulama’ dari kalangan al-Zahiriyyah, al-Khawarij, serta pendapat yang dipegang oleh al-Hasan al-Basri sebagaimana yang dinukilkan dari Imam al-Qadhi ‘Iyadh. Mereka berpandangan bahawa hukuman potong tangan wajib dikenakan jika berlakunya kecurian, tanpa menetapkan had minima nilai kecurian tersebut.

Kemudian, datang dalil yang lain dari Sunnah al-Nabawiyyah yang mengikat dan memperincikan lagi hukuman ini dengan meletakkan had minima nilai kecurian. Dan inilah pendapat yang dipegang oleh majoriti fuqaha’ mazhab. Diriwayatkan daripada Ummu al-Mu’minin ‘Aisyah R.Anha 2 bentuk lafaz yang menerangkan tentang jumlah minima yang dikenakan hukuman potong tangan, pertamanya adalah ayat penyata, dan keduanya berbentuk penafian. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam Sahih al-Bukhari, daripada ‘Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تُقْطَعُ اليَدُ فِي رُبُعِ دِينَارٍ فَصَاعِدًا

Maksudnya: “Tangan pencuri dipotong jika (nilaian barang curiannya) menyamai satu perempat dinar[1] atau lebih.”

Riwayat al-Bukhari (6789)

Dan di dalam riwayat yang lain di dalam Sahih Muslim, ‘Aisyah R.Anha meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا تُقْطَعُ يَدُ السَّارِقِ إِلَّا فِي رُبْعِ دِينَارٍ فَصَاعِدًا

Maksudnya: “Tidak dipotong tangan pencuri dipotong kecuali jika (nilaian barang curiannya) menyamai satu perempat dinar atau lebih.”

Riwayat Muslim (1684)

Maka hadith ini telah mengikat jumlah tertentu, iaitu mestilah tidak kurang dari satu perempat dinar, atau hampir menyamai RM400 berdasarkan harga semasa emas. Sekiranya seseorang mencuri di bawah nilai ini, maka dia tidak dikenakan hukuman potong tangan, akan tetapi hukuman ta‘zir yang ditentukan oleh pemerintah berdasarkan kebijaksanaannya.

Adapun nilai 3 dirham di sisi Mazhab al-Syafi‘i, ia sebagaimana yang warid daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma pula, Rasulullah SAW bersabda:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَطَعَ فِي مِجَنٍّ ثَمَنُهُ ثَلاَثَةُ دَرَاهِمَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah  menyuruh untuk dipotong (tangan pencuri) pada (sekiranya barang yang dicuri menyamai nilai) perisai yang harganya tiga dirham.”

Riwayat al-Bukhari (6795) dan Muslim (1686)

Imam al-Nawawi menyebutkan perselisihan fuqaha’ dalam menentukan kadar minima ini. Beliau mengatakan bahawa Imam al-Syafi‘i berpegang kepada zahir hadith ‘Aisyah R.Anha di atas, iaitu kadarnya satu perempat dinar atau nilai yang menyamainya, atau yang menyamai nilai 3 dirham. Dan tidak dihukum potong tangan jika kurang dari had minima ini, sebagaimana yang disebutkan oleh kebanyakan ahli ilmu, dan inilah pandangan ‘Aisyah, ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz, al-Auza‘ie, al-Laith, Abu Thaur, Ishaq dan lain-lain.

Imam al-Syafi‘i dan mereka yang bersetuju dengan pendapatnya berkata, Rasulullah SAW telah menyebutkan dengan jelas kadar minima satu perempat dinar ini. Manakala riwayat yang menyebutkan 3 dirham itu pula, dianggarkan kadarnya menyamai satu perempat dinar atau lebih. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 11/182)

Imam al-Syafi‘i berkata, hadith Ibn ‘Umar bertepatan dengan hadith ‘Aisyah, kerana 3 dirham pada zaman Rasulullah SAW dan zaman selepasnya menyamai satu perempat dinar. Oleh itu, jika sesuatu harta dicuri pada hari ini, perlu dinilai terlebih dahulu kadarnya. Jika menyamai satu perempat dinar maka dipotong tangannya, dan jika kurang dari nilai tersebut maka tidak dipotong tangannya.

Kadar minima asal adalah satu perempat dinar, maka jika dileburkan beberapa walaupun 2 dirham sahaja dan dijadikan 1 dinar, maka dipotong tangannya kerana mencapai satu perempat dinar. (Lihat al-Umm, 6/159)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan ringkas ini, kami katakan bahawa kadar minima dikenakan hukuman potong tangan menurut Islam adalah yang menyamai satu perempat dinar atau lebih. Jika harta yang dicuri itu kurang dari nilai ini, maka tidak boleh dijatuhkan hukuman potong tangan ke atas pencuri tersebut.

Pada pandangan kami, berdasarkan dapatan kajian, satu dinar menyamai antara 1200 – 1400 Ringgit Malaysia. Justeru, satu perempat dinar hendaklah melebihi RM 300.

Meskipun begitu, Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat yang mempunyai perundangannya tersendiri, termasuklah yang melibatkan kes-kes jenayah seperti mencuri. Maka kuasa menjatuhkan hukuman ini tertakluk di bawah kekuasaan dan kebijaksanaan pemerintah, yang ditentukan di bawah perbicaraan mahkamah.

Semoga kita semua dapat beramal dengan syari‘at Allah SWT dengan melaksanakan perintah-Nya serta meninggalkan segala larangan-Nya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahu a‘lam

Nota kaki:

[1] Bersamaan 1.0625 gram emas.

Leave a Reply