Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah terdapat gejala Sakaratul Maut menurut sains?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَجَآءَتْ سَكْرَةُ ٱلْمَوْتِ بِٱلْحَقِّ ۖ ذَٰلِكَ مَا كُنتَ مِنْهُ تَحِيدُ

Maksudnya: “Dan sakaratul maut datang dengan sebenar-benarnya. Itulah perkara yang kamu selalu lari daripadanya.”

(Surah Qaf: 19)

Proses keluarnya roh dari jasad disebut dengan sakaratulmaut. Kata “sakarat” (adalah bentuk jamak daripada “sakrat”) diambil dari kata “sakara”, daripada segi bahasa ia bererti menutup. Sakaratulmaut merupakan tanda terdekat seseorang menjelang ajalnya. Setiap manusia pasti merasakan sakaratulmaut meskipun dengan rasa sakit yang berbeza, sesuai dengan tingkat keimanan serta amal ibadahnya. Sakaratulmaut adalah kesulitan dan penderitaan.

Al-Raghib dalam al-Mufradat mengatakan, “Al-Sukru adalah keadaan yang menghalangi seseorang daripada menggunakan akalnya. Kata ini juga sering digunakan untuk minuman yang memabukkan yang menutup kemarahan, kerinduan, kesakitan, rasa mengantuk, dan hilang kesedaran kerana pengsan yang disebabkan rasa sakit yang bersangatan”. (Lihat al-Mufradat, 1/416)

Sakaratulmaut lebih menyakitkan jika dibandingkan dengan tebasan pedang, gergaji, ataupun potongan gunting. Semua hal itu terasa sakit ketika jasad kita terhubung dengan roh, kita masih dapat berteriak untuk mengungkapkan rasa sakit. Akan tetapi, ketika roh itu sendiri yang terpisah dari jasad, suara jeritan pun terputus dan tidak dapat lagi meminta pertolongan. Lantaran itu, para ulama memahami sakaratulmaut ini sebagai keadaan sulit ataupun keperitan luar biasa yang dialami oleh seseorang sehingga roh keluar dari tenggorokan. Saat di mana pandangan terhadap dunia serta interaksi dengan orang yang ada di dunia terputus.

Berdasarkan konsep kematian menurut sains kedoktoran dan al-Quran, didapati terdapat hubungan antara keduanya. Hal tersebut merupakan sebuah kemukjizatan al-Quran sebagai kitab yang menjadi pedoman umat Islam dalam menjalankan kehidupan. Mukjizat tersebut ditunjukkan dengan adanya isyarat ilmiah dalam al-Quran berkaitan proses kematian manusia yang dijelaskan oleh sains kedoktoran setelah beberapa abad yang lalu.

Adapun tanda-tanda kematian manusia sebagaimana yang dinyatakan oleh Ikatan Dokter Indonesia (IDI) bahawa, “Dalam tubuh manusia terdapat tiga organ penting yang menjadi pengukur dalam menentukan kematian seseorang, iaitu jantung, paru-paru, dan otak (khususnya saraf tunjang otak)”. Selain itu, pada saat menjelang kematian, tubuh memusatkan kerjanya pada organ utama seperti jantung, paru-paru, dan otak. Sehinggakan sirkulasi darah pada alat pengukur tekanan darah dilihat menurun dan menyebabkan penurunan tekanan darah. Hal ini dapat dilihat daripada pada ketidakteraturan seseorang dalam bernafas. Keadaan jantung yang lemah di saat tidur adalah dalam suatu perkara yang normal. Namun, apabila jantung terus menerus semakin lemah, maka hal tersebut akan menyebabkan kematian. Akhir daripada proses kematian adalah kematian sel-sel yang ada dalam tubuh manusia. Sel-sel mengalami kematian kerana tidak mendapat oksigen untuk mempertahankan kehidupannya, sehingga ia menjadi hancur dan meleleh. Lelehan daripada cairnya sel yang ada pada tubuh manusia tersebut terkumpul di tenggorokkan. Sehubungan dengan nafas yang semakin berat dan tidak teratur, cairan tersebut menghasil suara “gher” seiring hembusan nafas. Hal ini sebagaimana diungkapkan dalam al-Quran.[1]

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Wallahua`lam.

 

Nota kaki:

[1] Lihat Isyarat Ilmiah Pada Proses Kematian Manusia Dalam Al-Qur’an. Fakulti Usuluddin Dan Pengajian Agama Universiti Islam Negeri Raden Intan Lampung. hlm. 104-121

Leave a Reply