Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah ustaz hukuman ta‘zir dengan sebatan tidak boleh dilakukan melebihi 10 kali? Saya ada terdengar seorang penceramah memberitahu tentang hal ini ketika membezakan antara hudud dan ta‘zir.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan ini, kami datangkan terlebih dahulu penerangan secara ringkas berkaitan hakikat hudud dan ta‘zir agar saudara lebih jelas tentang kedua-dua jenis hukuman ini. Memahami hakikat dan realiti semasa sesuatu yang ingin dihukumkan itu adalah amat penting. Kaedah fiqh menyebutkan:

الحُكْمُ عَلَى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَن تَصَوُّرِهِ

Maksudnya: “Menghukum sesuatu perkara adalah cabang daripada gambaran mengenainya.”

Hudud berdasarkan konteks perbincangan hukuman jenayah, ia didefinisikan sebagai suatu hukuman yang telah ditetapkan oleh syara‘, dan ianya tidak boleh ditokok tambah atau dikurangkan ketetapannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/54)

Ta‘zir adalah hukuman yang tidak ditetapkan kadar oleh syara‘ yang wajib sebagai hak bagi Tuhan atau manusia pada setiap maksiat yang tiada padanya hukuman hudud dan juga kaffarah pada ghalibnya. Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji berkata, hukuman ini dijatuhkan oleh hakim yang beragama Islam dan adil, iaitu hukuman yang dirasakan boleh mencegah manusia melakukan perbuatan keji ini. Hukuman ini boleh dikenakan dalam bentuk sebatan, buang negeri, penjara atau kecaman. Ini kerana perbuatan seperti ini perbuatan maksiat yang tidak termasuk dalam kesalahan hudud dan tidak akan dikenakan kaffarah. Apabila hudud tidak dikenakan, kesalahan ini perlu dikenakan hukuman ta‘zir. (Lihat al-Mabsut, 9/36; Fath al-Qadir, 7/119; Kasyaf al-Qina‘, 4/72; al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 224; Nihayah al-Muhtaj, 7/72; al-Fiqh al-Manhaji, 8/62)

Berbalik kepada persoalan utama yang diajukan, terdapat beberapa riwayat hadith yang melarang ta‘zir dengan sebatan melebihi 10 kali. Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Burdah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يُجْلَدُ فَوْقَ عَشْرِ جَلَدَاتٍ إِلَّا فِي حَدٍّ مِنْ حُدُودِ اللَّهِ

Maksudnya: “(Seseorang) tidak boleh disebat lebih daripada sepuluh kali sebatan melainkan dengan had yang telah ditetapkan oleh Allah (hukuman hudud).”

Riwayat al-Bukhari (6848) dan Muslim (1708)

Dalam riwayat lain daripada ‘Abdullah bin Abu Bakar bin ‘Amru bin Hazm bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَحِلُّ لِرَجُلٍ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ أَنْ يَجْلَدَ فَوْقَ عَشَرَةِ أَسْوَاطٍ، إِلَّا فِي حَدٍّ

Maksudnya: “Tidak halal bagi seorang lelaki yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, menyebat lebih dari 10 kali, melainkan dengan had yang telah ditetapkan oleh Allah.”

Riwayat al-Baihaqi (17590)

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani mengatakan, maksud sabda Rasulullah SAW (حَدٍّ مِنْ حُدُودِ اللَّهِ) adalah apa sahaja yang telah disebutkan oleh syara‘ kadarnya, sama ada sebatan atau pukulan yang dikhususkan, dan disepakati tentangnya, seperti zina, mencuri, minum arak, al-hirabah, tuduhan qazaf, membunuh, qisas, atau murtad. (Lihat Fath al-Bari, 12/177)

Berdasarkan hadith ini, fuqaha’ berselisih pendapat tentang hukum ta‘zir dengan sebatan melebihi 10 kali, dan kami cuba membahagikannya kepada 2:

Pertama: Tidak boleh hukuman sebat melebihi 10 kali melainkan pada hudud yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Ini adalah pandangan al-Laith, salah satu riwayat yang masyhur dari Imam Ahmad, Ibn Hazm dan sebahagian fuqaha’ al-Syafi‘iyyah.

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata, ulama’ salaf berbeza tentang maksud hadith ini, maka al-Laith, Imam Ahmad dalam riwayatnya yang masyhur, Ishaq, dan sebahagian fuqaha’ al-Syafi‘iyyah. (Lihat Fath al-Bari, 19/281)

Imam al-Nawawi menyebutkan, Imam Ahmad bin Hanbal, Asyhab al-Maliki, dan sebahagian fuqaha’ al-Syafi‘iyyah berpendapat bahawa tidak boleh melebihi 10 kali sebatan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 6/131)

Imam Ibn Daqiq al-‘Aid berkata, Asyhab dari kalangan fuqaha’ al-Malikiyyah mengambil zahir hadith ini, begitu juga pengarang kitab al-Taqrib (Abu al-Hasan al-Qaffal al-Syasyi) dari fuqaha’ al-Syafi‘iyyah. Dan hadith ini menerangkan tentang larangan menambah sebatan melebihi 10 kali, dan apa yang kurang dari itu tidaklah dilarang, tidak ada pilihan dalam perkara ini. (Lihat Ihkam al-Ahkam, 1/451)

Imam Ibn Hazm pula berkata, tidak boleh hukuman sebat selain dari hudud melebihi 10 kali, berdasarkan hadith yang sahih dari Rasulullah SAW. (Lihat al-Muhalla, 11/23)

Kedua: Hukuman ta‘zir dengan sebatan boleh melebihi 10 kali, dan inilah mazhab majoriti fuqaha’. Inilah yang disebutkan oleh Imam Malik, Imam al-Syafi‘i, Abu Yusuf Ya‘qub al-Ansari al-Hanafi dan Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani.

Pandangan ini berbeza dengan zahir hadith, dan berdasarkan pandangan inilah seseorang pemimpin itu boleh menghukum ta‘zir melebihi 10 kali sebatan kerana bunuh juga boleh menjadi hukuman ta‘zir. Imam al-Nawawi menyebutkan, majoriti ulama’ dari kalangan sahabat, tabi‘in dan mereka yang datang selepas mereka mengatakan bahawa boleh untuk melebihi 10 kali.

  • Imam Malik dan pengikutnya, Abu Yusuf, Muhammad al-Syaibani, Abu Thaur dan al-Tahawi tidak meletakkan sebarang kayu ukur bagi jumlah sebatan, bahkan bergantung kepada pemimpin meskipun bilangan itu melebihi sebatan hudud.
  • Imam Abu Hanifah pula mengatakan bahawa bilangan sebatan tidak boleh melebihi 40 kali.
  • Manakala Ibn Abi Ya‘la mengatakan ianya tidak boleh melebihi 75 kali, dan ini juga salah satu riwayat Imam Malik dan Abu Yusuf.
  • Dalam riwayat ‘Umar R.A, sebatan tidak boleh melebihi 80 kali.
  • Dan riwayat lain daripada Ibn Abi Ya‘la ianya mesti kurang dari 100 kali, dan ini adalah pandangan Ibn Syubrumah.
  • Ibn Abi Zi’b dan Ibn Abi Yahya mengatakan bahawa ianya tidak boleh melebihi 3 kali jika ingin mendidik sahaja.
  • Imam al-Syafi‘i dan majoriti pengikutnya mengatakan bahawa ia tidak boleh melebihi kadar minima hudud sebatang yang layak baginya. Jika dia seorang hamba, ta‘zir dengan sebatan tidak boleh melebihi 20 kali, dan jika dia seorang yang merdeka, ta‘zir dengan sebatan tidak boleh melebihi 40 kali.
  • Sebahagian fuqaha’ al-Syafi‘iyyah mengatakan sebatan itu tidak boleh melebihi 40 kali, sama ada dia seorang yang merdeka atau hamba.
  • Sebahagian fuqaha’ al-Syafi‘iyyah lain pula mengatakan sebatan itu tidak boleh melebihi 20 kali, sama ada dia seorang yang merdeka atau hamba. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 6/131)

Kesimpulan

Ta’zir adalah hukuman yang diserahkan kepada pendapat pemerintah. Inilah pendapat al-Malikiyyah, al-Syafi‘iyyah, al-Hanabilah dan yang rajih di sisi Mazhab Hanafi. Pemerintah boleh menentukan hukuman ta’zir dengan meraikan serta melihat kesan jenayah dan penjenayah.

Apabila seseorang pemerintah itu diberikan kekuasaan untuk menentukan hukuman ta‘zir berdasarkan kebijaksanaannya, maka masyarakat perlu akur dengan ijtihad tersebut kerana pemimpin lebih mengetahui apa yang lebih mendatangkan maslahah kepada masyarakat. Kaedah juga ada menyebut:

حُكْمُ الْحـَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ

Maksudnya: “Keputusan hakim (yakni pemerintah) mengangkat khilaf.”

Semoga Allah mengurniakan kepada kita kefahaman Islam yang sebenarnya dan menjadikan negara kita Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur. Amin. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply